ENAM PROTEGE MILIKI KELEBIHAN TERSENDIRI

oleh Norhayati Nordin  (Harian Metro: Rabu, 2 Mac 2011)

Selepas mengadakan sesi uji bakat dari Semenanjung hingga ke Sabah, akhirnya pencarian enam protégé yang dicari berhasil ditemui.  Malah, tirai persaingan Mentor 5 akan dibuka mulai hujung minggu ini dengan konsert sesi pengenalan peserta.  Berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), konsert itu bermula jam 9 malam.  Enam mentor terbabit, Datuk Sharifah Aini, Rahim Maarof, Afdlin Shauki, Erra Fazira, Edry Abdul Halim dan Noh Hujan akan bersama protégé mereka.

Apapun, melihatkan pada persembahan dilakukan protégé  berentap untuk musim ini pada majlis sidang media memperkenalkan peserta di One Utama, baru-baru ini, tidak dinafikan Mentor 5 pasti mencetus fenomena baru buat penonton setianya.  Ini kerana, enam protégé  yang dipilih itu masing-masing didapati memiliki kekuatan vokal tersendiri.  Cuma, terserah kepada penonton untuk memilih siapa juaranya.  Tidak terkecuali, peranan juri profesional dan juri awam untuk membuat penilaian.  Sharifah Aini yang memilih Nurshiha Mohd Zikir (Shiha), 24, berkata beliau mendapati gadis itu mempunyai bakat besar yang harus digilap.  Ujarnya, selain boleh menyanyi dengan baik, Shiha juga bijak berkomunikasi dengan penonton dan berkeyakinan.

"Saya bersemangat mahu membantu Shiha kerana tertarik dengan komitmen ditonjolkan.  Bahkan, dia (Shiha) juga didapati sangat minat dalam nyanyian.  Namun, yang paling penting Shiha ini mudah dilentur dan dia seorang yang senang diurus.  Semoga Shiha berjaya dan saya mahu dia menjadi penyanyi yang bersandarkan identiti sendiri.  Saya akan pastikan Shiha tidak terikut-ikut cara penyanyi sedia ada kerana peminat sudah tentu inginkan sesuatu yang baru.  Insya Allah, tiada klon saya atau penyanyi lain.  Justeru, dalam tempoh dua bulan persaingan Mentor 5 ini, saya membuat keputusan tidak menerima sebarang undangan persembahan kerana mahu memberi fokus penuh kepada Shiha.  Kini, tanggungjawab saya untuk membantu dan melatih Shiha," katanya.

Menyentuh soal Shiha yang sebelum ini pernah menyertai Konsert Prelude sebuah program realiti TV popular dan bergelar penyanyi kelab, Sharifah Aini berkata, itu sudah menunjukkan betapa Shiha sangat meminati bidang nyanyian serta ingin berjaya.  Bagi Shiha pula, dia takkan sesekali mensia-siakan peluang keemasan diraihnya.  Ujarnya, dia sangat berbangga mendapat bimbingan daripada mentornya yang disifatkan sebagai penyanyi berpengalaman luas dan memiliki vokal tersendiri.

Sementara itu, Afdlin pula memilih Ratnah Awal atau Ratnah, 26, sebagai protégénya.  Sebelum ini, Ratnah pernah ada pengalaman menjayakan teater muzikal seperti Puteri Gunung Ledang dan Cuci.  Katanya, dia sangat yakin dengan bakat Ratnah.  "Saya tidak sangka, Ratnah datang ke sesi uji bakat diadakan.  Malah, kelainan yang saya lihat pada Ratnah ini ialah apabila dia menyanyikan lagu lebih ke arah irama tradisional.  Bayangkan lagu pop, bertukar lenggok kepada irama Malaysia.  Jadi, ia sesuatu yang baru.  Selain itu, Ratnah juga boleh menari dan berlakon.  Oleh itu, saya melihat dia sangat berbakat dan bersedia untuk mencurahkan ilmu seni yang ada ini kepadanya.  Saya tahu Ratnah ada potensi untuk pergi lebih jauh.  Menurut Ratnah, dia sangat meminati Afdlin maka bertekad untuk menghadiri uji bakat diadakan.  Katanya, dari rumah lagi, dia sudah berazam akan menunjukkan segala bakat dimilikinya kepada Afdlin dan berharap pengarah terkenal itu menjadi mentornya.

Penyanyi rock era 80-an, Rahim Maarof yang membuat uji bakat cukup teliti mencari protégé sesuai hingga dua kali uji bakat, akhirnya dipertemukan dengan Aiman Hakin Ridza Abdoh (Aiman), 22.  Katanya, dia memilih pemuda dari Shah Alam itu kerana bakat dan pakej diri.  "Penting bagi seseorang penyanyi memiliki bakat dan pakej.  Justeru, melihatkan dua ciri utama ini ada pada diri Aiman, saya bersedia membimbingnya.  Saya akan berusaha membimbing Aiman dan memberi dia kebebasan dalam memilih lagu," katanya.  Aiman berkata, dia meminati Rahim dan tidak sangka akan menjadi protégé penyanyi itu.  Katanya, Mentor 5 adalah pentas pertama bakat nyanyiannya diketengahkan.  Ujar Aiman, dia sangat gementar memandangkan prestasi protégé  lain yang cukup hebat.

Erra Fazira memilih gadis kelahiran Tawau, Sabah, Salmah A Asis atau Salma, 21.  Kata Erra, kekuatan protégénya terletak pada vokal.  Malah, ujarnya dia yakin kejayaan Salma bergantung pada usaha dan komitmen ditonjolkan dan bukan undian semata-mata.  "Saya tidak mahu persepsi Salma selaku orang Sabah pasti memperoleh undian tinggi.  Bagi saya, untuk menjadi penghibur yang berjaya mestilah menonjolkan bakat sebenar.  Saya percaya Salma memiliki bakat itu dan dia perlu dibimbing," katanya.

Komposer terkenal, Edry Abdul Halim memilih Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor (Iqa), 25, kerana gadis itu menepati kriteria dicarinya.  Katanya Iqa juga mempunyai band sendiri dan aktif dalam muzik bebas.  Vokalnya juga bagus dan perlu diasah.   Saya akan membatu Iqa sedaya yang boleh.  Malah, saya turut merancang perjalanan karier nyanyiannya dengan selepas ini sama ada dia berjaya atau sebaliknya di Mentor 5.  Namun, harapan saya semoga dia berjaya hingga ke peringkat akhir.  "Tipu jika saya katakan kami tidak mahu mara hingga ke malam kemuncak.  Apapun, saya melihat persaingan Mentor 5 ini sangat sengit.  Tak dinafikan, kemungkinan ia sangat mencabar dan saya akan pastikan Iqa akan memberi saingan yang hebat," katanya.

Sementara itu, Noh Hujan pula yakin dengan Muhammad Faris Mohamed Razali (Ayaish), 21.  Apapun, Noh yang pulang dulu sebaik majlis sidang media selesai memberi ruang kepada protégénya, Ayaish untuk ditemubual.  Kata Ayaish, dia akan memberikan persaingan mantap.

Pada majlis itu, Salma membuktikan kepada penonton kemantapan vokalnya yang sebenar, begitu juga dengan Ratnah (protégé Afdlin) dan Shiha (protégé Sharifah Aini).  Namun, siapa akan menjadi juara?

Mentor 5 masih dihoskan Ally Iskandar Mohd Mardzi di samping Nas Ahmad sebagai pengacara bersama pada malam konsert setiap minggu.  Malah, barisan penasihat Mentor 5 pula dibarisi komposer Ajai sebagai penasihat vokal, Adam (AF2) selaku penasihat persembahan dan Faizal Uzir (pengarah muzik).  Bahkan, buat pertama kalinya juga Mentor 5 turut memperkenalkan seorang juri tetap yang akan menilai persembahan dan memberi komen persembahan peserta setiap minggu iaitu Datuk Ramli MS.  Ia adalah kelainan bagi musim ini.  

Peserta yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan akan berentap dalam empat konsert mingguan untuk mengumpul markah tertinggi.  Pemarkahan dibuat dalam tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus (undian SMS) dan 20 peratus (juri awam).  Juara akan membawa pulang hadiah lumayan yang menjadi taruhan iaitu wang tunai RM100,000 dan sebuah kereta Chevrolet Cruze.  Manakala, pemenang tempat kedua pula akan menerima hadiah wang tunai RM30,000 dan vespa LX150 tajaan Naza World.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Kecewa Komen Ramli (Harian Metro – Sabtu, 4 Jun 2011)

  Gelaran Juara Bukan Penentu (Utusan Malaysia – Rabu, 1 Jun 2011)

  Semi Final Mentor Sengit (Kosmo! – Sabtu, 21 Mei 2011)

  Tidak Mahu Emosi Terganggu (Harian Metro – Selasa, 17 Mei 2011)

  Shiha Penuhi Impian Bapa (Harian Metro – Jumaat, 13 Mei 2011)

  Anggap Shiha Seperti Anak Sendiri (Utusan Malaysia – Jumaat, 29 April 2011)

  Tak Mungkin Tarik Diri (Berita Harian – Rabu, 27 April 2011)

  Jangan Menyanyi Ikut Anak Tekak (Berita Minggu: Bi*Pop – 17 April 2011)

  Protege Masih Kekok (Harian Metro – Rabu, 16 Mac 2011)