SHARIFAH AINI BERI TEMPOH TIGA TAHUN LAGI

(Berita Harian: Selasa, 1 Oktober 2002)

Bagi bintang tahi lalat, Sharifah Aini, pembabitannya sebagai antara pengasas Pods & Petals' Giftlab, firma yang menyediakan perkhidmatan gubahan bunga dan hadiah gaya kontemporari bukan disebabkan kecewa dengan masalah cetak rompak yang tidak berkesudahan. Sebaliknya, minat mendalam terhadap seni rekaan hadiah dan bunga memberi inspirasi kepadanya untuk mempelopori gaya gubahan eksklusif di negara ini. Baginya, kecantikan dan wanita tidak dapat dipisahkan manakala 'bermesra' dengan barangan yang indah memberinya kepuasan tidak terhingga. Seperti dirinya yang menghargai kecantikan, pembabitan dalam bidang ini juga sebagai langkah awal untuk persiapan apabila tidak lagi terbabit secara aktif dalam arena seni sedikit masa lagi.

Kata Sharifah, syarikat itu dibuka bersama dua rakan kongsinya, Vivian dan Jason Ong dengan modal berbayar RM500,000. Mereka mengeluarkan modal sekitar RM166,000 dan menjangkakan pulangan modal sebanyak RM1 juta pada tahun depan. "Disebabkan minat, semua yang saya lakukan ini menjadi mudah. Segala bentuk perniagaan ada risiko dan kita perlu berani menghadapinya. Syarikat ini adalah peluang pertama saya untuk bergiat cergas dalam bidang gubahan," katanya.

Kata Sharifah, kesunyian tanpa anak di sisi juga membolehkan beliau memberikan komitmen terhadap perniagaan itu. "Kalau dulu, mungkin sukar kerana mereka masih kecil dan memerlukan perhatian daripada saya. Tetapi, apabila sudah membesar dan tinggal berjauhan, saya mencari sesuatu untuk memenuhi ruang kosong itu. Lagipun, bukan setiap hari saya menyanyi. Justeru, bekerja dengan sesuatu yang cantik sungguh menggembirakan. Saya juga ingin melakukan perkara yang boleh membuatkan hati saya senang," katanya yang tidak keberatan turun padang bagi memperkenalkan lebih giat lagi dunia baru yang diusahakannya itu.

Kata Sharifah, selepas 35 tahun menghambakan diri sebagai anak seni, pembabitan secara keseluruhan dalam syarikat itu memberi lebih makna daripada membenarkan namanya digunakan syarikat pengeluar barangan lain. Sehubungan itu, Sharifah, penerima Anugerah Emas Era pada Anugerah Era 2002 di Arena Of Stars, Genting Highlands, Sabtu lalu, turut dilantik sebagai jurucakap Pods & Petals Giftlab yang kini beroperasi di sebuah kediaman yang diubah suai di Petaling Jaya. "Saya tidak mahu menjadi jurucakap kepada produk yang tiada kaitan dengan pembabitan saya. Lebih baik, saya sendiri membuat pelaburan dan dari situ, saya dapat memerhati perkembangannya," katanya.

Sharifah yang bakal muncul dengan album ke-75 bersama EMI, awal tahun depan, juga mengakui beliau sudah puas bergelumang dengan dunia seni. Katanya, beliau menetapkan tempoh tiga tahun lagi untuk terus aktif sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada nyanyian. Malah, katanya, apa yang dilakukannya kini adalah sebagai kerjaya alternatif apabila tidak lagi bergelar artis. Bagi Sharifah, itu adalah pengorbanan sucinya terhadap anaknya, Aliff yang kini menuntut dalam pengajian agama di Madinah. "Saya kena hormat dengan apa yang dilakukan Aliff kini. Saya juga sudah berjanji dengannya walaupun dia tidak pernah memaksa saya untuk meninggalkan dunia nyanyian. Alif pergi mencari keredaan Allah. Saya melakukan pengorbanan ini dengan hati yang rela. Saya tidak mahu Aliff dibebani tekanan hanya kerana ibunya seorang artis," katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bidang perniagaan yang diusahakan penyanyi Terbang Helang itu, boleh menghubungi 03-79557555 atau layari laman web; www.giftlab.com.my.

Artikel lain yang berkaitan:

  Gubahan Sharifah Aini Penyeri ABP-BH2002 (Berita Harian Jumaat, 18 Oktober 2002)

  Kehidupan Sharifah Aini Sudah Berubah (Mingguan Malaysia: Pancaindera 13 Oktober 2002)

  Ceburi Dunia Perniagaan Sebagai Persediaan Tinggalkan Dunia Seni (Mingguan Wanita 11-17 Oktober 2002)

  Dunia Baru Sharifah Aini (Mingguan Malaysia: Pancaindera 29 September 2002)