KAK PAH, MAWI SEMARAK KASIH IBU oleh Nor Akmar Samudin (Harian Metro: Selasa, 1 Jun 2010) |
"Seorang ibu boleh menjaga 10 anak tapi yang selalu berlaku, 10 anak itu tidak mampu menjaga seorang ibu," kata-kata bermakna itu dilafazkan Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, apabila muncul di Grand Ballroom, Hotel Palace of the Golden Horses, Jumaat lalu. Sambung Sharifah Ani atau Kak Pah lagi: "Jadi bagi anda yang masih mempunyai ibu, selalulah meluahkan kasih sayang kepada ibu anda dan kalau berada jauh, telefon ibu anda sekerap yang boleh." Kemunculan terbaru Kak Pah pada malam itu adalah bagi menjayakan konsert acara To Mom With Love, Mother's Day Gala Dinner yang turut dijayakan penyanyi sama-sama berasal dari Johor, Mawi. Dalam persembahan itu, Kak Pah bukan saja menyanyi, tetapi seperti selalu, bercerita pengalaman suka dukanya sebagai penghibur sambil menyelitkan kata-kata nasihat berguna bersama usikan nakal. Segala yang indah dan agung mengenai ibu tergambar dalam lagu seperti Ibu, Kasihnya Ibu, Mama serta Dodoi Si Dodoi. Memang kelunakan dan gemersik vokal Kak Pah tidak pernah pudar, sesuai dengan kedudukannya sebagai penyanyi legenda negara. Malam itu Kak Pah mendendangkan lagu yang jarang disampaikan dalam persembahan makan malam seperti Oh Di Mana dan lagu nasyid, Ku Pohon Keredhaan Mu. Beliau diiringi pemuzik dan penggubah handalan Syed Sobrie dan tiga penyanyi latar. Dalam dandanan mewah tajaan Habib Jewels, Kak Pah turut menghiburkan peminat dengan melodi popularnya seperti Tiada Kata Secantik Bahasa, Air Mata Kasih, Citaku, Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Wulan, When A Man Loves A Woman, Hapuslah Air Matamu, Dekatlah Padaku, Jangan Tinggalkan Daku, Bunga Tanjung, Kenangan Manis Di Bulan September, Surat Dari Seberang dan Kau Pergi Tanpa Pesan. Kak Pah juga meluahkan betapa dia kepingin memiliki anak kandung seramai yang boleh, namun tetap reda Tuhan sudah menetapkan dia hanya mampu melahirkan seorang anak saja. "Kak Pah bersyukur kerana Tuhan menganugerahkannya seorang anak lelaki, Alif Omar, 28, yang masih belajar di Madinah," katanya. Pun begitu, kerinduannya untuk menjadi ibu kepada lebih ramai anak termakbul apabila mendampingi kira-kira 1,500 pelajar tahfiz di Lembah Klang. Menyedari anak kurang bernasib baik perlukan perhatian, Kak Pah terpanggil menganjurkan majlis amal seperti itu dan mengajak peminat serta rakan menghulurkan bantuan sekadar yang termampu. Sebelum Kak Pah muncul, tetamu terhibur dengan telatah hos, Dee (Jangan Ketawa) yang selalu bersamanya dalam persembahan makan malam. Lucunya, Dee pula yang menyalin lebih banyak kostum berbanding Kak Pah dan turut bergaya dengan pelbagai 'mastora' (intan berlian dalam loghat utara) tajaan Habib Jewels.
Antara VIP yang hadir malam itu adalah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Mior Kamarul Shahid dan isteri serta pemilik Habib Jewels sendiri, Datuk Meer Habib bersama isterinya. Sebelum itu, tirai konsert itu dibuka dengan persembahan Mawi yang menyanyikan lagu popularnya, Allah Habibi, Serulah Namanya, Ayah, Kian dan Lagu Cinta Lagu Jiwa. Walaupun beraksi secara minus-one, hadirin terhibur dengan vokal Mawi yang lunak. Mawi yang turut diusik Dee berkata, dia sebenarnya masih gugup dan gementar muncul di pentas walaupun sudah lima tahun menyanyi. "Bertuahlah saya dapat berkongsi pentas lagi dengan penyanyi kesayangan saya, Datuk Sharifah Aini. Sudah lama saya menunggu saat ini sempena Hari Ibu dan ia sudah tercapai," kata Mawi. Artikel lain yang berkaitan: Naluri Keibuan Sharifah Aini (Utusan Malaysia – Rabu, 9 Jun 2010) Rahsia Lagu Dodoi Si Dodoi (Berita Harian – Selasa, 1 Jun 2010) Saling Teruja (Berita Harian – Isnin, 19 April 2010) |