SHARIFAH AINI ADA KELAS TERSENDIRI oleh Khairull Azleyana Ishak (Berita Harian: Jumaat, 26 April 2002) |
Vokal lantang dan lunak menjadi aset utama biduanita evergreen Sharifah Aini bagi memukau ratusan peminat yang hadir menyaksikan persembahannya di Saloma Bistro & Theatre Restaurant, Kuala Lumpur, Selasa lalu. Sharifah atau Kak Pah tampak begitu anggun dan bergaya dengan kebaya hijau pucuk pisangnya. Beliau nyata bersedia untuk membuat persembahan pada hari itu selepas berlatih beberapa lama termasuk meminta pandangan wartawan hiburan dalam memilih repertoire yang sesuai untuk dialunkan. Nyata lagu pembukaannya, Irama Cintaku, begitu mengimbas nostalgia kerana ia amat jarang dinyanyikannya dalam mana-mana persembahan. Irama Cintaku adalah lagu saduran yang pernah Kak Pah rakamkan dalam album solonya sekitar 1974. Selepas lebih 35 tahun bergelar penyanyi dan penghibur, Sharifah Aini nyata tidak menghampakan peminatnya yang terdiri daripada setiausaha bersama majikan masing-masing pada tengah hari itu. Seperti biasa, celotehnya mencuit hati. "Saya mahu berkongsi kegembiraan dengan anda semua. Sepanjang 35 tahun saya naik dan turun dan saya tetap survived. Bagi saya apa saja kita perlu tabah ... so be strong!" katanya yang diiringi pemuzik berpengalaman, Syed Sobrie. Kak Pah bukan saja membawakan lagu Melayu termasuk irama asli malahan tidak melupakan lagu Inggeris seperti nyanyian Marc Anthony dan Bee Gees. Antara lagu Inggeris itu ialah How Deep Is Your Love, Don't Forget To Remember, Smile, Love Letter dan I Need To Know. Lagunya sendiri yang tidak lapuk dek hujan ialah Bunga Tanjung, Kau Pergi Tanpa Pesan, Gunung Banang dan Kau Racun Hidupku. Kak Pah juga tidak melupakan lagu Broery Marantika, Sendiri serta lagu merdu Tan Sri P Ramlee, Tunggu Sekejap. Tidak dinafikan, persembahan Kak Pah walaupun tidak selincah artis lain, tetap ada kelas tersendiri dan menghiburkan. Selain diiringi tiga penyanyi latar, Kak Pah turut menjemput peminatnya naik ke pentas dan antara mereka ialah pereka fesyen Tom Abang Saufi. Ketika ditemui selepas persembahannya berkata beliau cuba memberikan yang terbaik kepada peminatnya terutama kelompok setiausaha yang diraikan. "Saya mahu berikan yang terbaik dan wajar dengan apa yang mereka belanjakan hari ini. Saya berusaha untuk menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada mereka yang sentiasa menyokong perjuangan saya selama 35 tahun ini," ujar Kak Pah. Apa yang jelas, kemunculan Kak Pah pada hari itu sesuai dengan kemaraannya dalam dunia hiburan. Tidak lama lagi album solo terbarunya akan muncul dan ia memuatkan banyak lagu hebat karya M Nasir dan Ajai. Artikel lain yang berkaitan: Sharifah Aini - Penampilan Masih Hebat (Utusan Malaysia – Sabtu, 27 April 2002) Kak Pah Ceria (Harian Metro – Rabu, 24 April 2002) |