SETAHUN TANPA KAK PAH

oleh Rosdan Mazalan  (BH: BH2 HIP Selasa, 4 Ogos 2015)

LEGASI SENI BIDUANITA NEGARA, DATUK SHARIFAH AINI TERUS DIKENANG GENERASI MUDA

Menyingkap legasi seni lebih empat dekad yang dicipta Biduanita Negara, Allaharham Datuk Sharifah Aini, banyak kisah penuh inspirasi boleh dihayati terutama oleh pendatang baharu.  Setahun pemergian Sharifah Aini atau ketika hayatnya senang disapa Kak Pah, siapapun tidak menolak status ikon yang layak diberi kepadanya berdasarkan sumbangan besar kepada dunia seni sejak tahun 1968.

Wajarlah direnung bagaimana penghibur ternama ini mengukir nama daripada latar belakang keluarga yang susah hingga mencapai status tinggi dan dihormati dalam persada seni hingga ke akhir hayat.  Tidak hairanah, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) memilih Kak Pah sebagai subjek dalam Wacana Seni Program Teater; Apresiasi Legasi Seni Datuk Sharifah Aini Setahun Tanpamu di kampus Puncak Perdana, baru baru ini.

Suasana Syahdu

Wacana yang dipengerusikan pensyarah FITA, Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin bersama panel seperi rakan baik Kak Pah, Aishah Ali, komposer, Fauzi Marzuki dan penyelaras konsert yang juga teman baik, Rizal Kamaruddin menyelongkar keistimewaan anak jati Johor Bahru ini.  Majlis yang dimulai dengan rakaman bacaan ayat suci al-Quran daripada Kak Pah cukup membuatkan lebih 200 tetamu yang merangkumi pelajar FiTA tunduk syahdu.  Suasana menjadi sayu mendengar kelunakan suara Kak Pah pemberian Yang Maha Esa itu.  Menurut Aishah, Kak Pah yang juga teman sekolahnya, mengamalkan pembacaan ayat suci al-Quran sejak usia muda.

"Ketika bersekolah dulu, Kak Pah menjadi pelajar harapan sekolah kerana kelebihannya pandai mengaji dan pernah beberapa kali mewakili sekolah dan menjuarai pada majlis tilawah al-Quran.  Datuknya insan yang bertanggungawab mendidik Kak Pah dengan mengajar mengaji al-Quran dan menghantarnya belajar di sekolah bahasa Arab.  Secara tidak langsung, itulah latihan vokal paling bekesan sehingga menjadikan suaranya merdu, lunak dan beremosi.  Allahyarham mampu menyerap apa saja melodi ketika Kak Pah menceburi dunia nyanyian," katanya yang sentiasa merindui kenangan bersama ketika zaman kanak-kanak mereka.

Lupa Penyanyi Asal

Bagi Rizal pula, keistimewaan Kak Pah pada awal kemunculannya adalah belaiu banyak merakamkan lagu penyanyi lain mengikut caranya sendiri.  "Pada awal kemunculannya, setiap album Kak Pah hanya ada satu saja lagunya sendiri.  Lagu lain adalah dendangan saduran.  Namun itulah kelebihannya apabila nyanyiannya lebih sedap daripada penyanyi asal.  Disebabkan itulah, ramai yang terus lupa siapa penyanyi asal.  Saya pernah bertanya kepadanya bagaimana beliau melakukannya hingga orang boleh lupa penyanyi asal.  Katanya setiap lagu yang dinyanyikan, beliau akan mendengar sekali saja versi asal.  Ini kerana Kak Pah bimbang terikut cara asal.  Selebihnya Kak Pak akan menghayati dan membawanya sedalam-dalamnya mengikut penghayatan sendiri," katanya.

Rizal berkata, Kak Pah pernah menyebut, jika mahu menyanyikan lagu orang, kita harus berusaha untuk menjadikan lagu itu lebih baik daripada penyanyi asal.  Selain itu, Rizal berkongsi keistimewaan penyanyi ini yang tidak pernah gagal menyanyikan lagu ciptaan komposer berbeza.  "Ramai yang kata, sekiranya kita sudah serasi dengan seorang komposer, kita sukar untuk mendapat kerserasian dengan komposer lain.  Setiap komposer berlainan cara.  Namun Kak Pah berbeza kerana kesemua komposer yang pernah bekerjasama dengannya sepeti Kassim Masdor, Datuk Ahmad Nawab, S Omar Osman, S Atan, Fauzi Marzuki dan ramai lagi semuanya berjaya.  Sebab itu, Kak Pah adalah satu-satunya artis tanahair yang mampu menyanyikan pelbagai rentak lagu seperti ghazal, deli, pop, evergereen, rock serta hip hop dengan baik kerana keserasiannya dengan semua komposer yang mudah bekerjasama dengannya," kata Rizal.

Wacana seni yang dianjurkan setiap bulan oleh FITA itu turt diselang-selikan dengan putaran lagu dendangan Kak Pah bagi menghayati, mengkaji keunikan nyanyiannya untuk dibahaskan ahli panel.

Curi Emosi Dalam Lagu

Fauzi meletakkan Kak Pah sebagai satu-satunya insan seni yang tidak lagi dimiliki industri hiburan sejak pemergiannya pada 5 Julai tahun lalu.  "Saya megenalinya sejak tahun 1972.  Sudah tentu menerusi lagu Seri Dewi Malam yang diakui cukup memberi kesan menaikkan namanya sehingga menjadi Biduanita Negara.  Ketika zaman pop yeh yeh sedang menjadi fenomena, kita dikejutkan dengan kemunculan Sharifah Aini.  Kehadirannya yang lengkap dengan pakej kerana memiliki suara yang merdu, cantik dan baik dengan semua orang mengangkat namanya dan memiliki zaman kegemilangannya sendiri.  Bagi saya, Kak Pah bertuah kerana kerjasamanya dengan komposer Kassim masdor menerusi lagu Seri Dewi Malam betul-betul menjadi," katanya.

Fauzi menyifatkan Kak Pah sebagai penyanyi hebat yang mencurahkan emosi dalam lagu dendangannya.  "Kak Pah dilahirkan dengan kurniaan bakatnya sebagai penyanyi.  Jujur, dalam nyanyiannya itu sebenarnya Kak Pah rasa apa yang dinyanyikan.  Sebagai pendengar juga kita sendiri dapat rasa penceritaannya.  Jika tidak kita melihatnya ketika menyanyi, kita sendiri dapat bayangkan beliau sedang tersenyum, bersedih, bergembira yang lahir dari riak mukanya.  Inilah ilmu yang seharusnya dikaji penyanyi generasi hari ini yang banyak terlepas pandang.  Kak Pah selayaknya menjadi inspirasi, ikon dan idola buat siapa yang mahu menjadi penyanyi," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sejarah Sharifah Aini Perlu Didokumentasi (Harian Metro: RAP Rabu, 5 Ogos 2015)