ISTIMEWA INILAH SHARIFAH AINI

oleh Esme Johari Wahab  (Harian Metro: Khamis, 1 Oktober 2009)

SHARIFAH ... konsert kedua sejak 2000Meskipun kudrat tidak sekuat dulu dan menghadapi saingan dengan ramai penyanyi baru sedang meningkat naik, populariti penyanyi malar segar tanah air, Datuk Sharifah Aini masih belum mampu digugat dalam persada seni suara tanah air.  Berikutan pelbagai permintaan serta desakan peminat, penyanyi kesayangan ramai ini kembali mementaskan Konsert Inilah Sharifah Aini yang turut dijayakan bersama Datuk David Arumugam dan Francisca Peter.

Konsert diadakan di Studio Filem Negara Malaysia, Petaling Jaya pada jam 8 malam Jumaat ini.  Ia konsert kedua beliau sejak kali terakhir pada 2000 dan lebih menarik, ia akan dirakamkan syarikat produksi televisyen ZGB Media Sdn Bhd yang mendapat kepercayaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akan ditayangkan sempena sambutan tahun baru pada hujung tahun.

Penerbit ZGB Media Sdn Bhd, Zohara Gany Bathusha berkata, kehadiran Sharifah Aini dalam konsert berkenaan itu membuktikannya dirinya masih terus mendapat permintaan tinggi peminat yang jarang dapat menontonnya menyanyi secara langsung.  "Beliau tidak banyak tampil di hadapan penonton kecuali memenuhi undangan tertentu dan jamuan makan malam.  Kali terakhir Sharifah Aini bekerjasama bersama RTM ialah sewaktu mengadakan konsert solo, Istimewa Bersama Sharifah Aini kira-kira sembilan tahun lalu," katanya.

Walaupun tidak membuat sebarang rakaman album baru, Sharifah Aini akan menyampaikan 16 lagu terbaiknya sepanjang zaman dalam konsert selama satu jam 15 minit itu dengan diiringi ahli muzik profesional.  Francisca pernah popular sewaktu berduet bersama Royston Sta Maria pada era 80-an akan menyampaikan lagu 'Sekadar Di Pinggiran' sementara David, vokalis Alleycats, menyampaikan lagu 'Sampaikanlah Salam'.  Mereka bertiga kemudian akan berpadu suara membawa lagu Seiring Sejalan.

Bagaimanapun, hanya seramai 200 penonton undangan khas dijemput menyaksikan konsert itu kerana studio digunakan untuk rakaman tidak terlalu besar.  Antara lagu dijangka didendang Sharifah Aini pada malam itu adalah Sri Dewi Malam, Hapuslah Airmatamu, Tiada Maaf Bagimu, Bunga Tanjung termasuk dua lagu Jatuh Cinta dan Sabar Menanti yang akan diiringi alunan piano Ramli MS sendiri selaku pengarah muzik konsert.

Pada masa sama, Zohara berkata, konsert itu dapat memberi inspirasi baru kepada artis berpengalaman mengembalikan semula nostalgia mereka kepada peminat yang jarang dapat melihat artis kesayangan mereka mengadakan konsert seumpama itu.  "Persembahan konsert Sharifah diharap mampu memberi inspirasi kepada artis veteran malar segar lain sepert Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Sheila Majid mengikut jejak langkahnya menjayakan konsert penghargaan kepada peminat.  Barisan artis seperti mereka mempunyai peminat tersendiri yang sudah lama mengikuti perkembangan mereka.  Misalnya walaupun lagu didendangkan berusia sudah melebihi 20 tahun, ia terus diminati hingga sekarang, malah terus mendapat tempat di kalangan peminat kerana didendangkan di majlis terentu," katanya.

Rakaman konsert berkenaan akan bermula pada jam 8 malam.

Artikel lain yang berkaitan:

  Auranya Tetap Gah ! (Berita Harian – Rabu, 7 Oktober 2009)

  Dewi Yang Tidak Pernah Hilang Seri (Harian Metro – Isnin, 5 Oktober 2009)