SHARIFAH AINI MASIH DIMINATI

oleh Dean n(Mingguan Malaysia: Pancaindera, 25 Julai 1999)

Penghibur kesayangan ramai, Sharifah Aini punya pengaruh dan peminatnya yang tersendiri.  Bagi mereka yang pernah membesar dengan lagu-lagu Sharifah Aini, pastinya tidak akan menafikan kehebatan biduanita yang cukup popular kerana 'tahi lalat' yang banyak di wajahnya.  Dia disegani kawan dan lawan dan kerana itu juga, tidak hairanlah mengapa penghibur yang berasal dari negeri Johor ini mampu bertahan selama 30 tahun.

Industri muzik tanah air, jarang sekali menyaksikan kemampuan seseorang artis wanita sepertinya bertahan selama tempoh tersebut.  Sharifah Aini membuktikannya.  Baru-baru ini ketika mengadakan Konsert Malam Kosovo di Universiti Malaya, suaranya bergema dan menarik perhatian ramai peminatnya.  Dia berjaya mempamerkan sebuah persembahan istimewa.  Sharifah Aini menggunakan pengalaman seni yang ada padanya serta kekuatan vokalnya untuk menarik perhatian peminat seni.

Suara merdunya ketika mengalunkan rangkaian lagu-lagu pop, klasik, tradisional dan lain-lain mendapat pujian ramai.  Begitu juga dengan komunikasinya dengan para tetamu.  Sharifah Aini menggunakan diplomasi dan cara psikologi untuk menarik perhatian peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.  Sewajarnya, para peminat seni mengakui dia mempunyai lapisan peminat yang tidak terbatas.

Sharifah Aini yang ditemui baru-baru ini, menyuarakan dia bersyukur kepada Allah s.w.t kerana terus mencurahkan rezeki dan kesihatan yang baik kepadanya untuk meneruskan kegiatan seninya.  Kata Sharifah Aini, selepas 30 tahun menyanyi, dia merasakan dirinya bertuah kerana para peminat masih terus memberikan sokongan padu kepadanya.  ''Alhamdulillah, dengan sokongan padu yang diberikan oleh peminat membuatkan saya semakin berkeyakinan untuk meneruskan kerjaya seni saya,'' ujarnya sambil mengukir sekuntum senyuman.

Selain itu, Sharifah Aini juga memberitahu, dia percaya punca yang membawanya ke mercu kejayaan seperti yang dikecapinya hari ini juga bertitik tolak daripada kesedarannya untuk meningkatkan martabat karyawan seni tempatan.  Kata Sharifah Aini, sebagai artis yang lama berjuang, dia sudah tidak mendambakan apa-apa yang bersifat glamor kerana baginya glamor tidak menjanjikan kejayaan yang berpanjangan.

''Saya sering mengingatkan diri saya agar jangan lupa diri kerana itulah sifat yang membawa kehancuran dan alhamdulillah saya berjaya mempertahankannya,'' kata Sharifah sambil memberitahu, pengalaman pahit yang pernah dilalui dalam hidup banyak memberi panduan yang berguna kepadanya.  Sesungguhnya insan seni seperti Sharifah Aini wajar diberi perhatian dan penghormatan yang sebaik mungkin.  Kita juga tidak mungkin dapat 'melahirkan' seorang lagi diva sepertinya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Malam Amal Meriah Walaupun Dicemari (Utusan Malaysia – Isnin, 28 Jun 1999)

  Sharifah Aini Ajak Peminat Bantu Kosovo (Utusan Malaysia – Selasa, 22 Jun 1999)