SALING TERUJA oleh Serimah Mohd Sallehuddin (Berita Harian: Isnin, 19 April 2010) |
Seorang bergelar Biduanita Negara dan berada dalam industri hiburan lebih 40 tahun. Seorang lagi pula pernah bergelar Bintang Paling Popular selama tiga tahun berturut-turut dan memegang gelaran Penyanyi Popular selama empat tahun sehinggalah gelaran itu dirampas Aizat dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini. Namun sempena Hari Ibu, Datuk Sharifah Aini dan Asmawi Ani akan berkongsi pentas pada 28 Mei ini di Palace of the Golden Horses. Persembahan yang bakal menyaksikan pertemuan dua generasi itu adalah gandingan pertama mereka. Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah berkata idea mengundang Raja SMS itu tercetus kerana memikirkan mereka mempunyai kalangan peminat yang sama. Kebetulan pula kedua-dua penyanyi itu berasal dari Johor. "Kak Pah memang tidak sabar menantikan malam itu apatah lagi ia juga bakal menyaksikan gandingan pertama Kak Pah dan Mawi. Kak Pah mengundang Mawi kerana kami berkongsi kalangan peminat yang sama. Pada malam itu, Kak Pah dan Mawi akan berduet," katanya dalam sidang media To Mum With Love di Hotel Palace Of The Golden Horses (POTGH), baru-baru ini.
Sementara itu, Mawi pula melahirkan rasa berbesar hati kerana dapat bergandingan dengan idolanya. Selama ini, dia memang amat mengagumi Biduanita Negara itu. Bukan saja kerana popularitinya, tetapi kerana kemerduan suaranya ketika mengalunkan lagu. "Saya berasa amat teruja kerana tidak pernah lagi bekerjasama dengan Datuk. Sebelum ini saya sering mengikuti perkembangannya, tetapi tak sangka pula akhirnya saya berpeluang berkongsi pentas dengan seorang penyanyi hebat seperti beliau," kata Mawi yang bakal mendendangkan antara lima hingga enam buah lagu.
Lumrah bergelar penghibur, senyum tawa peminat lebih menjadi keutamaan, manakala duka di hati mereka lebih senang disimpan sendiri. Umum mengetahui betapa sayang dan bangganya Sharifah Aini terhadap anak tunggalnya bernama Aliff Omar. Namun saban tahun apabila tibanya Hari Ibu, penyanyi itu hanya meraikan hari berkenaan di samping peminat gara-gara cahaya matanya itu berada nun jauh di Madinah demi memenuhi tuntutan sebagai pelajar. Bukan hatinya tidak dihambat kesunyian, lebih-lebih lagi melihat wajah kegembiraan ibu-ibu yang diraikan anak mereka. Namun, Sharifah Aini memberitahu dia tidak boleh emosi, andai dia terus-terusan melayan rasa emosi, perjalanan hidupnya akan terganggu. "Kak Pah sentiasa berpegang kepada sebuah bidalan Inggeris yang berbunyi I'm Not Afraid Of Tomorrow, I Have Seen Yesterday and I Love Today. Daripada bidalan itu, Kak Pah cuba mengelakkan diri daripada melayan rasa emosi. "Kak Pah tak suka duduk bersendirian dan melayan emosi kerana ia hanya akan membuatkan Kak Pah tertekan. Memang tak dinafikan, Kak Pah sedih kerana berjauhan dengan anak tetapi dia ke sana pun untuk belajar. Menangis sesekali boleh tetapi Kak Pah tak suka tertekan tidak tentu arah," bicara wanita itu yang anggun berbaju kurung. Biar berjauhan, tidak bermakna anak bujang penyanyi itu terus melupakannya. Kata Sharifah Aini, dia pernah menerima sebuah hadiah yang cukup istimewa ditempah khas dari London. Hadiah berupa gula mentah kristal itu dihadiahkan Aliff sempena Hari Ibu yang ditempah melalui internet dan dikirimkan kepadanya pada hari yang cukup istimewa itu. Kata Sharifah Aini lagi, Aliff memang gemar membelikannya hadiah. Selain Hari Ibu, anak terunanya itu sering membelikannya baju kurung apabila tiba hari raya kerana mengetahui ibu kesayangannya itu selesa menggayakan baju kurung walau ke mana saja. "Hadiah gula mentah kristal itu terlalu istimewa kerana Aliff mengetahui Kak Pah tidak suka makan manis. Selain itu, setiap tahun Aliff memang tak lupa membelikan Kak Pah kain untuk dibuat baju kurung. Peminat juga kerap menghadiahkan Kak Pah kain kerana mereka mengetahui Kak Pah suka berbaju kurung. Baju kurung bukan saja selesa, tetapi sesuai untuk digayakan ke mana saja," katanya. INFO
Artikel lain yang berkaitan:
|