DUNIA BARU SHARIFAH AINI

oleh Saharudin Musthafa  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 29 September 2002)

Kecantikan dan keindahan sememangnya sinonim dengan wanita.  Golongan Hawa sanggup melabur wang yang banyak khususnya untuk kecantikan diri dan memastikan keindahan kediaman mereka terpelihara.  Dalam hubungan ini, penghibur legenda tanah air Sharifah Aini dikenali ramai kerana memiliki karakter yang sama seperti wanita-wanita lain di dunia.  Seperti kejelitaannya yang terus terpelihara, begitu juga dengan persekitarannya.  Sharifah suka dan begitu menghargai kecantikan dan keindahan.  Kerana menghargai kecantikan dan keindahan juga, biduanita masyhur itu membuat keputusan melibatkan diri dalam perniagaan yang berkait rapat dengan dua faktor itu.

Rabu lalu, secara rasminya Sharifah mengumumkan penglibatannya dalam syarikat Pods & Petals' Giftlab iaitu sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan gubahan bunga dan hadiah.  Pods & Petals' Giftlab yang beroperasi dengan modal berbayar RM500,000 merupakan syarikat yang menyaksikan perkongsian antara Sharifah dengan dua rakan kongsinya iaitu Jason Ong dan Vivian.  "Kami melabur RM166,000 setiap seorang dan kami menjangkakan akan mendapat perolehan RM1 juta pada tahun hadapan," katanya kepada wartawan selepas majlis pelancaran syarikat itu di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Sharifah berpendapat, penglibatannya secara total dalam syarikat itu lebih memberikan manfaat daripada hanya membiarkan namanya digunakan oleh syarikat-syarikat perniagaan lain menerusi produk keluaran mereka.  Justeru, selain bertindak sebagai pengarah eksekutif, beliau juga menjadi jurucakap rasmi produk 'Pods & Petals' Giftlab'.  "Saya tidak mahu menjadi jurucakap bagi produk orang lain.  Adalah lebih baik saya sendiri membuat pelaburan dan menyaksikan perkembangan syarikat saya," katanya.

Syarikat berkenaan menawarkan pelbagai pilihan gubahan bunga dan hadiah-hadiah rekaan eksklusif serta kontemporari.  Sharifah tidak menafikan pada masa hadapan, beliau mungkin menghasilkan produk menggunakan namanya sendiri sebagai jenama.  "Ini merupakan permulaan saya dalam bidang perniagaan.  Siapa tahu pada masa hadapan mungkin saya menghasilkan wangian jenama saya sendiri atau lain-lain produk," ujar penghibur itu yang sudah 35 tahun melibatkan diri dalam bidang seni tanah air.

Bakal muncul dengan album ke-75 pada awal tahun depan, wanita yang sentiasa murah dengan senyuman ini turut menjelaskan bahawa beliau mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak memilih untuk melibatkan diri dalam perniagaan berkaitan dunia hiburan.  Kata Sharifah, seperti diumumkannya sebelum ini, beliau hanya mempunyai tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun lagi sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.  "Saya sudah puas bergelumang dalam arena seni.  Justeru, adalah lebih baik jika saya memilih bidang lain pula," jelasnya.

Selain itu Sharifah tidak menafikan beliau perlu memikirkan kerjaya alternatif kerana sebagai ibu beliau sendiri menghormati kedudukan anak lelaki tunggalnya Aliff yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang agama di kota suci Madinah.  "Saya kira itu adalah pengorbanan yang sebaik-baiknya kerana saya tidak mahu anak saya dibebankan dengan tekanan hanya kerana ibunya seorang artis," kata Sharifah.  Menurut Sharifah, `dunia barunya' itu amat menyeronokkan.  Masa lapangnya kini terisi dengan aktiviti yang memberikan banyak manfaat kepadanya.  Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut perniagaan biduanita negara ini, anda boleh melayari laman web www.giftlab.com.my.

Artikel lain yang berkaitan:

  Gubahan Sharifah Aini Penyeri ABP-BH2002 (Berita Harian Jumaat, 18 Oktober 2002)

  Kehidupan Sharifah Aini Sudah Berubah (Mingguan Malaysia: Pancaindera 13 Oktober 2002)

  Ceburi Dunia Perniagaan Sebagai Persediaan Tinggalkan Dunia Seni (Mingguan Wanita 11-17 Oktober 2002)

  Sharifah Aini Beri Tempoh Tiga Tahun Lagi (Berita Harian Selasa, 1 Oktober 2002)