PEMINAT HADIAHKAN SHARIFAH AINI SET PERABOT RM20,000

oleh Huzz  (Mangga, Ogos 2002)

Bertuah sungguh biduanita negara yang cantik lawa bernama Sharifah Aini tu!  Amboiii ... rupa-rupanya selama ini beliau bukan saja sentiasa dapat sokongan peminat-peminat setianya sehinggakan 35 tahun kekal bertahan sebagai penyanyi, tetapi juga sering mendapat mcama-macam hadiah daripada mereka.  Kalau kita biasa mendengar dia pernah menerima hadiah rantai dan subang emas serta berlian, jangan tak tahu rupanya set perabot dan perkakas hiasan rumah juga dihadiahkan kepadanya oleh peminat setianya.

Kata jurufoto Utusan, Mahathir Ali, beliau terpegun dan kagum dengan apa yang dilihatnya bila melangkah masuk ke rumah kak Pah.  Teringat Huzz kata seorang teman lagi yang pernah melihat hiasan dalaman rumah Kak Pah itu, katanya melangkah masuk rumah seorang Tan Sri !  Sebelum ini penyanyi Dayangku Intan penah berkata, sebagaimana Kak Pah menjaga kecantikan wajahnya begitulah dia menghiasi rumahnya.  Dari situ kita nampaklah hasil titik peluh bertahun beliau menyanyi.

Melangkah masuk ke ruang tamu pertama tetamu akan dipersilakan duduk di koleksi set perabot sentuhan Bali yang menarik.  Jenuh memujuk akhirnya mendapat izin kami merakamkan gambar rumahnya.  Tapi kata Kak Pah perabot Bali ini bukan dibeli sendiri, malah banyak lagi koleksi tertentu dalam rumah itu adalah dari pemberian peminat dan kawan-kawan.  Jom baca pengakuan Kak Pah mengenai hadiah peminatnya ini.

Cerita Sharifah Aini: Ya, mungkin ada yang tak percaya kalau saya katakan, banyak koleksi ini hadiah dari peminat dan kawan-kawan saya.  Set Bali ini ... hadiah seorang peminat saya pada tahun lalu.  Memang saya sendiri terkejut apabila mendapat hadiah ini.  Peminat tu seorang ahli perniagaan sekarang.  Dulu katanya, sejak kecil lagi dia dah meminati saya ... dan sukakan lagu-lagu saya.  Minatnya tidak berakhir setelah dia menyambung belajar di peringkat tinggi (sebuah universiti di luar negara).  Dia anggap saya sebagai sumber inspirasinya untuk belajar dan berjaya.  Padanya saya turut memberikan galakan untuknya berjaya.  Kini dia sudah berjaya, dia masih terus meminati saya.  Apabila dia sudah maju dalam bisnesnya, dia datang ke rumah dengan hadiah set perabot ini.

Perabot ini bukannya murah harganya tapi dalam puluhan ribu (ada mengatakan dalam RM20,000).  Itulah kenyataannya, peminat sanggup hadiah barang mahal macam begini kepada saya.  Ada peminat-peminat lain pula suka memberikan saya hadiah berupa barangan solekan.  Ada juga menghadiahkan barang kemas seperti rantai, gelang dan subang berlian.  Bila difikirkan balik, memang saya pun terasa bertuah kerana disayangi peminat-peminat sedemikian rupa.  Dalam rumah saya ni ... ada hadiah yang comel, kecil, besar, sederhana, mewah, ada juga dari dalam dan luar negara ... dan tidak semua dibeli sendiri kerana ada hadiah daripada peminat dan kawan-kawan.

Kata kawan-kawan, mereka seronok melihat saya pandai menghiasi rumah.  Jadi kalau mereka keluar negara dan membeli belah ... fikiran mereka teringat pada saya yang sukakan barang hiasan rumah.  Termasuklah lampu mewah chandelier (lampu yang banyak cabang) tu ... ada yang mengatakan itu sesuai untuk rumah saya, kerana saya ni suka dengan sentuhan Inggeris untuk hiasan rumah.  jadi bergantunganlah lampu banyak cabang tu dalam rumah saya.  Sebenarnya saya amat menghargai hadiah-hadih istimewa ini yang menyerikan dunia saya ini.  Ya, saya ni bukan jenis suka keluar bersidai sana sini, kalau tak ada show atau kerja yang penting ... banyak masa saya habiskan di rumah bersama anak-anak.

POKOK BONSAI DAN KREN

Mengenai 'garden' (taman) di sekeliling rumah, saya sendiri yang menanam pokok-pokoknya.  Minat saya pada 'garden' sangat ketara setahun lalu.  Kalau nak tahu di 'garden' itu ada beberapa pokok gergasi bonsai yang dihadiahkan oleh seorang peminat saya yang meninggal dunia tahun lalu, Allahyarham Hamdan seorang peminat bonsai.  Kata isteri beliau, arwah peminat setia saya.  Ketika beliau terlantar sakit saya sempat menziarahinya.  Pokok bonsai arwah itu diangkut dengan kren untuk diletakkan di sudut 'garden' kerana terlalu berat dan didatangkan dengan lori ke sini.  Selain bonsai, saya juga meminati pokok daun hijau lain selain pokok berbunga.  Kerana itu saya menanam pokok menghijau sekeliling rumah saya.  Kadangkala 'garden' ini menjadi persinggahan kawan-kawan yang datang ke rumah.

MELANGGAN BUKU DEKORASI

Memang saya suka mengemas dan menghiasi rumah semenjak saya kecil lagi.  Itulah yang dididik oleh arwah emak (nenek beliau yang menjaganya sejak kecil) dulu.  Begitulah kalau mengemas baju dalam almari pun saya susun dan lipat mengikut warna.  Itulah saya.  Segalanya mesti kemas, tersusun, rapi.  Bukan saja di bilik tidur tetapi ke seluruh kawasan dalam rumah.  Dalam pada itu saya peminat bacaan majalah dekorasi (rumah dan taman) terutama dari luar negara.  Jadi di situlah saya mendapat ilmu menyerikan lagi keindahan dalam rumah.  Jadi sebab itu ada sudut yang mengikut sentuhan kesukaan saya, ada sudut Bali, ada sudut sentuhan ala Inggeris dan ada sudut moden.  Adakala dan ketikanya saya mengubahsuai kedudukan perabot dan perkakas mengikut selera.  Apalagi bila ada barang baru yang dihadiahkan kawan masuk ke rumah.  Selain ruang makan, tamu ... saya perlukan bilik bacaan di mana saya banyak habiskan masa untuk menelaah.  Tidak sekadar akhbar dan majalah dalam negeri yang saya baca tetapi juga luar negara.  Saya juga peminat bahan bacaan ilmiah antaranya biografi tokoh terkenal dan sejarah.

BERSARA TIGA TAHUN LAGI

Kak Pah sudah menyatakan hasratnya untuk bersara menyanyi.  Barangkali keputusan itu membuat sebahagian peminatnya berasa sedih.  Jika dibandingkan dengan ramai penyanyi yang ada hari ini ... suara Kak Pah masih lagi sedap dan lagu-lagunya terus bertenaga.  Ogos ini album terbarunya akan dipasarkan oleh syarikat EMI Malaysia.

Kata Kak Pah: "Saya sudah memberitahu anak teruna saya Aliff, saya perlukan dalam dua atau tiga tahun untuk aktif merakamkan album dan menyanyi.  Aliff akan terbang ke Madina pada Ogos ini kerana menyambung pengajian dalam perundangan Islam dan Tahfiz di Islamic University Al-Madina Al Munawarah.  Dia akan berada di sana selama tujuh tahun ... saya mulai memikirkan sudah sampai masanya saya perlu bersara menyanyi kerana perlu menumpukan masa untuk anak-anak yang kian membesar.  Sementara dua orang anak angkat saya iaitu Siti dan Nina juga mahu mengikut jejak langkah Aliff.

Dengan pemergian Aliff ke Madina saya sendiri merancang untuk sering ke sana melihatnya.  Ya mungkin
saya juga akan berpeluang sering mengerjakan umrah ke Mekah.  Aliff akan berniat mahu mengerjakan haji tahun depan ... saya juga InsyaAllah akan menunaikan rukun Islam kelima itu jika sudah sampai masanya.  InsyaAllah kalau dia menjadi seorang ustaz atau ulama di suatu hari nanti ... saya harap dia menjadi ulama yang sederhana. Jangan sesekali suka menyakiti orang lain.  Saya mahu dia berbuat baik serta berlemah lembut.  Jangan mengikut sikap segelintir orang kita yang mengaku dirinya beragama tetapi memandang hina dan menghukum orang lain sesuka hati".