Diari Artis: SHARIFAH AINI (Siri 4) oleh Dean (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 25 Oktober 1998) |
SHARIFAH AINI BERHIJRAH DEMI CITA-CITA Pengalaman mendapat 15 cucuk sate sebagai pulangan daripada mengadakan persembahan seperti mana yang diceritakan minggu lepas terus terpahat difikiran Sharifah Aini. Sebagai seorang penyanyi yang bermula dari bawah, bukan mudah baginya untuk melupakan perit jerih yang dilaluinya sebelum dapat sampai ke puncak seperti yang dikecapinya hari ini. Hingga tahun 1979 Sharifah Aini terus melangkah ke depan meskipun bermula hanya sebagai penyanyi pembuka tirai. Ketika itu dia bertindak sebagai penyeri panggung pada persembahan penyanyi-penyanyi top era itu seperti Ahmad Jais, A Ramlie, Jeffrydin, Rafeah Buang, Sanisah Huri serta sekian banyak lagi jumlah bintang pop yeh yeh yang lain. Banyak yang tersemat dalam lembaran album kenangan Sharifah Aini. Sejak mula menyanyi pada usia kecil, perjuangan dalam dunia seni suara sedikit sebanyak membebaskan keluarganya dari lingkaran kemiskinan. Bagi keluarganya, berapalah sangat yang dapat ditagih dari hasil jualan nangka yang ditanam di belakang rumah. Selain itu Sharifah Aini ketika berusia 10 tahun sudah bertungkus-lumus membantu ibunya. Selain dikenali orang kampung kerana wataknya yang peramah, dia juga terkenal sebagai pembantu ibunya yang juga merupakan seorang tukang jahit. Mereka berdua menjadi tempat untuk menempah baju kurung Johor. Bila ada tempahan, ibunya akan memotong kain manakala Sharifah Aini pula akan menjahit dan menebuk leher baju. Bagi Sharifah Aini kenangan pada ibunya adalah menyingkap ketabahan dan kesabaran wanita itu. Selain menerima tempahan baju, ibunya juga ligat memasak wajik, kacau keledek, kuih kepal dan halwa maskat. Dalam kesibukan ibunya, Sharifah Aini tidak pernah lepas daripada membantu kerja-kerja itu. Malah yang lebih menarik, sejak berusia sembilan tahun Sharifah Aini sudah menjadi penggiling lada dan pembantu tukang masak pada ibunya apabila wanita itu diminta untuk menyiapkan sajian di majlis-majlis kenduri perkahwinan. Nyatanya, sejak kecil lagi warna-warni pengalaman yang ditempuhnya sudah cukup kuat untuk membentuk kehalusan dan merangsang pandangan seninya terhadap erti kehidupan. Maka tidak hairanlah anak kecil ini akhirnya menjadi seniwati yang cukup mengagumkan para peminat apabila getar suaranya berkumandang. Dunia kampung cukup mendewasakan beliau. Akhirnya Sharifah Aini sedar, untuk berjaya kakinya perlu melangkah jauh. Menyedari hakikat itu dia akhirnya nekad merantau demi memburu impiannya. Bagaimanapun sebelum melangkah ke ibu kota, sedikit sebanyak pengalaman mengadakan persembahan bersama Alias Congo dan Aziz Sattar membuka minda dan matanya untuk mengenali tanggungjawab sebagai penghibur. Sewaktu bersama kedua-dua tokoh lawak jenaka ini Sharifah Aini sudah biasa mnenerima bayaran kerana sumbangnnya. Meksipun sekadar RM50 atau paling mahal RM150 sekali muncul, dia tetap bersyukur kerana bidang nyanyian sudah menampakkan aspirasi sebagai karier dan sumber pendapatan. Bagaimanapun wang bukan segala-galanya bagi penyanyi itu, Sharifah Aini mempunyai catatan rekod kerja yang membanggakan kerana sepanjang 30 tahun kariernya, dia sudah mencurah keringat bakti pada kira-kira 3,000 pertunjukan amal bagi membantu pelbagai badan kebajikan. Kenangan itu kini menjadi sebahagian daripada nostalgia yang indah pada beliau, kerana sumbangan suaranya mampu mencipta khidmat bakti kepada negara bangsa dan agamanya.
Apapun katanya, agama jugalah yang paling penting. Dalam mengharungi zaman kegemilangan, seperti kata pepatah 'jalan mana tidak berduri', diari hidup Sharifah Aini turut mencatat rakaman-rakaman duka. Dia pernah ditipu hampir 500 kali oleh promoter. Namun Sharifah Aini tidak pernah berdendam, malah secara ikhlas beliau menghalalkan semua itu di dunia dan akhirat. Baginya, semua pengalaman itu adalah kehendak Allah dan dugaan pada dirinya. Ketika masih mentah, menyanyi bagi gadis ini merupakan satu-satunya sumber rezeki bagi menampung biayai pembelajarannya. Malah demi meringankan beban abah dan ibunya. Baginya yang penting waktu itu ialah belajar untuk berdikari. Dan dunia nyanyian menjadi tapak untuk mendewasakan dan mematangkan dirinya.
Artikel ini diterbitkan dalam 8 Siri:
|
Siri 1 |
|
Siri 2
|
|
Siri
3
|
| Siri
4 |
| Next:
Siri 5
|
| Siri 6
| | Siri 7
| |
Siri 8
| |