GHAZAL SHARIFAH AINI DI ISTANA BUDAYA

oleh Saharudin Musthafa  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 31 August 2003)

Bintangnya terus bersinar dan mekar di laman seni meskipun di tengah-tengah penyanyi baru.  Penyanyi Datuk Sharifah Aini tetap di tangga tersendiri.  Banyak yang istimewa dan perlu diteroka oleh peminat-peminat setia penyanyi veteran ini.  Biarpun sudah lebih tiga dekad menyanyi dan menghiburkan peminat namun suara beliau masih memukau.  Merdu suaranya seakan-akan membawa pendengar menjelajah suatu perjalanan yang penuh abstrak.  Justeru, kemunculan Sharifah Aini di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pastinya menjanjikan persembahan yang bukan calang-calang hebatnya.

Sharifah Aini akan melangkah penuh bergaya ke Istana Budaya bermula 5 hingga 7 September ini untuk menjayakan persembahan Konsert Simfoni Ghazal Johor Bersama Sharifah Aini.  Biarpun tidak ditampilkan secara solo, namun peluang bagi Sharifah sesuatu yang istimewa untuk profil seninya.  Sudah lama beliau menyatakan keinginannya untuk beraksi di institusi seni yang megah berdiri di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.

"Akhirnya saya berjaya juga mengadakan persembahan di Istana Budaya.  Walaupun bukan konsert solo tapi tanggungjawab untuk konsert ini amat berat.  Saya perlu memberikan persembahan yang terbaik agar irama ghazal ini mampu diletakkan ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu wawancara dengan Pancaindera baru-baru ini.  Sharifah Aini dan ghazal begitu sinonim sekali.  Sebagai anak jati Johor, beliau dilihat sebagai pilihan yang tepat untuk memperluaskan lagi populariti ghazal di mata generasi muda.

Bertepatan dengan matlamat utama konsert berkenaan yang bertujuan menyemarakkan muzik ghazal setanding dengan irama lain, justeru pendekatan persembahan ini kata Sharifah, akan lebih menjurus kepada pendekatan kontemporari.  Bahkan, objektif Sharifah menerusi persembahan ini juga ialah untuk menanam semangat jati diri melalui muzik tradisional.  Lagu-lagu ghazal yang bakal didendangkan oleh seniman berjiwa besar ini digubah mengikut kehendak semasa oleh pengarah muzik, Omar Taib.

Sharifah akan memukau penonton dengan menyampaikan lagu-lagu irama inang, ghazal, asli, Melayu deli dan gurindam.  Lebih menarik lagi, persembahan beliau akan diiringi lebih 100 karyawan yang terdiri daripada pemuzik ghazal, pemuzik string daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), penari, koir dan penyanyi jemputan seperti Datin Orkid Abdullah, Ramlah Ram dan Syura.

Sharifah Aini akan ditampilkan selama sejam selepas persembahan pembukaan oleh bakat-bakat muda yang menganggotai kumpulan Ghazal Johor di bawah Yayasan Warisan Johor.  "Persembahan ini juga tidak ubah seperti memberi pengiktirafan kepada anak-anak Johor selain membawa muzik ghazal kepada masyarakat luar Johor," kata beliau lagi.

Sharifah Aini yang telah 35 tahun melibatkan diri dalam bidang seni berharap kerjasama Kerajaan Negeri Johor dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu dapat meneruskan irama ghazal ke peringkat yang lebih global.  Antara lagu-lagu yang akan dipersembahkan ialah 'Sri Mersing', 'Makan Sirih', 'Sri Siantan', 'Jalak Lenteng', 'Teratai', 'Burung Pungguk', 'Bunga Tanjung', 'Seroja', 'Cindai' dan 'Hati Kama'. Turut dipersembahkan ialah 'Cinta Alaika', 'Hiburkanlah Hatiku', 'Fatwa Pujangga', 'Godaan Rindu', 'Empat Dara' dan banyak lagi lagu menarik.

Konsert Simfoni Ghazal Johor Bersama Sharifah Aini akan berlangsung dari 5 hingga 7 September ini.  Tiket-tiket berharga RM51, RM76, RM101, RM201 dan RM401 boleh didapati di Box Office (Istana Budaya, Jalan Tun Razak), Video EZY (KLCC dan Sungei Wang Plaza, Bukit Bintang) dan beberapa tempat lain sekitar Lembah Klang.  Selain itu, peminat yang ingin menonton konsert tersebut boleh melayari laman web www.istanabudaya.gov.my atau menghubungi talian 03-40255932.

Artikel lain yang berkaitan:

  Suara Hati Sharifah Aini (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 21 September 2003)

  Sharifah Aini Berghazal Di Istana Budaya (Utusan Malaysia – Jumaat, 25 Julai 2003)