Artis ratapi pemergian kak pah oleh Muhamad Fairoz Azizan (BH: BH2 HIP – Isnin, 7 Julai 2014) |
Kehilangan Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, 61, meninggalkan kesan mendalam keada industri muzik Malaysia. Kesedihannya bukan saja dirasai rakan seangkatan yang sama-sama memacu industri seni negara, malah dirasai generasi baharu dalam bidang sama. Ada antara mereka tidak dapat menziarahi Allahyarham buat kali terakhir, kelmarin, namun banyak ucapan doa dan takziah dititipkan melalui laman sosial. Kongsi Kesedihan Ramai artis berkongsi rasa sedih dan simpati atas pemergian Sharifah Aini yang disifatkan kehilangan besar kepada negara. Pemergian Sharifah Aini mengejutkan semua pihak termasuk penyanyi, Jaclyn Victor yang sedih menerima berita itu. Jac, menerusi laman Twitternya menyebut, pemergian insan seni itu tiada galang gantinya. "Oh Tuhan. Baru mendengar mengenai Kak Pah! Saya sangat sedih. Tidak akan ada Sharifah Aini lain. Semoga anda berehat dengan aman ibu," katanya. Yuna Ucap terima Kasih Jauh di perantauan tidak menghalang penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yunalis Zarai tersentuh dengan berita pemergian bintang yang popular dengan lagu Seri Dewi Malam, Hapuslah Airmatamu dan Rahsia Hati itu. Rasa sedih dan sayu diluahkan melalui ucapannya di laman Twitter. Yuna menyanjung Sharifah Aini yang menyumbang muzk yang indah sejak berdekad lalu. "Selamat tinggal Datuk Sharifah Aini. Anda memberikan kami muzik yang indah sejak berdekad lalu. Al-Fatihah," katanya. Pemergian Sharifah Aini turut meninggalkan kesan kepada komposer terkenal, Faizal Uzir yang lebih dikenali dengan panggilan Lok-U. Beliau menyifatkan Sharifah Aini sebagai insan yang banyak mengajarnya dalam segala aspek. "Datuk Sharifah Aini ... mesra dipanggil Kak Pah banyak mengajar saya dalam segala aspek. Biduanita ini selalu menabur bakti. Kak Pah selalu mengingatkan saya mengenai amalan seorang Muslim. Kini, tiada lagi seperti beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang ayang soleh ... Al-Fatihah." Katanya dalam laman Instagram milknya.
Artikel lain yang berkaitan: Aliff Tunai Hajat Ibu (BH: BH2 HP – 7 Julai 2014) Kak Pah Akan Sentiasa Dikenang (BH: BH2 HP – 7 Julai 2014) |