RAHSIA LAGU DODOI SI DODOI oleh Rozdan Mazalan (Berita Harian: Selasa, 1 Jun 2010) |
Apabila tiba bab meraikan ibu dengan lagu, serahkan saja kepada Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini kerana himpunan lagunya yang berkisar mengenai kasih sayang seorang ibu sudah cukup untuk membuai wanita bergelar ibu sepanjang malam. Ditambah pula hidangan enak dan suasana dalam Royal Ballrooom, Palace of the Golden Horses malam Jumaat lalu, tetamu yang sudah pasti adalah peminatnya bagaikan tidak berganjak dari tempat duduk menyaksikan persembahan To Mum With Love yang juga menyaksikan kemunculan Mawi. Berbekalkan vokal gemersik dan lemak merdu, penyanyi malar segar yang lebih mesra disapa Kak Pah itu pantas mengingatkan tetamu agar sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan ibu. Hati kecil ibu tunggal kepada Aliff Omar ini begitu tersentuh apabila membicarakan perihal ibu ketika menjayakan konsert yang berlangsung hampir dua jam setengah itu. Setiap satu lagu yang didendangkan pastinya berkaitan ibu, lebih-lebih lagi susunan 10 lagu pada awal persembahannya adalah berhubungkait dengan kasih, sayang, pengorbanan malah kesengsaraan seorang ibu membesarkan anak. Lagu seperti Ibu (Allahyarham P. Ramlee), Mawar Putih Untuk Mama, Ku Pohon Keredhaanmu, Air Mata Kasih, Kasihnya Ibu, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Mama Oh Mama dan Dodoi Si Dodoi begitu menusuk kalbu penangan vokal gemersik Kak Pah, sehingga ada penonton yang menitiskan air mata.
"Pelbagai pengalaman manis sudah saya tempuhi sepanjang bergelar anak seni. Dalam pada sibuk mencari duit, saya juga ingin membesarkan anak. Teringat saya ketika merakamkan lagu Dodoi Si Dodoi pada 1979. Lagu ini sentiasa mengingatkan saya kepada Aliff. Walaupun malam ini dia tidak ada bersama kita, namun saya ingin menyanyikan lagu ini. Pada tahun 1981, saya mengandungkan dia dan 1982 Aliff dilahirkan. Ketika itu saya begitu sibuk dengan pertunjukan pentas dan Aliff hanya ditemani lagu itu. Saya meninggalkan Aliff bersama pembantu rumah dan menyuruhnya memasangkan lagu itu ketika saya tiada di rumah. Begitulah seterusnya sehingga Aliff berusia 10 tahun. Lagu itu kini menjadi lagu kegemaran Aliff hingga kini," katanya.
Menurut Mawi, sebaik melangkah ke Royal Ballroom, POTGH tempat berlangsungnya majlis itu, dia berbangga apabila melihat gambarnya dipaparkan bersama idolanya, Sharifah Aini. "Walaupun gambar saya kecil, saya sangat berbangga apabila gambar saya ada bersama idola saya. Memang saya sudah impikan sejak dulu lagi untuk berganding bersama Datuk Sharifah Aini dan akhirnya impian itu termakbul," katanya. Ternyata penonton terhibur dengan persembahan dan jenaka bersahaja penyanyi yang pernah menjadi Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama tiga tahun berturut-turut. Malah, Mawi semakin bijak berkomunikasi dengan penonton lalu menyerlahkan sisi kematangannya. Barangkali kalau ada yang terkilan pun malam itu adalah apabila tiada segmen yang menggandingkan Biduanita Negara itu dengan Mawi. Hadirin tertunggu-tunggu juga mahu melihat duet Mawi dan Kak Pah tetapi hampa kerana sampai sudah, mereka tidak digandingkan sedangkan gandingan itulah yang ditunggu-tunggu. Artikel lain yang berkaitan:
|