KAK PAH CERIA (Harian Metro: Rabu, 24 April 2002) |
Seperti yang dikatakannya dalam sidang media Minggu Setiausaha hampir sebulan lalu, Sharifah Aini tidak gemar 'bermain' gimik dalam setiap persembahannya kerana dia yakin dengan suara dan lagu-lagunya. Maka itulah yang ditampilkan semalam di dewan Saloma Theatre Restaurant. Berbaju kurung moden berwarna hijau dan berselendang, tepat jam 1.30 petang Kak Pah melangkah ke tengah pentas melantun suara emasnya dengan lagu Bebas. Tepukan bertalu untuk penghibur sepanjang zaman itu. Dewan dipenuhi lebih 400 tetamu yang bukan saja setiausaha malah peminat dan rakannya datang memberi sokongan. Masa lebih satu jam itu berlalu tanpa disedari kerana asyik 'melayan' hiburan di depan mata hidangan Kak Pah. "Selepas 35 tahun, saya makin kuat dan masih di sini," kata Kak Pah selepas menyampaikan Bebas. Kak Pah meneruskan dengan Jatuh Cinta dan Mengapa Sukar Melafazkan Maaf sebelum memperkenalkan tenaga pengiringnya seperti Syed Sobri dan Raymond Ho sebagai pemuzik dan Hanis, Dian serta Eja melatari suara. Sempat bergurau dengan penonton melalui jenaka ringkasnya sebelum menyambung dengan Semua Pergi, Smile (Nat King Cole) dan Kau Pergi Tanpa Pesan dengan mengajak rakan baik yang juga pereka pakaiannya, Tom Abang Saufi untuk 'bergelek' bersama. Tom yang ringkas dengan blaus biru berseluar putih agak malu pada mulanya tetapi cukup 'sporting' apabila di pentas. Pertama kali juga melihat Kak Pah 'bergelek'. Suaranya? Tak perlu dipertikaikan. Sepanjang persembahan itu, tak ada insiden atau 'pancit', mungkin pengalamannya yang menjangkau 35 tahun banyak membantu Kak Pah. Kelihatan beberapa selebriti termasuk Ras Adiba Radzi, Datuk Wah Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif THR.fm, Abdul Aziz Hamdan. Persembahan Kak Pah tidak seperti penghibur lain yang banyak 'mengena' penonton seperti kuiz dan cabutan bertuah. Malah diva pop Melayu ini tidak memerlukan 'side kick' untuk menyokong persembahannya serta tak perlu bertukar baju untuk menarik perhatian peminatnya. Semuanya tidak menghalang mereka berganjak sepanjang lebih sejam itu. Kak Pah nampak seakan tidak selesa dengan selendang yang melilit bahunya. Seketika kemudian, dia 'melepaskan' selendang itu dan barulah pergerakannya kelihatan lebih selesa dan 'bebas'. Tidak hanya lagu-lagu rakamannya, Kak Pah memilih koleksi Bee Gees seperti Massachusset, How Deep Is Your Love dan Don't Forget To Remember. Kembali ke lagunya, Bunga Tanjung menjadi pilihan dan mungkin familiar dengan lagu itu, ramai penonton bertepuk tangan mengiringinya. Pentas makin panas dengan irama Latin dendangan Marc Anthony, I Need To Know sebagai lagu akhirnya. Namun tak lama sebab penonton mahu lagi dan dengan senang hati Kak Pah memenuhi permintaan mereka dengan Nur El Ain dan Putus Kasih. "Kak Pah puas hati dengan persembahan ini. Kak Pah tak kata Kak Pah bagus tetapi persembahan tadi bagus. Ramai penonton juga suka dengan persembahan tadi," kata Kak Pah selepas persembahan itu. Dia yang meluangkan lebih kurang 10 hari untuk latihan bagi persembahan dua hari itu (termasuk hari ini), sebenarnya memperuntukkan 20 lagu dalam repertoirenya tetapi kerana kesuntukan masa Kak Pah sempat melangsaikan 16 lagu. Pun begitu, rata-rata penonton gembira dan puas hati dengan persembahannya. Artikel lain yang berkaitan: Sharifah Aini - Penampilan Masih Hebat (Utusan Malaysia – Sabtu, 27 April 2002) Sharifah Aini Ada Kelas Tersendiri (Berita Harian – Jumaat, 26 April 2002) |