SHARIFAH AINI BERGHAZAL DI ISTANA BUDAYA

oleh Khadijah Ibrahim  (Utusan Malaysia: Jumaat, 25 Julai 2003)

Impian biduanita negara, Datuk Sharifah Aini untuk mengadakan persembahan di Istana Budaya akhirnya menjadi kenyataan.  Meskipun bukan persembahan solo, namun Konsert Simfoni Ghazal Johor Bersama Sharifah Aini tetap menjadi tarikan kepada peminatnya.  Kemunculan Sharifah Aini dilihat mempunyai daya tarikan untuk `memancing' orang ramai menonton persembahan ghazal.  Sebagai menghargai sumbangan biduanita kelahiran Johor ini, maka beliau dilihat sebagai insan seni yang paling layak menjayakan konsert berteraskan irama ghazal.  Populariti Sharifah Aini diharap dapat menarik minat generasi muda untuk menghayati irama yang selama ini hanya menjadi idola golongan veteran.  Konsert berbentuk ghazal yang julung kali diadakan itu akan berlangsung selama tiga malam mulai 5 September ini di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.

"Akhirnya saya berjaya juga mengadakan persembahan di Istana Budaya.  Walaupun bukan konsert solo tapi tanggungjawab untuk konsert ini amat berat.  Saya perlu memberikan persembahan yang terbaik agar irama ghazal ini mampu diletakkan ke tahap yang lebih tinggi," katanya pada sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.  Turut hadir pada sidang media ialah Ketua Pengarah Istana Budaya, Dr. Hatta Azad Khan, Pengarah Yayasan Warisan Johor, Jamal Johan dan Pengarah Artistik, Onn Jaafar.

Memandangkan tujuan utama konsert tersebut untuk menyemarakkan muzik ghazal setanding dengan irama lain, maka lagu-lagu ghazal dendangan Sharifah Aini telah digubah mengikut kehendak semasa oleh Pengarah Muzik, Omar Taib.  Dalam persembahannya nanti, Sharifah Aini akan mendendangkan lagu-lagu irama inang, ghazal, asli, Melayu Deli dan gurindam.  Persembahan beliau akan diiringi lebih 100 karyawan yang terdiri daripada pemuzik ghazal, pemuzik `string' daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), penari, koir dan penyanyi jemputan seperti Datin Orkid Abdullah, Ramlah Ram dan Syura.

"Saya muncul sekitar satu jam manakala satu jam awal akan diserikan oleh bakat-bakat muda yang menganggotai kumpulan Ghazal Johor di bawah Yayasan Warisan Johor," katanya.  Beliau yang telah 35 tahun melibatkan diri dalam bidang seni berharap kerjasama Kerajaan Negeri Johor dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu dapat meneruskan kesinambungan irama ghazal ke peringkat yang lebih global.  Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan ialah 'Sri Mersing', 'Makan Sireh', 'Sri Siantan', 'Jalak Lenteng', 'Teratai', 'Burung Punggok', 'Bunga Tanjung', 'Seroja', 'Cindai' dan 'Hati Kama'.  Turut dipersembahkan ialah 'Cinta Alaika', 'Hiburkanlah Hatiku', 'Fatwa Pujangga', 'Godaan Rindu', 'Empat Dara' dan banyak lagi lagu menarik.

Bagi memastikan konsert tersebut berjalan, maka kumpulan Ghazal Johor telah mengadakan beberap siri latihan manakala latihan intensif akan bermula 22 Ogos ini.  Tiket-tiket berharga RM51, RM76, RM101, RM201 dan RM401 boleh didapati di Box Office (Istana Budaya, Jalan Tun Razak), Video EZY (KLCC dan Sungei Wang Plaza, Bukit Bintang) dan beberapa tempat lain sekitar Lembah Klang.  Selain itu, peminat yang ingin menonton konsert tersebut boleh melayari laman web www.istanabudaya.gov.my atau menghubungi talian 03-40255932.

Artikel lain yang berkaitan:

  Suara Hati Sharifah Aini (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 21 September 2003)

  Ghazal Sharifah Aini Di Istana Budaya (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 31 Ogos 2003)