KAK PAH AJAK TUNAI UMRAH
oleh Zul Husni Abdul Hamid
(Berita Harian: Isnin, 1 Ogos 2005) |
"Permintaan saya, tolong jangan sensasikan niat suci ini," itulah kata yang terbit daripada bibir penyanyi malar segar itu apabila memberi kata setuju menjayakan program umrah anjuran bersama Wild Orchid Studio Sdn Bhd dan KSB Travel & Tours Sdn Bhd. Sambungnya lagi, dalam meniti rentak kehidupan terutama perjalanannya yang sudah hampir empat dekad sebagai anak seni, tentu tidak terlepas daripada tanggapan negatif mata yang memandang. Namun, dia membulatkan tekad meneruskan impian murni itu. Semuanya kerana seruan hati yang terlalu merindui suasana kembali sebagai tetamu Allah di tanah penuh keberkatan itu. "Hidup ini jika terlalu memikirkan apa kata orang, satu kerja pun tidak boleh dibuat. Semua ini bergantung pada niat. Terpulang ... saya buat benda baik pun orang akan kata juga," katanya pada majlis pelancaran di kediamannya di Petaling Jaya, baru-baru ini. Anggun bertudung litup dengan jubah labuh serba hitam, penyanyi yang senang disapa sebagai Kak Pah itu berkata, tawaran menjayakan program itu adalah rezeki yang tidak pernah diduganya. "Dulu saya pernah pergi dengan kumpulan lain. Tetapi apabila mendapat tahu saya ingin mengerjakan umrah, ada pula permintaan daripada peminat untuk mengikuti kumpulan saya. Justeru, tidak salah sekiranya saya jemput peminat bersama-sama," katanya. Apa yang mendorong penyanyi ini menjalin kerjasama dengan syarikat berkenaan? Adakah kerana namanya yang sedang hangat diperkatakan, maka syarikat itu mendekati untuk mengaut keuntungan? Kata Kak Pah, dia menerima tawaran itu bukan kerana nama. Jauh sekali untuk mencari publisiti kerana sudah tertanam niat menjadi tetamu Allah bagi merasai nikmat bulan penuh kemuliaan itu. Tawaran mereka ikhlas, tiada unsur eksploitasi, jauh sekali mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku kepada diri saya. "Mereka adil, tiada udang di sebalik batu," katanya yang ingin menjadikan program itu sebagai medan merapatkan silaturrahim sesama saudara Islam. Bercerita mengenai pakej umrah sembilan hari tujuh malam itu, ia menyediakan pelbagai kegiatan menarik dan padat serta menyaksikan pembabitan penuh biduanita berkenaan. "Saya akan bersama-sama peminat mengaji, bertadarus, berbuka puasa, mengerjakan solat tarawih, doa selamat dan sesi usrah bersama ustaz berpengalaman. Selain itu, turut disediakan aktiviti ziarah di lokasi bersejarah sekitar Makkah dan Madinah," katanya. Memandangkan ia adalah program eksklusif, Pengarah KSB Travel & Tours Sdn Bhd, Zulkifli Muharam, menjelaskan pakej itu khusus kepada 120 tempahan yang akan dibahagikan tiga kumpulan. Tarikh berlepas dijadualkan 2 Oktober ini, kira-kira tiga hari menjelang Ramadan. "Pakej ini tidak menghadkan penyertaan usia, semua peringkat umur digalakkan menyertainya. Apa yang penting ialah kualiti masa dan ibadah yang akan dilakukan bersama-sama di sana. Disebabkan itu, setiap perkara diambil kira termasuk hotel penginapan di mana kami memilih lokasi terhampir Masjidil Haram dan Masjid Nabawi," katanya. Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Wild Orchid Studio Sdn Bhd, Siti Hajar Abd Kader. Tambahnya lagi, selain mengharap pahala dan keberkatan dengan beriktikaf dan membaca al-Quran, program umrah itu juga memberi manfaat bagi mengeratkan silaturrahim. Lanjutan program itu, Disember ini, dua syarikat terbabit akan bekerjasama mengadakan pakej percutian ke Vienna, Austria bersama Kak Pah. Fakta Pakej umrah selama sembilan hari tujuh malam itu bermula pada harga RM6,300 merangkumi pelbagai aktiviti bersama pembabitan penuh Kak Pah. Ini kali pertama Kak Pah menyertai program seumpamanya. Dia teruja mengikuti program itu kerana terlalu merindui suasana dan kedamaian di Tanah Suci. Kali terakhir dia mengerjakan umrah dua tahun lalu. Akui Kak Pah, nikmat dan ketenangan dikecapi di Tanah Suci tidak ada tolok bandingnya. Tumpuannya hanya ibadah. Mereka yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai pakej umrah itu, boleh hubungi Siti Hajar/Aziah (03-22834548 atau faks 03-22833536). Susulan kerjasama itu, percutian ke Vienna bersama Kak Pah dianjurkan. Harganya bermula RM4,800 untuk setiap individu. Kak Pah Buat Umrah Bersama Peminat (Harian Metro – Jumaat, 29 Julai 2005) |