Diari Artis: SHARIFAH AINI (Siri 1)

oleh Dean  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 4 Oktober 1998)

PAH ANI: ANAK KECIL YANG RAJIN BERNIAGA

Tangisan bayi di Kem Nee Soon, Singapura pada tepat pukul 7.30 malam memecah kesunyian waktu Maghrib hari Jumaat.  Kelahiran bayi ini ketika itu dianggap sebagai pembawa rezeki bagi sepasang suami isteri Syed Jaafar dan Sharifah Noor.  Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama.  Selepas dua bulan dilahirkan bayi kecil yang diberi nama Sharifah Aini ditinggalkan oleh ibu bapanya kepada datuk dan neneknya, Syed Sahil Ali dan Tengku Wan Mariam Tahir.

Peristiwa ini berlaku selepas kedua-dua ibu kandungnya berdepan dengan kemelut rumahtangga iaitu perpisahan.  Sebagai bayi yang masih merah dan tidak tahu apa-apa tentang erti kehidupan, bayi ini terus membesar seperti anak-anak lain.  Dia diasuh dengan penuh kasih sayang.  Kerana kasih sayang yang diterimanya tidak lebih seperti kasih seorang ibu dan ayah kepada anaknya menyebabkan Sharifah Aini lebih mesra dengan panggilan abah dan emak kepada datuk dan neneknya.

Ada perkara menarik mengenai Sharifah Aini.  Ketika zaman bayinya, kekerapan menangis menyebabkan panggilannya ditukar kepada Sharifah Bahariah.  Bagaimanapun, selepas keadaan pulih seperti biasa, namanya kembali ke asal seperti mana yang tertera dalam sijil kelahirannya.  Ketika usianya mencecah tiga tahun dia dibawa oleh abah dan ibunya ke Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.  Abahnya ketika itu bekerja sebagai pemandu teksi, sementara ibunya pula tidak bekerja sekadar menguruskan rumahtangga.

Sebenarnya ketika usia setahun hingga lima tahun tidak banyak peristiwa yang dapat diingati oleh Sharifah Aini.  Sebaliknya jika diselak kembali sejarah kehidupan lampau ketika remaja Sharifah Aini punya pelbagai cerita sedih.  Kemiskinan adalah teras kepada kehidupannya.  Airmata pula sentiasa menjadi teman setianya.  Namun dia tidak pernah menyesal kerana dilahirkan dalam keadaan sedemikian.  Perpisahan daripada ibu dan ayah kandung sebenarnya membuatkan Sharifah Aini lebih tabah dalam menempuhi kehidupannya.

Menyedari kepayahan hidup yang dilaluinya, Sharifah Aini punya satu sikap yang barangkali jarang ada pada kanak-kanak lain.  Dia rajin menjual dodol, kuih kepal, wajik durian dan lain-lain di sekitar kampung tempat tinggalnya bukan suatu kerjaya asing baginya ketika di zaman kanak-kanak dulu.  Begitu juga dengan buah nangka yang dicucuk pada lidi dijajanya di seluruh kampung.  Ketika itu juga Sharifah Aini melalui zaman kanak-kanaknya bersama dengan sepupunya, Syed Othman dan abangnya Syed Hussein.

Dia begitu terkenal di zaman kanak-kanaknya.  Sikap peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja membuatkan Sharifah Aini senang didekati.  Malah ketika mengeliling kampung menjual segala juadah yang disediakan oleh ibunya itu, kesempatan diambilnya untuk beramah mesra dengan orang-orang kampung.

Justeru itu tidak hairanlah kerana keramahan yang dimiliknya membuatkan dia dikenali sebagai Pah Ani, peniaga kecil yang cukup bjiaksana.  Kerana kekurangan yang ada padanya, Pah Ani menjalani kehidupan yang cukup sederhana baik pakaiannya, makan minumnya serta dalam pergaulannya.  Namun disebalik segala kekurangan itu, Pah Ani sukar ditandingi kehebatannya iaitu dia punya kelunakan suara yang mungkin tiada pada orang lain.  Bukan kerana minat menyanyi tetapi ada satu lagi kelebihan yang mungkin orang lain tidak tahu.  Apakah kelebihannya itu?

Artikel ini diterbitkan dalam 8 Siri:

| Siri 1 |   | Next: Siri 2 |   | Siri 3 |   | Siri 4 |   | Siri 5 |   | Siri 6 |   | Siri 7 |   | Siri 8 |