SHARIFAH AINI AJAK PEMINAT BANTU KOSOVO

oleh Rosli Manah  (Utusan Malaysia: Selasa, 22 Jun 1999)

Keperihatinan terhadap penderitaan masyarakat Kosovo mendorong penyanyi ''evergreen'' Sharifah Aini untuk membabitkan diri dalam Malam Amal Kosovo.  Malam Amal Kosovo yang akan diadakan pada pukul 8.30 malam Jumaat ini di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaya (UM) adalah anjuran Fakulti Pergigian Universiti tersebut.

Kemunculan Sharifah Aini adalah dalam satu segmen khas untuk menarik penonton selain menikmati deklamasi puisi bertema kemanusiaan.  Penyanyi itu yang agak lama tidak mengadakan persembahan di khalayak, berharap para peminat akan dapat bersama-sama menunjukan tanda perihatin penderitaan masyarakat Kosovo.

Tiket untuk menyaksikan persembahan malam amal tersebut berharga RM50 dan RM35 di mana kedua-dua harga tiket itu adalah untuk dua orang, dan tiket berharga RM5 pula ditawarkan kepada pelajar.  "Saya sendiri turut menjual tiket amal tersebut kepada rakan-rakan saya yang ingin turut menyumbang,” kata Sharifah Aini.  Walaupun persembahan tersebut bukanlah satu konsert besar, namun Sharifah Aini menjanjikan persembahan yang menarik sepanjang masa satu setengah jam yang diperuntukkan kepadanya.

Penyanyi itu bakal muncul dengan rangkaian lagu-lagu popular daripadanya sejak tahun 70-an sehingga sekarang.  Sharifah Aini kini menyambut ulang tahun ke-30 pembabitannya dalam bidang seni.  Selain kemunculan istimewa Sharifah Aini, bacaan puisi bakal menampilkan seniman veteran Datuk Jins Shamsudin, Marlia Musa, Rahman Saari, Jalil Othman, Datuk Nordin Razak dan banyak lagi.

Kelab Seni dan Kebudayaan Fakulti itu turut tampil dengan persembahan yang tersendiri.  Selain bacaan puisi, malam tersebut bakal dihiasi dengan tarian, dikir barat, syair, silat dan sebagainya, kata dekan fakulti itu, Profesor Datuk Dr. Hashim Yaacob.  Malah, Sharifah Aini juga bakal tampil membacakan syair pada persembahannya nanti sebagai satu kelainan.

Sementara itu, penyanyi itu ketika ditanya mengenai perkembangan terbarunya berkata, dia kini sedang menyiapkan diri untuk membuat kejutan.  Malah, untuk memastikan kemunculannya sentiasa menampilkan perubahan, Sharifah Aini kini kerap menjalani senaman untuk mendapatkan bentuk badan yang menarik.  "Malah, saya juga akan tampil dengan imej terbaru di dalam persembahan itu nanti,” katanya yang kini mendapat khidmat pengurusan pengurus artis, Juita.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Masih Diminati (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 25 Julai 1999)

  Malam Amal Meriah Walaupun Dicemari (Utusan Malaysia – Isnin, 28 Jun 1999)