SEJARAH SHARIFAH AINI PERLU DIDOKUMENTASI

oleh Nor Akmar Samudin  (Harian Metro: RAP Rabu, 5 Ogos 2015)

KAK Pah terus dikenang sepanjang zaman

Pemergian penyanyi legenda Datuk Sharifah Aini pada 5 Julai tahun lalu sememangnya tiada pengganti.  Kemerduan suara, hati budinya yang tulus ikhlas, sikap mesra dan rendah dirinya sentiasa menjadi kenangan.

Bagi mengenang semula jasa beliau, baru-baru ini Jabatan Teater Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Puncak Perdana menganjurkan Wacana Seni Program Teater Apresiasi Legasi Datuk Sharifah Aini (Setahun Tanpamu).

Ia adalah ilham Pensyarah Jabatan Teater Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin yang turut bertindak selaku moderator.  Program itu turut mengundang rakan rapat dan penggiat seni yang pernah bekerja dengan Sharifah Aini atau Kak Pah untuk berkongsi memori dan nostalgia dengan pelajar.

Panel program berkenaan ialah komposer terkenal Fauzi Marzuki, pengarah muzik dan komposer Datuk Johari Salleh, bekas pengarang Life & Times New Straits Times Aishah Ali dan rakan rapat Allahyarham, Rizal Kamaruddin.  Fauzi, 60, yang pernah menguruskan kerjaya seni Kak Pah ketika beliau menjadi artis EMI Malaysia sudi berkongsi kenangannya bersama Allahyarham untuk ruangan Verbatim dalam ditemu bual Wartawan RAP, Nor Akmar Samudin.

RAP:  Boleh anda berkongsi kenangan selama mengenali Kak Pah?

Fauzi Marzuki (Fauzi):  Beliau seorang yang sangat istimewa dan tidak ramai artis di negara ini yang bertahap legenda sepertinya.  Di Malaysia, kita ada beberapa saja artis legenda antaranya Allahyarham Puan Sri Saloma, Anita Sarawak dan artis generasi baru seperti Datuk Siti Nurhaliza.  Saya sudah bekerja dengan ramai artis, tetapi beliau sangat istimewa dan kita perlu belajar daripadanya.  Sebagai penghargaan di atas segala pencapaiannya lebih 40 tahun dalam industri hiburan tanahair, sejarah hidupnya perlu didokumentasikan untuk dipelajari dan dikaji pencinta budaya serta artis angkatan baru.

RAP:  Jadi program Apresiasi Legasi Datuk Sharifah Aini (Setahun Tanpamu) memang sewajarnya diadakan?

Fauzi:  Sudah semestinya kerana walaupun beliau sudah pergi meninggalkan kita, beliau juga mewariskan kita khazanah seni yang amat berharga.  Penggiat seni lain perlu belajar bagaimana nak jadi artis tersohor.  Daripada imej dan pembentukan peribadi sebagai anak seni yang disanjung tinggi, Kak Pah lain daripada artis yang lain.  Benda sebeginilah patut dijadikan bahan rujukan penting untuk seni budaya Malaysia.

RAP:  Apakah keistimewaan Kak Pah sebagai artis dan rakan secara peribadi?

Fauzi:  Ketika berusia 14 tahun, saya sudah menjadi peminat tegar Kak Pah.  Alunan suaranya yang merdu membuatkan saya sentiasa merindui lagu nyanyiannya.  Pada 1983, saya bertugas sebagai Pengurus A & R EMI Malaysia mengendalikan urusan dan konsert pelbagai artis seperti Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Anita Sarawak, Datuk DJ Dave, Rosemaria, Anuar dan Ellina, Sweet September, Cenderawasih, Kak Pah dan ramai lagi.

Selaku pengurus artis saya rapat dengan Kak Pah yang saya tak sangka daripada peminatnya saya kini bekerja dengannya.  Saya berkhidmat dengan EMI sehingga 1992 dan selama 17 tahun saya menguruskan kerjaya seninya, saya perhatikan pelbagai perkara terutama nyanyiannya serta peribadinya.  Mereka yang bergelar bintang legenda dianugerahkan 'passion' yang tinggi untuk berjaya dan mereka memang dilahirkan untuk menjadi penyanyi.

Mereka memang tak boleh buat kerja lain selain menyanyi.  Kesungguhan serta kerja keras menjadikan mereka insan yang disegani, disanjung dan dihormati dalam bidang seni.  Kak Pah menjadi anak seni yang terbaik mengikut caranya tersendiri.

RAP:  Bagaimana pula dengan jatuh bangun, suka duka Kak Pah dalam industri dan peribadi?

Fauzi:  Beliau mula mengecapi era kegemilangan pada 1970-an dan artis Malaysia pertama bergelar 'superstar'.  Sebagaimana orang lain juga, beliau melalui pelbagai fasa dalam kehidupan, nyanyian, berkahwin dan ada anak.  Dalam menyusuri kemasyhuran banyak perkara berlaku antaranya beliau bertambah bijak mengendali dirinya supaya tidak dibenci orang.

Beliau sentiasa menjaga status dan 'standardnya' sebagai artis.  Beliau juga sangat rajin belajar.  Daripada seorang yang tidak pandai berbahasa Inggeris akhirnya dia boleh menuturkan bahasa itu dengan baik hasil pembelajaran sendiri dan kawan-kawan rapatnya untuk rujukan.

Sayangnya, selepas meninggalkan EMI, dia tiada pengurus yang betul-betul dapat melancarkan kerjaya nyanyiannya.  Ketika bersama EMI, saya dan pasukan saya menguruskan publisiti, promosi, imej dan pakaiannya.  Kami selalu memberi komen positif kepadanya kerana kami berkongsi visi yang sama apabila Kak Pah mahu menjadi artis terbaik dan EMI pula mahu jadikan beliau artis nombor satu tanah air.

Beliau seorang yang senang berbincang dan selalu menerima cadangan kami.  Jika tidak yakin atau was-was dengan segara dirujuk kepada Pengurus Besar EMI ketika itu iaitu Beh Suat Pheng.  Dia memang artis yang rajin bertanya.  Secara peribadi, Kak Pah tidak sombong dan dalam kalangan kami yang rapat dengannya, sudah seperti adik-beradik.  Meskipun kontraknya dengan EMI sudah tamat, beliau terus bersama-sama EMI untuk semua projek nyanyiannya.

Selama saya menguruskannya, tiada isu besar dan kontroversi yang timbul.  Beliau amat berhati-hati dalam setiap sudut kehidupannya dan tidak 'main langgar' saja.  Saya tak cipta banyak lagu untuknya, adalah dua, tiga lagu termasuk lagu Kau Yang Bernama.  Kak Pah juga bertuah kerana dia dikelilingi rakan-rakan rapat seperti Habsah Hassan dan wartawan Bahyah Mahmud (BAM).  Mereka juga menjadi tempat rujukannya.

RAP:  Barangkali artis bernama besar sepertinya pasti ada sesuatu yang membimbangkannya terutama dalam memastikan zaman kegemilangannya terus bertahan.

Fauzi:  Mengekalkan 'standard' yang dicapai bukan mudah, sama juga dengan Kak Pah.  Ada juga ketakutan di hatinya seperti bimbang tersilap pilih lagu risau tidak dapat diterima peminat.  Bergelar ikon, adakala mengganggu dirinya kerana peminat sentiasa mahukan yang terbaik daripadanya.  Saya yakin jika selepas beliau meninggalkan EMI dan mempunyai pengurus yang bagus, beliau pasti dapat pergi lebih jauh lagi.

Kak Pah tidak berpelajaran tinggi, tetapi dia banyak belajar daripada pengalaman.  Saya juga yakin apabila dia mengadakan persembahan, dia turut bertanya kepada artis senior lain seperti Datuk M Daud Kilau dan dia juga bertuah kerana tidak salah pergaulan dan percampuran.  Saya tidak pernah terdengar dia pergi ke pusat hiburan.

RAP:  Kenangan manis dengan Kak Pah.

Fauzi:  Saya seronok dapat bekerja dengannya dan berbangga menjadi sebahagian daripada kerjaya Kak Pah.  Dia 'the only singer' yang menjadi anak emas EMI.  Beliau boleh menyanyi semua rentak lagu dari balada ke zapin dan pop serta mampu menghiburkan semua peringkat pendengar daripada orang biasa sehingga VIP serta golongan diraja.

Artikel lain yang berkaitan:

  Setahun Tanpa Kak Pah (BH: BH2 HIP Selasa, 4 Ogos 2015)