MALAM AMAL MERIAH WALAUPUN DICEMARI

(Utusan Malaysia: Isnin, 28 Jun 1999)

Malam Amal Kosovo yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini memperlihatkan keprihatinan warga akademik dalam membantu mengurangkan penderitaan etnik Albania di Kosovo.  Malam amal anjuran Kelab Seni dan Kebudayaan Fakulti Pergigian, UM adalah bukti kesungguhan mereka mengutip derma untuk mengisi Tabung Barisan Bertindak Kosovo (BBK).  Walaupun dicemari oleh segelintir pelajar universiti itu yang berdemontrasi memprotes malam amal tersebut, ia tidak menghalang warga akademik menampilkan bakat mendeklamasikan puisi dan beberapa acara kesenian seperti dikir barat dan syairtari.

Selain warga akademik, turut memeriahkan malam amal itu ialah pemuisi jemputan, pelakon veteran Datuk Jins Shamsuddin, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Noordin Razak dan Prof. Madya Rahman Saari.  Penyanyi 'evergreen' Sharifah Aini, satu-satunya artis yang mengadakan persembahan pada malam itu menjadi perhatian para penonton.  Turut hadir pada malam itu ialah Menteri Pertanian Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud dan isteri.

Malam Amal dimulakan dengan persembahan Halim Yazid dan kumpulan dikir barat serta persembahan Norma Yusoff membawakan puisi Balada Seorang Gadis Kecil diiringi oleh Dr. Zainal Ariff Abd. Rahman.  Dr. Abdul Jalil Othman kemudiannya tampil dengan sebuah puisi berjudul Penghujung Sebuah Harapan.  Empat pensyarah daripada fakulti tersebut berganding bahu mempersembahkan syairtari mengenai tiga puteri yang berjiwa besar.

Dr. Raja Rozita Raja Abd. Farouk membawakan watak Tun Teja, Amy Chin sebagai Puteri Hang Li Po dan Dr. Shushil Kaur sebagai Shakuntala.  Tarian mereka diiringi dengan bacaan syair yang cukup indah daripada Prof. Madya Datin Sri Nurestri.  Jins Shamsuddin kemudian tampil dengan puisi karya Sabariah Omar, Lara Ini Menyapa Damai sebelum Noordin Razak membawakan puisi Soyak Kulit Berbunga Darah.

Sejurus selepas itu, Rahman Saari muncul dengan sajaknya Harimau Manusia.  Rahman tampil dengan sehelai kain bercorak harimau yang membaluti sebahagian daripada bahagian atas badannya.  Kumpulan Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob bersama Dr. Zamri Radzi serta Osman Hulubalang membawakan seni tari Sumpah Seribuana.

Bagaimanapun, Sharifah Aini tidak sekadar menyampaikan lagu-lagu popularnya, tetapi turut menghiburkan tetamu dengan cerita-cerita lucu pengalamannya dalam karier seni.  Penyanyi itu menyampaikan lagu-lagu popular termasuk lagunya seperti Hapuslah Airmata, Mengapa Tiada Maaf, Hati Yang Terluka, Smoke Gets In Your Eyes, How Do I Live, I Want To Spent My Lifetime Loving You, Jatuh Cinta dan Tiada Maaf Bagimu.  Dia turut membawakan lagu Dekatlah Padaku, Kau Tinggi Di Awan Biru, Bunga Tanjung, dua lagu ghazal iaitu Sayang Musalmah dan Gunung Banang, Kau Pergi Tanpa Pesan serta Gerimis Mengundang.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Masih Diminati (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 25 Julai 1999)

  Sharifah Aini Ajak Peminat Bantu Kosovo (Utusan Malaysia – Selasa, 22 Jun 1999)