SHIHA PENUHI IMPIAN BAPA

oleh Norhadiani Baharom  (Harian Metro: Jumaat, 13 Mei 2011)

Mula menyanyi selepas kecewa apabila hasrat belajar di universiti terhalang kerana masalah kewangan

Mengamati wajahnya, mungkin ramai bersetuju apabila dikatakan Nurshiha Mohd Zikir (Shiha), 24, (Shiha) protégé Datuk Sharifah Aini dalam program realiti Mentor 5, ada persamaan dengan diva dari seberang, Rossa.  Tidak hanya iras wajah, persamaan dimiliki Shiha dengan penyanyi Ayat Ayat Cinta itu adalah gaya mereka ketawa.  Pun begitu, bukan persamaan antara Shiha dan Rossa yang ingin dipaparkan di sini, sebaliknya pertemuan seketika dengan gadis manis itu di mahligai mewah milik mentornya di Petaling Jaya, membongkar pelbagai kisah sedih pemilik suara merdu ini.

Jika tidak menjadi penyanyi, barangkali sekarang ini Shiha sudah bergelar pensyarah atau menceburi bidang profesional yang lain kerana sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira enam tahun lalu, dia menerima tawaran melanjutkan pengajian di beberapa universiti terkemuka tempatan.  Bagaimanapun, hasrat ke menara gading musnah dek faktor kehidupan serba kekurangan. 

"Masa itu saya kecewa sangat, tetapi akur kerana memahami situasi emak dan ayah yang tidak berkemampuan membiayai pengajian tambahan pula tidak mendapat tajaan biasiswa.  Dalam bersarang perasaan kecewa, saya mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja.  Seorang kawan menyedari saya boleh menyanyi dan dia membawa saya ke Restoran Cherana, Cheras.  Alhamdulillah rezeki, saya diterima bekerja sebagai penyanyi.  Di situlah permulaan kerjaya nyanyian yang mendorong untuk terbabit dalam bidang ini secara serius," katanya.

Dunia nyanyian bukan asing buat Shiha kerana sedari kecil dia sememangnya sudah terdedah serta membesar dengan irama tradisional dan lagu asli.  Arwah bapanya yang meninggal pada 4 November 2008, adalah orang yang bertanggungjawab menanam sifat kecintaannya pada irama tradisi.  "Arwah abah pencinta irama tradisional dan sejak kecil lagi saya adik-beradik sudah terdidik mendengar lagu Melayu asli.  Seringkali juga saya mengasah bakat dengan menyertai pertandingan nyanyian lagu asli termasuk pernah menyanyi untuk Kombo RTM Pulau Pinang.  Kalau arwah abah masih hidup, saya pasti dialah orang paling gembira mendengar saya menyertai Mentor kerana sejak dulu lagi dia memang inginkan saya menjadi penyanyi.  Justeru, beradanya saya di Mentor untuk memenuhi impian arwah abah sekali gus mencapai cita-cita bergelar penyanyi," katanya.

Pada usia 24 tahun, jika remaja sebaya yang lain sedang galak bereksperimentasi dengan kehidupan ekstrem, namun tidak bagi gadis kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini.  Sebaik tamat persekolahan, anak bongsu daripada tiga beradik ini memikul tanggungjawab menyara ibu bapa dan kini menjaga ibunya yang sakit akibat ketumbuhan di belakang tengkuk.

Tinggalkan kisah hidupnya yang sedih kerana adanya Shiha di Mentor 5 bukanlah untuk meraih simpati sebaliknya menyasarkan kejuaraan dalam pertandingan program realiti terbitan TV3 itu.  Mengakui bertuah terpilih menjadi protégé kepada idolanya, Sharifah Aini, Shiha memasang impian untuk berjaya seperti biduanita negara itu.  "Ibarat mimpi menjadi kenyataan apabila dapat bekerjasama dengan ‘mummy' (panggilan buat Sharifah Aini) kerana meminatinya sejak kecil.  Saya berjanji untuk tidak menghampakan beliau dan akan melakukan yang terbaik," katanya.

Ahad ini, Shiha akan bertarung dalam semi final Mentor 5 yang yang turut menyaksikan saingan hebat daripada Salma, protégé kepada Erra Fazira, Ratna (Afdlin Shauki) dan Iqa (Edry).  Justeru, Selasa lalu Harian Metro sempat menjengah mahligai indah Datuk Sharifah Aini yang menjadi markas Shiha menjalankan latihan.  "Semua saingan hebat-hebat dan menjelang semi final ini saya menggandakan latihan untuk memberikan yang terbaik," katanya. 

Sepanjang latihan dijalankan, Shiha dibantu Tijah Muhamad Nor (Eja), penyanyi latar profesional yang satu ketika dulu pernah menganggotai kumpulan Anugerah.  Minggu ini Shiha akan membawakan lagu Memori Tercipta dipopularkan Shila (One In A Million) selain berpadu tenaga dengan Sharifah Aini menyampaikan lagu dendangan asal Mentornya itu, Hapuslah Air Matamu dan Sabarlah Menanti secara duet.

Sharifah Aini yang enggan wajahnya dirakamkan kerana berasakan dirinya dalam keadaan tidak bersedia apatah lagi baru pulang menziarahi Datin Orkid Abdullah, turut mendoakan kejayaan Shiha di semi final.  "Saya berharap Shiha berjaya melangkah ke peringkat akhir.  Bukan mahu memuji, tetapi Shiha adalah penyanyi muda yang berbakat besar dan versatil kerana dia boleh menyanyikan pelbagai jenis lagu.  Selain ada suara dan rupa, Shiha jaga seorang pelajar yang tiada masalah ‘attitude’, berdisiplin selain anak yang bertanggungjawab terhadap keluarga.  Ciri-ciri dimiliki Shiha adalah contoh yang baik buat masyarakat dan saya ikhlas membantunya dalam pertandingan ini.  Saya berharap dia menjadi seorang penyanyi yang berjaya suatu hari nanti," katanya mengakui bertuah mempunyai Shiha sebagai protégénya.

Juara Mentor musim kelima bakal membawa pulang wang tunai RM100,000 masing-masing dan sebuah kereta Chevrolet Cruze tajaan Chevrolet untuk protégé.  Hadiah wang tunai bagi tempat kedua ialah RM30,000 untuk mentor dan protege.  protégé yang memenangi tempat kedua juga akan memenangi sebuah Vespa LX150 tajaan Naza World.

ArtArtikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Kecewa Komen Ramli (Harian Metro – Sabtu, 4 Jun 2011)

  Gelaran Juara Bukan Penentu (Utusan Malaysia – Rabu, 1 Jun 2011)

  Semi Final Mentor Sengit (Kosmo! – Sabtu, 21 Mei 2011)

  Tidak Mahu Emosi Terganggu (Harian Metro – Selasa, 17 Mei 2011)

  Anggap Shiha Seperti Anak Sendiri (Utusan Malaysia – Jumaat, 29 April 2011)

  Tak Mungkin Tarik Diri (Berita Harian – Rabu, 27 April 2011)

  Jangan Menyanyi Ikut Anak Tekak (Berita Minggu: Bi*Pop – 17 April 2011)

  Protege Masih Kekok (Harian Metro – Rabu, 16 Mac 2011)

  Enam Protege Miliki Kelebihan Tersendiri (Harian Metro – Rabu, 2 Mac 2011)