KAK PAH TERIMA LAMARAN EDRY oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Harian: Jumaat, 10 Februari 2012) |
Selepas beberapa tahun tidak bernaung di bawah mana-mana label apabila kontraknya bersama syarikat rakaman EMI tamat, biduanita negara, Datuk Sharifah Aini, mengumumkan penyertaannya dalam keluarga besar KRU Records, sekaligus bakal muncul bersama album mini. Menurut penyanyi yang akrab disapa Kak Pah ini, album yang mengandungi enam lagu menyaksikan beliau bekerjasama dengan komposer yang baru saja memenangi Anugerah Mobile pada Anugerah Juara Lagu ke 26, Edry Abdul Halim. "Perbincangan untuk projek kerjasama ini sudah lama berlangsung, iaitu sewaktu kami sama-sama dalam program Mentor lagi. Tak sangka pula selepas itu Edry menyusul dengan tawaran rasmi. Sejujurnya, Kak Pah memang mengagumi hasil kerja Edry. Memandangkan Kak Pah kini bebas, jadi Kak Pah bersetuju untuk bernaung di bawah syarikat rakaman mereka. Walaupun kesemua lagu dalam album ini hasil ciptaan Edry, tapi beliau memberi kebebasan untuk Kak Pah merakamkan dua lagu saduran kegemaran Kak Pah," katanya yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama label itu, dengan tahun ketiga sebagai pilihan. Sesuatu yang mengejutkan apabila Kak Pah mengumumkan untuk bekerjasama dengan Edry memandangkan genre muzik komposer itu jauh berbeza dengan aliran irama penyanyi malar segar ini. "Untuk album ini, Kak Pah ada meminta Edry menghasilkan lagu yang melodinya seperti 'Sedetik Lebih'. Kak Pah amat menggemari lagu itu. Bagaimanapun,ada juga lagu rancak yang bakal dimuatkan dalam mini album ini. Setakat ini, dua lagu sudah pun siap dan Kak Pah akan masuk ke studio merakamkan lagu itu dalam masa terdekat," ujar penyanyi yang cukup popular dengan lagu Seri Dewi Malam. Ditanya mengenai projek album ke 99 dan 100 yang pernah diumumkannya sebelum ini, Kak Pah berkata, dua album terbabit terpaksa ditangguhkan sementelah beliau terbabit dengan projek bersama KRU Records. Sementara itu, beliau juga bakal menganjurkan program amal sempena Hari Ibu yang bakal diadakan di The Royal Chulan Kuala Lumpur, 12 Mac ini. "Tahun 2012 ini Kak Pah sifatkan tahun paling sibuk kerana selain malam persembahan amal itu, Kak Pah juga akan muncul dengan sebuah konsert yang diiringi oleh 70 pemuzik orkestra. Konsert yang bakal diadakan pada 1 April itu akan dilangsungkan di Auditorium P Ramlee, Angkasapuri," katanya dalam nada teruja. Terdahulu, penyanyi terbabit menyempurnakan majlis pelancaran program Menderma dan Beramal bersama Bakeri Ibu di Rumah Titian Kasih, Taman Titiwangsa, di ibu negara,petang semalam. Hadir sama Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali, dan juga rakan artis seperti Haiza, Maya, Ali, Eida Moin, Zarul & The Protest dan Boy Iman. Program berbentuk amal itu memberi kebebasan kepada penderma memilih rumah kebajikan mereka ingini, menerusi empat pakej sarapan yang disediakan. Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi Roti Ibu Halimah @ Kitechen Studio di talian 03-87274099. INFO Tiket menyaksikan program Malam Kasihnya Ibu dijual pada harga RM5,000 dan RM2,000 semeja. Bagi mereka yang berminat bolehlah menghubungi talian 019-3488054 (Puan Shameem) Artikel lain yang berkaitan: Kesungguhan Kak Pah (Harian Metro – Selasa, 14 February 2012) Sharifah Aini Kini Artis KRU Music (Utusan Malaysia – Isnin, 13 February 2012) |