SHARIFAH AINI TEGUH BERDIRI

oleh Roslen Fadzil  (Harian Metro: Selasa, 18 April 2000)

"Ini bukanlah titik penamat terhadap kerjaya seni saya tetapi satu detik permulaan ..." kata penyanyi evergreen Sharifah Aini.  Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengiktirafan Anugerah Sri Wirama yang dikalungkan kepadanya pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM 2000), Sabtu lalu.  Sambung Sharifah lagi: "Mungkin ada orang anggap Anugerah Sri Wirama ini hanya untuk mereka yang sudah bersara atau pun golongan veteran tetapi bagi saya, ia pembakar semangat untuk terus berjuang."

Sebagai membuktikan kata-katanya itu, penyanyi lagu Burung Pungguk ini mengakui sedang berunding dengan EMI Malaysia untuk memperbaharui kontraknya selepas 31 tahun menyanyi dengan 72 album Melayu dan Inggeris.  Dengan reputasi serta pencapaian itu, jelas Sharifah melorek sejarah dalam dunia rakaman Melayu kerana belum pernah seseorang artis begitu setia dengan sesebuah syarikat rakaman dan lebih penting, dia masih aktif menyanyi.

Kegembiraan dan rasa bersyukur jelas tergambar pada raut wajahnya yang awet muda itu apabila melangkah ke pentas menerima trofi berprestij.  Lebih membanggakan, semua penonton di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berdiri memberi hormat (standing ovation).  "Dengan tidak semena-mena, saya menggigil sebelum menyanyikan lagu Rindu Serindu-Rindunya.'  Entahlah saya pun tidak tahu kenapa - mungkin kerana semua penyanyi lain hebat-hebat malam itu.  Namun bila mendengar tepukan penonton, semangat saya bangkit semula," katanya yang terharu diiringi sebuah orkestra pimpinan penerima Anugerah Sri Wirama tahun lalu, Johari Salleh.

Hakikatnya, Sharifah masih teguh berdiri dalam industri hiburan di rantau ini selama tiga dekad sekalipun banyak penyanyi lain datang dan pergi.  Daripada zaman pring hitam hingga cakera padat mini (mini disc) semangat perjuangannya itu tidak pernah luntur.  Masih terbayang lagi di fikiran Sharifah bagaimana dia mula mengenal dunia nyanyian.  "Lagu pertama yang saya nyanyi di khalayak ramai ialah Selamat Pengantin Baru.  Ketika itu umur saya baru tujuh tahun dan belum mendapat duit.  Saya cuma dapat makan nasi minyak percuma sahaja," katanya.

Tidak dinafikan, zaman awal kehidupan Sharifah bukanlah semewah kanak-kanak lain.  Pun begitu dia ringan tulang dan selalu membantu ibunya mengambil upah menjahit baju, menggiling lada serta menjual kuih tradisional seperti halwa maskat, dodol dan wajik.  Sambil itu dia juga curi-curi menyanyi.  Sekalipun pada peringkat awal terpaksa menyorok minat itu, Sharifah akhirnya mendapat restu daripada ayah dan ibunya (datuk serta nenek yang memeliharanya sejak kecil), Allayarhman Syed Sahil Ali dan Allahyarham Tengku Wan Mariam, untuk menjadi penyanyi.

Berbekalkan minat serta kesungguhan, bekas juara tilawah al-Quran dan pemidato agama peringkat sekolah di Johor ini terus mengasah bakat dan memanfaatkan suaranya ke arah kebaikan iaitu menghibur masyarakat.  Antara kumpulan muzik terawal yang disertainya ialah The Families dan D'Acrobat.  Tanpa berkira sangat soal bayaran, Sharifah semakin seronok menyanyi malah sanggup menerima upah sate sebagai ganti bayaran persembahan.

Sesudah menyertai satu pertandingan nayanyian anjuran Radio Televisyen Singapura (RTS) pada 1967, Sharifah terus dilamar komposer Kassim Masdor untuk menyertai EMI Singapura.  Maka lahirlah EPnya yang pertama Seri Dewi Malam yang hingga kini menjadi salah sebuah lagu trademarknya.  Hingga lewat 1960an pun, Sharifah masih lagi menjadi artis pembuka tirai kepada persembahan penyanyi terkenal lain seperti Rafeah Buang, Ahmad Jais, A Ramlie, Sanisah Huri dan Jefrydin.

Kesannya, apabila selalu muncul di pentas dan radio, nama Sharifah semakin hebat diperkatakan.  Lenggok suaranya yang begitu mendayu seperti dalam lagu Seri Dewi Malam, Dekatlah Padaku, Kini Hatiku Telah Tertawan dan Kekasih Pujaan' membuatkan jutaan pendengar mula jatuh hati.  Pada pertengahan 1970an, Sharifah berhijrah ke EMI Malaysia.  Seterusnya munculnya lagu-lagu hitnya seperti Bunga Tanjung, Burung Pungguk, Terbang Helang, Tiada Maaf Bagimu dan Surat Dari Seberang'.

Nyata sekali dengan bimbingan komposer seperti Kassim Masdor, Datuk Ahmad Nawab, S Atan dan M Nasir, Sharifah berjaya menonjolkan vokal emasnya itu.  Dan jika hendak dikatakan Sharifah seorang penyanyi sahaja, kenyataan itu tentunya tidak benar.  Pada awal 70an, dia pernah menjadi juruhebah sambilan Radio Johor dan bakat lakonannya terbukti dalam teater muzikal Kuala Lumpur, Kuala Lumpur arahana Datuk Rahim Razali (1972), diikuti filem Hapuslah Airmatamu, Sumber Ilhamku dan Superstar: Bintang Pujaan.  Dengan bakat yang bersahaja, dia pernah dianugerah gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Festival Filem Asia-Pasifik di Pusan, Korea pada 1976 menerusi Hapuslah Airmatamu.  Selain itu pada awal 1970an, Sharifah juga pernah membintangi sebuah drama televisyen, Sesat.

Sekalipun hidupnya pernah dicubit pelbagai kontroversi, Sharifah tidak pernah menganggap ia tembok penghalang untuk terus menghibur.  Baginya, cerita-cerita di balik tabir menjadi rahsia peribadi dan apabila berada di depan peminat, dia adalah Sharifah Aini – seorang penghibur.  "Saya sudah menempuh perjalanan yang jauh.  Menjadi artis bukanlah selalunya indah kerana selain menerima pujian, saya juga terpaksa menelan cacian.  Ia sudah adat tetapi saya tidak pernah menyesal dengan jalan yang sudah saya tempuhi," ujarnya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Biduan Negara II Sharifah (Pentas Dunia – 28 April - 4 Mei 2000)

  Sharifah Aini Selepas Tiga Dekad (Utusan Malaysia – Selasa, 18 April 2000)

  Kejutan Tetap Ada (Harian Metro – Isnin, 17 April 2000)

  Sharifah Aini Layak Untuk Anugerah Wirama AIM 2000 (Mingguan Malaysia – 26 March 2000)