SHARIFAH AINI 'MERAWAT PERASAAN' PESAKIT KANSER oleh Huzz (URTV: 1 Oktober 2000) |
Siapa sangka penghibur tanahair biduanita Sharifah Aini sudi meluangkan masa untuk mendekati peminatnya di saat mereka terlantar sakit? Kalau akhir tahun 80an kita pernah membaca cerita beliau pernah meraikan pesakit-pesakit di wad kanser Hospital Kuala Lumpur sewaktu menjaga kawan baiknya yang mengalami sakit perut, kini pada 14 September 2000, Sharifah Aini sekali lagi menjadi bualan kerana berada di wad untuk pesakit kanser lagi. Kali ini di Hospital Universii Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Bandar Tun Razak, Cheras. Sharifah Aini menziarahi seorang pesakit kanser paru-paru bernama Norhamdan Abdul Rahman, 38, yang juga seorang peminat setianya sejak bertahun-tahun lalu. Sebenarnya program lawatan ini diaturkan oleh pihak majalah URTV setelah penyanyi Hazlina Kamsan yang berada di Pulau Pinang menghubungi kami untuk memohon bantuan. Kata ina, "Saya sekarang berniaga jamu Puteri Ledang dan seorang penjual jamu saya, Asnita Ahmad mengadu abang iparnya yang sedang derita sakit kanser mahu sangat menemui Sharifah Aini yang diminatinya sejak bertahun-tahun lama." Bila Huzz berpeluang bercakap dengan Puan Asnita, 33, dia mengaku "Memang benar kami terkejut bila abang ipar saya tu kata kalau boleh sebelum dia meninggal dunia, dia ingin menatap wajah Sharifah Aini. Dia ni minat sangat dengan Sharifah Aini. Dia seorang yang pendiam dan tak banyak cakap. Kalau boleh tolonglah beritahu kak Pah sampaikanlah hajat dia. Doktor dah beritahu kami, kanser paru-paru abang ipar kami itu dah sampai ke tahap serius." Ketika menghubungi Sharifah Aini dan memberitahu permintaan keluarga Asnita ini, Sharifah Aini tidak menolaknya. "Tak apalah Huzz, kak Aini akan menundakan 'meeting' pada 14 September kerana akan menghabiskan masa di hospital." Pada tarikh yang dijanjikan, pagi-pagi lagi Sharifah Aini sudah bersiap. Beliau membawa sebuah beg berisi sebungkus hadiah besar. Saya menemaninya ke hospital berkenaan. Sharifah Aini yang berbaju kurung, memandu sendiri Mercedesnya ke hospital. "Nasib baik you tidak bawa kamera. Kak Aini tak mahu nanti orang kata mahu publisiti pula," katanya. Memang dia selalu membuat amal kebajikan, menderma dan melawat yang memerlukan termasuk berada di hospital dan ke rumah keluarga peminat yang meninggal dunia tetapi dia mengelak daripada sebarang publisiti terutama bergambar. Bagaimanampun saya memujuknya dengan mengatakan keluarga pesakit ingin juga merakamkan gambar sebagai kenangan. Selain itu permintaan pihak URTV untuk menyiarkan lawatan pada petang itu akhirnya tidak upaya ditolak oleh Sharifah Aini yang pada mulanya menunjukkan rasa segan, bimbang kalau keikhlasannya itu nanti disalahtafsirkan. "Kak Aini tidak mahu orang mengatakan kebaikan yang dibuat mahu ditunjuk-tunjuk. Kak Aini berada di sini seikhlas-ikhlasnya berada di antara kesukaan kak Aini ialah berada di sisi mereka yang sakit dan memerlukan perhatian begini." kata Sharifah Aini. Kita ikuti suasana Sharifah Aini masulk wad menziarahi pesakit.
MENGEJUTKAN JURURAWAT DAN PESAKIT Ketika sampai ke pintu Wad Onkologi 2, di tingkat 1 itu, saya bersama Sharifah Aini yang ditemani oleh Puan Asnita Ahmad dan isteri Norhamdan (Puan Zarina bt Muhamad, 37), disambut dengan perasaan terkejut oleh seorang jururawat yang memakai tag nama MAKNA (dari Majlis Kanser Nasional) yang sedang bertugas di situ. "You ni ... Sharifah ... Sharifah Aini?" tanya MAKNA. Sharifah Aini yang terkejut dengan pertanyaan itu bagaimanapun mengangguk dan kemudian menjawab, "Yes." Terus jadi riuh bila di kalangan jururawat tidak menyangka penyanyi sepertinya muncul di wad mereka. "Saya hanya kenal you melalui publisiti dan di kaca TV," itulah komen kebanyakan mereka yang kemudian datang bersalam dengannya. Bila Sharifah Aini tiba di katil Norhamdan yang berpakaian berwarna ungu (untuk pesakit di wad berkenaan) itu menepuk-nepuk mukanya sendiri. "Apakah saya bermimpi melihat Sharifah Aini?" soal Norhamdan pada dirinya sendiri. Sharifah Aini tersenyum lalu memegang-megang tangan Norhamdan seperti memujuknya agar bertenang dengan kehadirannya. Ketika itu juga beberapa jururawat datang menjenguk. Rupanya tidak ada yang tahu Sharifah Aini akan datang kecuali keluarga Hamdan. Bagaimanapun mereka telah memohon kebenaran dengan pihak atasan wad untuk kebenaran bergambar. "Saya kena selalu tekapkan topeng oksigen ni ke hidung saya," adu Norhamdan, bapa kepada dua orang anak - Mohd Arif, 6 tahun dan Muhamad Shafiq, 5 tahun ini kepada Sharifah Aini sebaik biduanita itu bertanyakan kesihatannya. Kata isteri Norhamdan, "Suami saya ni memang minat habis dengan kak Pah. Dia tak minat penyanyi lain. Kalau di rumah itu penuh dengan album kak Pah, apa saja ditanya tentang Sharifah Aini dia cukup tahu. Keluar majalah ke, surat khabar ke kalau ada cerita Sharifah Aini semua dia baca. Dia sebenarnya seorang yang amat pendiam. Tak cakap banyak. Di rumah selain menguasahakan kraf batik ... dia minat tanam pokok bonsai. Tapi sekarang ni berat badannya dah tinggal 50 kg. Peringkat awal sakit, dia mengalami batuk-batuk biasa. Bermula tahun 1998. Kemudian pada bulan Mei tahun lalu keadaannya lebih teruk dan mula mengalami kesusahan bernafas waktu nak tidur malam sampailah kemudian dikesan mengalami paru-paru berair pada September setahun lalu. Terus dia dimasukkan ke Hospital Pantai, Ayer Keroh, Melaka. Tapi keadaannya tidak berubah dan apabila pemeriksaan dilakukan dia didapati menghidap kanser. Kemudian dia dipindahkan ke Mahkota Medical Centre, Melaka. Ogos lalu dia dimasukkan ke wad ini. Tak apalah Hamdan, banyak ingatkan Allah ... setiap di antara kita sudah ditentukan bahagiannya," pujuk Sharifah Aini. Kata Sharifah Aini lagi, "Saya sendiri tidak tahu macam mana masa depan saya. Kalau Hamdan nak tahu, kak Pah sendiri pernah berkali-kali masuk wad. Barangkali Hamdan tak tahu cerita kak Pah pada tahun 1997. Kak Pah sendiri hampir menemui ajal, sampai dsimasukkan ke wad ICU kerana diserang sakit dada yang amat sangat, sampai susah nak bernafas. Kalau hamdan nak tahu. kak Pah pernah disahkan doktor mengalami sakit paru-paru ... tapi kita kena kuat semangat untuk terus menerima rawatan. Syukur keadaan sudah pulih, namun kak Pah sentiasa kuatkan semangat untuk terus hidup. Jangan terus berduka dan bersedih. Yang menentukan hidup kita ialah Allah. Kadangkala yang sakit inilah boleh hidup lama, sedangkan kita yang sihat ni sekejap nanti diambil nyawa. Kita tidak boleh membaca takdir hidup. Namun bila berdepan dengan kenyataan begini, Hamdan banyakkanlah ingat Allah, berdoa, kuat semangat. Rajin makan ubat dan tabah!' Itulah antara kata-kata semangat yang diberikan oleh Sharifah Aini. Kemudian Sharifah Aini membuka bungkusan besar yang dibawanya. "Cuma satu ... kak Pah mohon maaf kerana pada waktu Huzz memberitahu kak Pah ... kak Pah ingat yang sakit ni perempuan ... jadi kak Pah bawakan kain telekung pula dalam hadiah ini. Tak apalah, kain telekung ni beri pada isteri Hamdan, sejadah yang kak Pah beli di Mekah masa menunaikan umrah dulu ni dihadiahkan untuk Hamdan. Ada juga minyak wangi kesukaan kak Pah jenama Zahara yang dibeli di Mekah. Nah, cuba cium baunya," dia kemudian menitikkan minyak wangi itu di tangan Hamdan dan kaum keluarga yang ada. "Pakailah sejadah ini masa bersolat ya," katanya berpesan. Tiba-tiba isteri Hamdan pula memberikan sebungkus beg plastik tertulis nama Dan Craft - Kampung Batu Seputeh, Chengkau, 73100 Rembau, Negeri Sembilan. "Ini dari kraftangan suami saya ... ada beberapa helai batik yang dibuatnya. Sebenarnya dia tak percaya kak Pah nak datang, tapi kami bekalkan hadiah ini bila saya dan Asnita dapat tahu kak Pah akan datang." Hadiah itu membuat Sharifah Aini juga rasa terharu. "Cantiknya. Saya memang suka batik begini. Banyak kraftangan di rumah saya dari corak bunga-bungaan," kata kak Pah. Setelah meluang masa berbual dengan Norhamdan dan keluarga, Sharifah Aini melayani pula permintaan jururawat yang mahu bergambar dengannya. Pendek kata, katil pesakit Norhamdan hari itu menjadi tumpuan. Ada juga pesakit dari wad sebelah mahu bertemu dengan Sharifah Aini. "Tak apalah, saya akan melawat lain-lain pesakit sekejap lagi. Dah terlanjur ke sini ... apa salahnya. Hamdan tunggu ya ... nanti kak Pah akan datang balik." Sharifah Aini terus menziarahi dari satu katil ke satu katil di wad itu untuk bertanya khabar. Pelbagai cerita tentang penyakit kanser didengarnya. Hampir tiga jam menghabiskan masa di wad itu, sesuatu yang kemudian menggemparkan keluarga Hamdan ialah Hamdan boleh berbual dengan Sharifah Aini tanpa perlu menekapkan topeng oksigen yang sebelum tu bagai tak lekang di hidungnya. "Hai ... nampaknya dah tak payah pakai topeng ni bila kak Pah datang ke sini," kata Hamdan berseloroh. Nampaknya dia teramat gembira dengan kedatangan Sharifah Aini. Dalam keadaan nampak letih dan sakit dia bagai terubat kerinduan ingin sangat menatap wajah penyanyi kesayangannya. Katanya dia tak akan melupakan peristiwa hari itu kerana setelah bertahun-tahun lamanya meminati penyanyi itu akhirnya ketika dia terlantar sakit dia dapat juga menatap wajah Sharifah Aini. Dalam perjalanan pulang, kata Sharifah Aini, "Tengok ... kalau kita mengatakan kita mengalami masalah dalam hidup, ada yang lebih susah. Jadi apa pun dalam hidup ini kita mesti saling menghulurkan perhatian." Tiga hari kemudian Sharifah Aini datang lagi melawat Hamdan dan pesakit lain. Berita gembira yang didengarnya ialah kata keluarga Hamdan, "Hamdan betul-betul bersemangat sejak kak Pah datang ke wad merawat dia. Kalau sebelum itu dia banyak berdiam dan macam lemah semangat, tapi selepas kak Pah pulang pada lawatan pertama, dia nampak bersemangat. Doktor sendiri mengakui dia menunjukkan reaksi yang baik sehinggakan doktor berkeyakinan untuk memberikan rawatan kemoterapi untuknya. Dia berselera makan dan mahu berjalan dan bersenam. Dia pakai sejadah yang kak Aini berikan bila solat. Malah dia sudah bercerita soal masa depan pula, membayangkan kalau dia baik sakit dia mahu ke rumah kak Pah nak jenguk anak-anak kak Pah. Dia juga mahu menghadiahkan kak Pah pokok Bonsai kesayangannya, kerana dia dapat tahu kak Pah peminat bonsai juga." |