KESUNGGUHAN KAK PAH oleh Norhadiani Baharom (Harian Metro: Selasa, 14 Februari 2012) |
TERHARU KRU TIDAK PREJUDIS TERHADAP ARTIS VETERAN, BUKTI MELALUI KOLABORASI TERBARU Datuk Sharifah Aini, bukan hanya membayangkan 2012 sebagai tahun perubahan buatnya tetapi juga tahun paling sibuk dengan lambakan projek besar. Paling mengujakan, tentunya kolaborasi biduanita kelahiran 2 Julai 1953 dengan adik-beradik KRU atau lebih tepat beliau yang mesra disapa Kak Pah bakal mengikat perjanjian sebagai artis rakaman sekali gus bernaung di bawah KRU Records. Sesudah lamaran secara rasmi dilakukan dalam suatu majlis dirancang tidak lama lagi, bakal menyusul sebuah album yang memuatkan empat lagu baru berserta dua saduran yang masih belum diputuskan. "Kak Pah difahamkan KRU akan membuat pengumuman merangkap upacara perjanjian kontrak secara rasmi tidak lama lagi. Kak Pah amat teruja untuk bekerjasama dengan mereka malah berasa terharu dan dihargai kerana KRU tidak prejudis terhadap artis veteran seperti Kak Pah," katanya. Bicaranya lagi, idea untuk bekerjasama pernah diusulkan dirinya sewaktu dia dan Edry sama-sama menyertai program Mentor musim ke-5, tahun lalu. Meskipun bersaing bersama protege masing-masing, jauh di sudut pelantun Seri Dewi Malam itu amat mengagumi cara Edry membentuk protégénya, Iqa. "Ingatkan idea dan perbincangan kami berhubung kerjasama yang hendak dilakukan habis begitu saja selepas selesai Mentor. Bagaimanapun Kak Pah terkejut apabila Edry menghubungi Kak Pah. Baik sangat dan segala perbincangan KRU sendiri datang ke rumah Kak Pah. Kak Pah suka Edry. Dia punya cita rasa muzik yang baik. Lagu-lagu ciptaan Edry dan KRU sendiri banyak yang popular. Cuma Kak Pah ada berikan Edry 'panduan' jika menghasilkan lagu untuk Kak Pah. Kak Pah teringin nak menyanyikan lagu-lagu seperti Sedetik Lebih, dipopularkan Anuar Zain tetapi dengan orkestra penuh. Sewaktu Kak Pah usulkan hal ini kepada Edry, dia ternyata seorang mudah untuk berurusan selain terbuka menerima idea orang lain. "Sebagai permulaan, kami bersetuju untuk keluarkan album mini terlebih dulu yang memuatkan empat lagu baru ciptaan Edry manakala dua lagu saduran. Setakat ini Edry sudah menyiapkan dua lagu manakala dua lagi masih dalam proses. Insya-Allah dalam masa terdekat ini juga Kak Pah akan memasuki studio rakaman. Mengenai lagu saduran pula Kak Pah tidak kisah sama ada lagu tempatan mahupun yang pernah dipopularkan artis dari seberang. Kak Pah semacam berminat untuk merakamkan semula Biarlah Bulan Bicara yang dipopularkan mendiang Broery Marantika tetapi Kak Pah merasakan lagu itu sudah terlalu banyak yang buat 'cover version'," katanya. Apabila menyebut KRU, pastinya terbayangkan eksplorasi muzik mesin dengan gubahan lagu energetik serta bunyi yang moden justeru apakah ia relevan buat seorang penghibur veteran seperti Kak Pah yang cukup terkenal dengan rangkaian lagu-lagu membuai perasaan. "Kerjasama dengan KRU ini satu peluang yang baik kerana mereka orang muda dan tahu cita rasa golongan itu. Mereka mungkin dapat membantu Kak Pah mengumpul peminat dan pendengar kelompok anak muda," katanya terpaksa menangguhkan pembikinan album ke-99 dan ke-100 beliau. Tidak terbatas pada rencana album saja, tanggal 1 April nanti beliau akan terbabit dalam pementasan Konsert Sharifah Aini anjuran RTM sempena ulang tahun stesen berkenaan yang membabitkan 70 pemuzik iringan pimpinan konduktor muzik terkenal, Datuk Mokhzani Ismail. Namun begitu, sebelum ia dilaksanakan penyanyi bersuara merdu itu terikat dengan konsert penghargaan kepada Allahyarham Sudirman Haji Arshad pada 24 Februari nanti. Persembahan ini akan membabitkan 30 pemuzik iringan dan ia juga terbitan RTM. Seketika perbualan dengan Kak Pah, jelas tahun ini beliau agak 'mengganas' dengan pelbagai percubaan yang menarik antaranya menerima tawaran untuk membintangi filem Penanggal arahan Ellie Suriaty. Menerusi filem itu, beliau perlu berbahasa Arab. "Terus-terang cakap hidup Kak Pah ini bosan, habis menyanyi duduk rumah dan jarang bersosial. Jadi sekali-sekala dapat pergi 'shooting' memang seronok. Dapat kenal-kenal dengan pelakon baru dan berhimpit makan dengan mereka di meja seperti warung atau erti kata lain seperti orang kebanyakan. Mengenai watak Kak Pah sebagai Sharifah Aminah dalam filem ini, ia digambarkan sebagai ibu kepada tiga anak lelaki keturunan keluarga Arab pada zaman 1930. Ia memerlukan saya bertutur bahasa Arab dan watak ibu sesuai untuk usia Kak Pah sekarang," katanya. Khamis lalu, bertempat di Rumah Titian Kasih, Tasik Titiwangsa, biduanita ini turut merasmikan Program Menderma Beramal Bersama Bakeri Ibu, anjuran Jamu Mak Dara (JMD). Menurut Pengarah Urusan JMD, Syed Muhammad Gadafi@Habib Syed Ali, program itu bertujuan meringankan beban golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan warga tua. Justeru, menerusi anak syarikat JMD, Bakeri Ibu dan Kitchen Studio tampil menyediakan perkhidmatan sarapan pagi berbentuk hidangan roti untuk disumbangkan kepada golongan kurang bernasib baik. "Caranya mudah, jika anda mampu menderma RM100 maka dengan duit sebanyak itu akan dikira untuk menentukan berapa kerap golongan ini bakal menerima sumbangan roti daripada anda. Kami punya senarai lebih 300 rumah kebajikan di seluruh Malaysia dan kami akan edarkan kepada semua," katanya. Artikel lain yang berkaitan: Sharifah Aini Kini Artis KRU Music (Utusan Malaysia – Isnin, 13 February 2012) Kak Pah Terima Lamaran Edry (Berita Harian – Jumaat, 10 February 2012) |