KEJUTAN TETAP ADA oleh Saniboey Mohd Ismail (Harian Metro: Isnin, 17 April 2000) |
Selain menyaksikan pengiktirafan diberikan kepada artis tempatan di majlis Anugerah Industri Muzik 2000 (AIM 2000) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam kelmarin, majlis itu sendiri melambangkan prestij dan kematangan AIM dalam pelbagai aspek. Dari pengacaraan Afdlin Shauki yang ringkas dan manis kepada persembahan artis tempatan yang menghiburkan, jelas sekali AIM memulakan gerbang 2000 dengan positif. AIM 2000 mengekalkan beberapa kejutan apabila beberapa sangkaan kesasar dengan kemenangan artis yang tidak diduga. Misalnya ramai menjangkakan Syafinaz membawa pula anugerah Persembahan Vokal Terbaiik Dalam Album (Wanita) yang diraih Siti Nurhaliza menerusi album 'Pancawarna'. Siti pula ketika naik ke pentas menerima anugerahnya seolah-olah kurang bermaya, mungkin kerana dia sendiri terkejut mampu menang. Suara 'sedap' Rem dan keras vokal Amy pula nyata tidak mampu bersaing dengan sifu mereka apabila M Nasir diumumkan sebagai pememang Persembahan Vokal Terbaik Dalam Album (Lelaki). "Saya mengambil masa 20 tahun untuk belajar vokal dan baru sekarang saya dapat anugerah," kata Nasir ketika memberikan ucapannya di pentas. Dominasi Raihan pula masih kukuh dalam AIM dengan menewaskan saingan mereka, Hijjaz dan Saujana, namun vokalis utamanya, Nazrey Johani, ketika berucap di pentas tidak angkuh dengan kemenangan itu. "Kemenangan ini adalah kemenangan untuk semua kumpulan nasyid kerana nasyid diiktiraf oleh AIM," katanya. Kemenangan yang mengundang 'lawak' pula sudah tentu Shawn Baharin bagi kategori Artis Baru Terbaik dengan menewaskan Moin, Dayang Nurfaizah, Juliana Banos dan Manterra. Kriteria AIM untuk anugerah itu memang menolak ketulinan kerana hakikatnya Shawn tidak asli. Selepas ini jika semua artis baru meniru artis luar seperti Shawn tonjolkan, mereka mungkin ada peluang untuk menang. Shawn ketika berucap sepatutnya menghulurkan terima kasih kepada Ricky Martin kerana menyumbangkan semangat dan imej kepadanya untuk bergaya di pentas. Dari aspek persembahan, AIM 2000 lebih stabil dengan pelbagai genre, daripada dangdut banghra Mas Idayu, metal Manterra, rock & roll Amy, lenggok Melayu Sharifah Aini hinggalah kepada modern rock Gigi serta folk Juliet the Orange. Menjadi begitu sukar untuk menamakan artis mana paling hebat dalam persembahan kerana semuanya memikat. Poetic Ammo bertenaga, Lo pula selamba manakala duet Amy Mastura bersama Glenn memukau. Namun Awie yang muncul dengan pemuzik didikannya, Kristal, memberikan persembahan terbaik kerana ia memberi tanda-tanda positif kepada masa depan muzik rock tanahair. Semua mata di Dewan Merdeka terbeliak seketika menyaksikan 'goreng' pemain gitar cilik kumpulan Kristal mengiringi 'abang' mereka, Awie manakala Awie sendiri mempamerkan vokal yang baik. Hampir semua persembahan memukau kecuali Shawn yang tidak sudah-sudah dengan gaya Ricky Martinnya itu. Biduanita Negara, Sharifah Aini mendapat 'standing ovation' apabila beliau naik ke pentas menerima Anugerah Sri Wirama bagi pembabitannya selama 31 tahun dalam muzik. Sharifah ketika berucap berkata: "Kejayaan ini bertunjangkan daripada banyak kegagalan yang sama alami. Saya mendedikasikan anugerah ini untuk semua teman seperjuangan, pejuang-pejuang muzik, penyanyi lama dan baru. Kita memang boleh terbang mencecah bintang tetapi kita kaki harus memijak bumi." Dia turut mengucapkan terima kasihnya kepada Kassim Masdor, Datuk Ahmad Nawab dan M Nasir yang bersama dengannya berjuang dalam muzik dalam tempoh yang begitu lama. Artikel lain yang berkaitan: Biduan Negara II Sharifah (Pentas Dunia – 28 April - 4 Mei 2000) Sharifah Aini Teguh Berdiri (Harian Metro – Selasa, 18 April 2000) Sharifah Aini Selepas Tiga Dekad (Utusan Malaysia – Selasa, 18 April 2000) Sharifah Aini Layak Untuk Anugerah Wirama AIM 2000 (Mingguan Malaysia – 26 March 2000) |