'JANGAN MENYANYI IKUT ANAK TEKAK' oleh Zaidi Mohamad (Berita Minggu: B*Pop, 17 April 2011) |
Ungkap biduanita, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah di penghujung temu bual, beliau tidak mahu melahirkan seorang lagi Sharifah Aini. Sebaliknya beliau mahu menjadikan protégénya menerusi rancangan Mentor TV3, Shiha sebagai bakat pelapis yang boleh mempelbagaikan genre muzik dan tidak hanya bertumpu kepada satu pasaran muzik semata-mata. Kata Kak Pah lagi, jika ditakdirkan Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir bergelar juara Mentor musim kelima, beliau berharap konsistensi dan kelangsungan anak didiknya itu akan terus mekar dan tidak bersifat semusim semata-mata. Ditemui di banglonya di Petaling Jaya ketika sama-sama terbabit dalam sesi fotografi bersama Shiha petang Selasa lalu, Kak Pah anggun dengan busana rona ungu rekaan pereka fesyen kegemarannya, Ezuwan Ismail, Kak Pah galak bercerita mengenai pembabitannya dalam program realiti itu demi berkongsi ilmu nyanyian dengan bakat muda. "Untuk bergelar Mentor kepada Shiha bukan semata-mata nak menang. Menang itu satu bonus. Apa lebih afdal, Kak Pah mahu berkongsi ilmu dan bakat yang ada dengan Shiha. Jika ditakdirkan Shiha menang, Kak Pah cuma mahu hayatnya dalam dunia seni bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Biar legasi seninya bertahan dalam industri untuk tempoh panjang dengan memiliki album, menjadi jurucakap produk, disokong ramai peminat dan memenuhi undangan membuat persembahan di merata tempat. "Selepas berakhir Mentor 5, kalau Shiha masih sudi menerima bimbingan, Kak Pah sentiasa terbuka untuk memantau dan berada di sisinya berkongsi apa yang patut. Menjadi anak seni sejati bukan semudah dilihat. Kak Pah berharap perjalanan seni Shiha akan terus diberkati," katanya yang sudah 42 tahun bergelar anak seni. Bercerita lanjut lagi, penyanyi yang tampil dengan imej bertudung sejak awal tahun ini iaitu sekembalinya daripada mengerjakan umrah berkata, persaingan dalam Mentor ternyata menguji kredibilitinya untuk berada di kalangan terbaik (bersama Erra Fazira, Afdlin Shauki, Noh Hujan, Edry Abdul Halim dan Rahim Maarof). Akui Kak Pah, semua menuntut dirinya dan Shiha untuk bekerja lebih keras, merancang strategi terbaik dalam menarik perhatian juri serta peminat, pemilihan lagu yang bersesuaian dengan nada suara Shiha dan bersikap positif selalu dalam berdepan dengan pelbagai kemungkinan serta tekanan. "Shiha seorang yang sangat versatile, Kak Pah tahu dia mempunyai kebolehan menyanyi pelbagai genre lagu. Apabila melihat kelibatnya, Kak Pah pantas membayangkan diri sendiri sejak 40 tahun lalu. Dia juga tak pernah takut mencuba termasuk menyanyikan lagu yang di luar 'forte' dirinya," kata Kak Pah yang bakal membuat persembahan tiga malam di Istana Budaya bermula pada 1-3 Julai ini, anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. "Kak Pah mengajarnya cara menyanyi dengan betul. Postur badan, cara memegang mikrofon dan teknik bernafas kena betul. Kak Pah selalu ingatkan kepadanya bahawa penyanyi yang baik bukan menyanyi menerusi anak tekak sebaliknya dari perut dan naik ke atas dada. Kak Pah juga mengajarnya cara berkomunikasi dan berdepan dengan media. Kak Pah juga perlu beterima kasih kepada produksi TV3 dan Mentor yang sangat menyokong. Ia sesuatu yang baru di samping dapat berkerja dengan orang muda," katanya sambil memberitahu kebanyakan tawaran membuat persembahan terpaksa dianjak ke tarikh mendatang demi memberi rumpuan kepada Mentor 5.
Sementara itu, bagi Shiha 24, dia menyifatkan peluang berada di bawah bimbingan Kak Pah yang dipanggil Umi itu sebagai satu peluang berharga dan tidak wajar dipersiakan. Mungkin selama ini, Shiha boleh dianggap antara bakat yang sering terlepas pandang sesetengah pihak. Shiha pernah menyertai prelude Akademi Fanbtasia musim ketiga dan semua itu atas sokongan arwah bapanya, Zikir Abdul Hamid yang meninggal dunia akibat sakit jantung tiga tahun lalu. Ungkap Shiha, dia memberanikan diri mencuba nasib menyertai Mentor 5 demi menunaikan hasrat arwah bapanya yang mahu melihat dia berjaya menjadi penyanyi. "Dapat saja tahu Mentor 5 ada menampilkan Umi sebagai Mentor, hati saya pantas berbisik mahu mencuba nasib untuk berada di bawah bimbingannya. Apatah lagi, saya dibesarkan dengan lagu Umi. Arwah bapa dan emak pun selalu memperdengarkan lagu Umi ketika saya masih kecil. Dalam masa tiga bulan ini, saya mahu mengutip pengalaman diraih Umi sepanjang bergelar anak seni. Memang susah nak kejar apa yang dicapainya sehingga kini. Biar sedekit waktu dapat bersamanya, saya mahu menggunakan ruang itu sebaik mungkin," kata Shiha yang pernah bekerja sebagai penyanyi di Restoran Cerana, Cheras,selama tiga tahu dan menyanyi di hotel. Mengenai Kak Pah, Shiha pada mjulanya menyangka penyanyi bersuara emas itu sangat garang. Namun selepas mendekatinya, baru Shiha sedar Kak Pah seorang yang sangat tegas, sensitif dan tebal dengan sifat keibuan. Malah,akuinya, Kak Pah juga setiap hari akan menghubungi emak Shiha untuk bertanya keadaanya di rumah. INFO MENTOR
Artikel lain yang berkaitan:
|