PERSEMBAHAN PENGHARGAAN SHARIFAH AINI oleh Hartati Hassan Basri (Harian Metro: Isnin, 6 November 2000) |
Kejayaannya mengekalkan populariti selepas lebih 30 tahun terbabit dengan dunia nyanyian memberi ilham kepada pelajar Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM) mengadakan persembahan khas untuk menghargai biduanita yang terkenal dengan bilangan tahi lalat di muka itu. Persembahan yang membabitkan lebih 100 pelajar ini di Recital Hall, Wisma ICOM, Lorong Setapak Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur, jam 8 malam esok. Sharifah Aini menyifatkan penghargaan pelajar kolej itu sebagai kenangan manis dalam kerjayanya dan sudah tentu terharu dengan kesudian mereka itu. "Biasanya saya menghiburkan peminat, tetapi kali ini dihiburkan dengan lagu-lagu saya menerusi persembahan mereka. Saya tidak sabar lagi menanti saat itu," katanya. Dalam persembahan itu, pelajar ICOM dikatakan menyanyikan 10 lagu popular Sharifah Aini sepanjang pembabitannya dalam seni suara selama 31 tahun. Antaranya lagu Bunga Tanjung, Hapuslah Airmatamu, Tiada Maaf Bagimu, Terbang Helang, Resah Bersalam dan Seribu Mawar. Sharifah yang menjadi tetamu istimewa malam itu turut diundang menyanyikan lagu Nour El Ain, diiringi pelajar ICOM. Bagaimanapun pelajar kolej itu juga menjanjikan kejutan dengan menyanyikan lagu istimewa yang dirahsiakan, khas untuk Sharifah Aini. Bagi mereka lagu itu begitu istimewa serta dikatakan akan memberi kenangan manis kepada penyanyi evergreen itu nanti. Sementara itu bagi pelajar ICOM, kesudian Sharifah Aini hadir malam itu melihat persembahan serta menyanyi bersama mereka sebagai satu penghormatan yang tidak akan dilupakan. Persembahan penghargaan kepada artis tempatan adalah yang pertama kali diadakan sejak kolej itu ditubuhkan pada November 1995. Tahun lalu pelajar memberi penghargaan kepada Eric Clapton. ICOM adalah satu-satunya kolej muzik swasta di Malaysia yang diiktiraf Kementerian Pendidikan. Ia menawarkan ijazah kepujian dalam Muzik serta menawarkan kursus Gubahan Muzik serta Penerbitan dan Teknologi Muzik. Presidennya, Irene Savaree, berkata pihaknya beralih kepada artis tempatan tahun ini kerana sedar sumbangan mereka juga amat penting kepada negara. "Pemilihan Sharifah Aini kerana sumbangannya dalam industri muzik tanah air. Dia layak digelar legenda dan dikenali semua lapisan masyarakat Malaysia," katanya. Artikel lain yang berkaitan: Sharifah's Change Of Scenery (New Straits Times – Friday, November 17, 2000) Penghargaan Khas Untuk Penyanyi Gigih (Utusan Malaysia – Sabtu, 11 November 2000) |