NALURI KEIBUAN SHARIFAH AINI oleh Norliza Mohamad Zakaria (Utusan Malaysia: Rabu, 9 Jun 2010) |
Menutup tirai sambutan Hari Ibu penghujung Mei lalu, persembahan daripada biduanita terkenal Datuk Sharifah Aini, To Mom With Love From Datuk Sharifah Aini di Hotel Palace Of The Golden Horses mengundang perhatian ramai. Majlis tersebut turut menampilkan Mawi sebagai penyanyi undangan. Melihat kepada suasana di dewan utama hotel tersebut hampir setiap bangku dipenuhi oleh anak-anak yang hadir bersama ibu dan bapa mereka bagi meraikan Hari Ibu sambil menyaksikan persembahan daripada dua penyanyi terkenal tanah air itu. Sengaja memancing rasa hadirin, penonton dibiarkan ternanti-nanti kehadiran penyanyi yang cukup sinonim dengan panggilan Kak Pah itu sementelah hidangan malam tersedia untuk dinikmati berlatarkan muzik serta lagu-lagu rakaman penyanyi itu. Atmosfera dewan bagaimanapun tidak sunyi dengan gelak ketawa apabila hos pada malam itu, Dee memecah keheningan suasana dengan celotehnya. Hanya sekitar pukul 9.30 malam, biduanita itu muncul dengan busana biru terdandan cantik dalam kerdipan aksesori tajaan Habib Jewel. Usai tentang persembahan, jelas terpancar naluri keibuannya Sharifah Aini tatkala menghiburkan penonton yang hadir. "Ibu-ibu boleh menjaga anak-anak mereka yang ramai malah berkorban masa dari pagi sampai ke malam membesarkan mereka namun, masih lagi terdengar kisah bahawa anak-anak yang ramai tidak mampu menjaga ibu seorang. Mereka yang masih lagi mempunyai ibu, hargai dan tunjukkanlah kasih sayang kepada mereka. Saya tidak dikurniakan oleh Allah untuk mempunyai anak yang ramai. Kalaulah saya boleh putarkan semula waktu ke 20 tahun yang lalu pasti saya akan melahirkan ramai anak," kata Kak Pah memulakan bicara.
Sebelum itu, Mawi menguasai ruang tengah pentas menghiburkan lebih 1,000 tetamu menerusi lagu barunya yang berentak Arab, Allah Habibi. "Inilah detik yang saya tunggu selama ini untuk berkongsi pentas dengan penyanyi yang saya cukup kagumi. Biarpun gambar saya pada poster kecil, namun besar maknanya buat saya," kata Mawi. Lagu lain yang turut dinyanyikan oleh Mawi ialah lagu Ayah yang ditukar lirik kepada Ibu, Kian dan Lagu Jiwa lagu Cinta. Berbekalkan vokal gemersik dan lemak merdu, penyanyi malar segar yang lebih mesra disapa Kak Pah itu pantas mengingatkan tetamu agar sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan ibu. Hati kecil ibu tunggal kepada Aliff Omar ini begitu tersentuh apabila membicarakan perihal ibu ketika menjayakan konsert yang berlangsung hampir dua jam setengah itu. Artikel lain yang berkaitan:
|