SHARIFAH AINI KINI ARTIS KRU MUSIC

oleh Khadijah Ibrahim  (Utusan Malaysia: Isnin, 13 Februari 2012)

Siapa sangka sebelum ini Datuk Sharifah Aini pernah bernaung sebumbung dengan kumpulan KRU di bawah label EMI Malaysia.  Kini penyanyi tersohor itu akan bernaung di bawah label KRU Music yang diterajui oleh tiga beradik Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim.  Kata Sharifah Aini yang mesra dengan panggilan Kak Pah, KRU Music merupakan syarikat rakaman kedua setelah 37 tahun menjadi penyanyi di bawah label EMI.

"Itupun sebab EMI tutup, kalau masih ada, sudah tentu Kak Pah masih menjadi artis EMI.  Kak Pah bersedia menjadi artis KRU Music sebab tertarik dengan keupayaan dan bakat mereka.  Semuanya bermula pada program Mentor.  Kak Pah ada cakap pada Edry, minta dia buat lagu ala-ala Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain.  Kak Pah ingat, dia lupa perbincangan kami.  Rupa-rupanya lepas itu dia telefon dan kami berbincang," jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Hasil daripada beberapa perbincangan di kediaman beliau, akhirnya penyanyi terkenal itu sah menjadi artis naungan KRU Music untuk jangka waktu dua tahun.  Untuk permulaan, Kak Pah sedang menunggu lagu-lagu ciptaan Edry sebelum menjalani rakaman vokal pada waktu terdekat ini.  "Siapa sangka, Kak Pah boleh bekerjasama dengan budak-budak muda ini.  Kak Pah percaya kepada kebolehan Edry.  Kalau kita tengok, kebanyakan lagu ciptaannya popular dan Kak Pah yakin dia boleh memberi lagu terbaik untuk Kak Pah rakam.  Selain lagu ciptaan Edry, Kak Pah juga bercadang nak rakam semula lagu sedia ada mengikut gaya sendiri seperti lagu Gerimis Mengundang nyanyian Slam," katanya tersenyum.

Pada masa sama Sharifah Aini turut bercerita tentang program Istimewa Bersama Sharifah Aini yang bakal dijaya bersama Orkestra RTM.  Katanya, sudah lama dia tidak bekerjasama dengan RTM dan apabila dipanggil untuk menjayakan program tersebut, dia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.  "Terakhir Kak Pah dipanggil RTM untuk buat program tahun baru 2010 bersama artis lain.  Program Istimewa Bersama Sharifah Aini ini berbeza, sebab Kak Pah artis utama.  Kak Pah suka sangat bila buat program dengan RTM sebab ada orkestra.  Bolehlah Kak Pah nyanyi lagu seperti Burung Pungguk atau Teratai.  Orkestra RTM akan dipimpin oleh Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail bersama 70 pemuzik," ceritanya.  Untuk menjayakan program selama satu jam setengah itu, Sharifah Aini akan menjalani latihan dengan orkestra bermula 27 Mac ini sebelum bersiaran langsung pada 1 April.

MALAM KASIH IBU

Sempena meraikan sambutan Hari Ibu, Sharifah Aini melalui syarikat Seri Dewi Production Sdn. Bhd., bakal mengadakan persembahan untuk menghibur golongan ibu dan para peminat tercinta.  Biduanita itu akan menjayakan persembahan Malam Kasih Ibu di Hotel Royale Chulan, pada 12 Mei depan.  Katanya, pada persembahan tersebut, dia akan diiringi oleh dua pemuzik dan empat penyanyi latar.

"Ini adalah projek pertama syarikat Kak Pah dalam penganjuran persembahan untuk Hari Ibu.  Sebelum ini Kak Pah diundang untuk menjayakan persembahan sebegitu.  Kak Pah tidak kisah kalau ada pihak yang ingin bekerjasama untuk menjayakan persembahan Hari Ibu, tapi bukan di Kuala Lumpur.  Rasanya tidak manis kalau Kak Pah buat dua persembahan di ibu kota.  Kalau luar dari Kuala Lumpur, Kak Pah memang bersedia," katanya terus terang.

Menurut Sharifah Aini, pada persembahan Malam Kasih Ibu, dia akan mendendangkan sekurang-kurangnya 27 buah lagu untuk para peminat setianya.  Katanya, tiket-tiket untuk program tersebut dijual pada harga RM5,000 dan RM2,500 untuk satu meja.  Pada Kak Pah, harga itu berpatutan dan tidak boleh nak turunkan lagi harga.   Kalau orang perseorangan nak beli, ada dijual tiket berharga RM500 dan RM250 untuk satu kepala.  Seperti persembahan-persembahan sebelum ini, Kak Pah akan cuba dendangkan seberapa banyak lagu yang termampu.  Kak Pah boleh nyanyi sampai ke pagi demi peminat yang sentiasa memberi sokongan pada Kak Pah selama ini," katanya.

Bagi yang berminat untuk menonton dan menempah meja untuk persembahan Malam Kasih Ibu boleh menghubungi Shamim di talian 019-3488054 untuk keterangan lanjut.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kesungguhan Kak Pah (Harian Metro Selasa, 14 February 2012)

  Kak Pah Terima Lamaran Edry (Berita Harian Jumaat, 10 February 2012)