SHARIFAH AINI SELEPAS TIGA DEKAD

(Utusan Malaysia: Selasa, 18 April 2000)

Banyak yang mampu berjaya secara mendadak tetapi tidak banyak yang mampu mempertahankan keterampilan dalam seni secara konsisten dalam masa yang panjang.  Dalam dunia nyanyian, Sharifah Aini antara yang memperlihatkan kejayaan yang berpanjangan serta melepasi beberapa zamannya.  Sejak 31 tahun lalu, Sharifah Aini berjaya mempertahankan dunia nyanyiannya dan kehadirannya terus dirasakan biarpun sekian banyak penyanyi baru yang muncul silih berganti.  Kerana kejayaan itu serta sumbangan terhadap dunia nyanyian tempatan, Sharifah Aini dianugerahkan Anugerah Seri Wirama pada Malam Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM 2000) di PWTC Sabtu lalu.

Sharifah Aini ketika ditemui berkata, sejak 31 tahun menyanyi, inilah anugerah tertinggi yang diterimanya sekali gus membuktikan sumbangannya dalam bidang ini dihargai.  Banyak penyanyi yang seangkatan dengan Sharifah Aini telah meninggalkan dunia nyanyian.  Tetapi Sharifah Aini terus mampu memikat peminat muda dengan lagu-lagu terbarunya.  Dalam ucapannya di pentas Sharifah Aini berkata, kejayaan dan penghargaan yang dimiliki hari ini bukan datang dengan mudah sebaliknya ia adalah hasil rintangan dan pengorbanannya.  "Hari ini saya diberikan anugerah tertinggi oleh AIM 2000 tetapi segala keistimewaan yang saya ada hari ini adalah kurniaan Allah.  Kejayaan yang saya capai hari ini sebenarnya hasil kegagalan yang saya alami,'' ujarnya.

Menjelaskan mengenai kegagalan dan rintangan yang terpaksa dihadapi, Sharifah Aini berkata, dia terpaksa berhadapan dengan pihak tertentu yang menjadikan dia sebagai bahan cerita.  "Tapi saya bangga dengan diri saya kerana setelah 31 tahun dalam industri saya terus berada di hadapan dan saya masih mampu bertahan hingga sekarang,'' jelasnya.  Dalam pada itu Sharifah Aini turut menjelaskan, dengan anugerah berkenaan menjadikan semangatnya lebih kuat untuk berusaha dan memberikan sumbangan besar kepada industri muzik tempatan.  Agenda seterusnya, Sharifah Aini mahu melancarkan penentangan terhadap gejala rakam rompak, kerana menurutnya selagi gejala itu berterusan selagi itulah karyawan-karyawan muzik tempatan akan terus hidup merana.

"Pengalaman sepanjang 31 tahun dalam bidang nyanyian, usaha yang dilakukan oleh pihak terbabit untuk menentang cetak rompak terlalu sedikit,'' tegasnya.  Dia menjelaskan, tanpa cetak rompak karyawan boleh membina hidup dengan mengumpul harta, walaupun tidak mewah tetapi sekurang-kurangnya mereka mampu menjadikan muzik sebagai sumber pendapatan.

Mengenai aktivitinya selepas ini Sharifah Aini berkata, dia sedang bersiap sedia untuk mengadakan beberapa konsert di luar negara seperti di Singapura dan Indonesia, selain konsert tradisionalnya yang akan diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 21 Mei ini.  Dalam waktu yang sama beliau juga sibuk dengan pembikinan album terbaru yang akan diterbitkan oleh M.Nasir.

Artikel lain yang berkaitan:

  Biduan Negara II Sharifah (Pentas Dunia – 28 April - 4 Mei 2000)

  Sharifah Aini Teguh Berdiri (Harian Metro – Selasa, 18 April 2000)

  Kejutan Tetap Ada (Harian Metro – Isnin, 17 April 2000)

  Sharifah Aini Layak Untuk Anugerah Wirama AIM 2000 (Mingguan Malaysia – 26 March 2000)