DEWI YANG TIDAK PERNAH HILANG SERI

oleh Nor Akmar Samudin  (Harian Metro: Isnin, 5 Oktober 2009)

Biarpun sudah 41 tahun berada dalam persada seni tanah air dan sering menyaksikan kemunculan wajah baru dalam arena seni suara mahupun lakonan, Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini, 55, antara ikon dunia hiburan yang masih gah berada dalam kelasnya tersendiri.  Alunan suaranya masih memukau dan semerdu dulu ketika kali pertama merakamkan lagu Seri Dewi Malam pada awal 70-an.  Peminatnya yang terus mengikuti perkembangannya sejak mula dia bergelar anak seni pasti akan terus mengagumi penyanyi bersuara emas itu.

Sharifah tiada penggantinya sehingga ke saat ini.  Setiap lagunya terus diminati dan tidak jemu dijadikan halwa telinga.  Bahkan lagu yang pernah dirakamkan seawal 70-an, 80-an dan 90-an masih menjadi pujaan ramai.  Lantas kerana mengenangkan perjuangannya dalam seni tidak pernah kenal jemu, ZGB Media Sdn Bhd memilihnya menjayakan persembahan khas dinamakan Konsert Inilah Sharifah Aini.   Rakaman secara langsung itu dilakukan di Studio Filem Negara, Petaling Jaya, Jumaat lalu dan bakal disiarkan pada malam Tahun Baru 2010 di Radio Televisyen Malaysia (RTM).  Judul konsert itu sudah cukup membuktikan siapa Sharifah Aini, betapa besar jasanya kepada persada muzik tempatan.

Belumpun rakaman bermula setiap ruang yang disediakan untuk penonton penuh dan sepanjang lebih dua jam rakaman berlangsung, mereka memberikan sokongan kepadanya dengan bertepuk tangan dan menyanyi bersamanya.  Biarpun studio itu tidak boleh memuatkan kapasiti penonton yang ramai, masih terasa kemeriahannya.  Tergambar kepuasan pada wajah Sharifah Aini setiap kali menatap wajah peminat kesayangannya.  Sebagai orang lama, beliau cukup mengerti kegelisahan penonton setiap kali menyaksikan rakaman program kerana ada ketika disebabkan kesilapan teknikal, rakaman lagu perlu diulang beberapa kali.   Ketika itulah dia mengingatkan kepada penonton supaya bersabar.  "Harap bersabar jika rakaman diulang banyak kali," katanya yang memulakan persembahannya dengan lagu Seri Dewi Malam yang begitu popular pada 1975.

Gemersik suaranya membuatkan peminatnya terdiam seketika.  Barangkali ada yang terkenang kembali zaman silam kerana ada yang membesar dengan kebanyakan lagu penyanyi itu.  Persembahan diteruskan dengan lagu Hapuslah Airmatamu dan Gunung Banang.  Selepas menyanyikan lagu Gunung Banang, kedengaran suaranya serak dan ibu kepada Aliff Ali itu mengaku akan perkara itu.  Katanya, entah kenapa setiap kali dia menyanyikan lagu lama, perasaannya terusik.  Lagu lain yang turut menjadi pilihan pada malam itu, Dekatlah Padaku, Tiada Maaf Bagimu, Kau Tinggi Di Awan Biru, Jatuh Cinta, Sabar Menanti, Hanya Engkau, Empat Dara, Zapin Budi, Kau Pergi Tanpa Pesan, Teratai, Bunga Tanjung, Burung Pungguk, Yang Ditunggu Tak Tiba, Percayalah, Di Malam Persandingan, Usah Pergi Lagi dan Cahayamu Cahayaku.

Menyemarakkan lagi rakaman itu, beliau mengundang dua rakan lamanya, Francisca Peter dan Datuk David Arumugam.  Masing-masing menyanyikan lagu popular mereka, Sekadar Di Pinggiran dan Sampai Salam.  Kemudian mereka bertiga bergabung suara mempersembahkan lagu Seiring Sejalan.  Pasti tiada yang lebih menggembirakan Sharifah Aini apabila dapat berkongsi pentas dengan rakan lama yang bersama berjuang memartabatkan dunia seni suara tanah air.  Kemunculan David di pentas berjaya menimbulkan kelucuan dengan gelagat dan gurauan spontannya.  Ternyata kehebatan orang lama dan profesionalisme yang ada pada mereka sukar ditandingi orang baru.  Justeru, biarpun yang hilang akan berganti, yang patah pasti tumbuh lagi, namun pasti tidak akan sama dengan yang sudah pergi.  Oleh itu, selagi hayat mereka ada, hargailah jasa mereka.

Sepanjang rakaman itu juga, Sharifah turut merakamkan jutaan terima kasih kepada mereka yang pernah bekerja sama dengannya seperti komposer Datuk Ahmad Nawab, Saari Amri dan Fauzi Marzuki.  Kerjayanya terus berkembang dan hidup subur dengan sentuhan mereka yang terkenal dengan gubahan muzik menyentuh kalbu.  "Selama 41 tahun menghambakan diri kepada dunia seni, saya sudah menghasilkan 98 album dan lebih 1,000 lagu yang mana 300 daripadanya, liriknya saya tulis sendiri.  Dengan itu saya dapat menzahirkan rasa hati dengan penuh perasaan.  Saya juga sudah menyanyikan puluhan ribu lagu sepanjang menjayakan konsert yang diadakan dalam dan luar negara namun rasa cinta yang begitu mendalam dalam bidang seni tidak membuatkan saya penat dan jemu untuk terus menghiburkan peminat," katanya.

Konsert Inilah Sharifah Aini dihasilkan sebagai penghargaan sumbangan Sharifah Aini dalam dunia hiburan tempatan.  Program itu diterbitkan Zohara Gany Bathusha atau Lola yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden (Kandungan) ntv7 dan juga bekas penerbit drama di RTM manakala Nik Ramzi Nik Hassan selaku Penerbit dan Ismadi Ismail sebagai Pengarah program.  Zohara berkata, penampilan Sharifah Aini amat bermakna kerana kali terakhir beliau muncul dalam program RTM pada 2000 menerusi Konsert Solo Sharifah Aini.  "Terdahulu pada 1977, beliau memenangi anugerah Penghibur Terbaik di Anugerah Seri Angkasa menerusi program Hiburan Minggu Ini Bersama Sharifah Aini.  Tentu peminat tidak sabar menantikan kemunculan beliau di RTM," katanya.

Agar program itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada peminat, semua lagu dipersembahkan malam itu digubah rakan baiknya yang juga komposer terkenal, Ramli MS yang memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Muzik.  Sementara kumpulan Strings daripada Orkestra RTM dipimpin Datuk Mokhzani Ismail diundang khas mengiringi persembahan ahli muzik lain.  Sharifah Aini turut dibantu empat penyanyi latar berpengalaman, Eja, Anis, Juanita dan Baby.  Beliau juga kelihatan anggun dan bergaya menggayakan busana tajaan Jovian Mandagie.  Pentas dihias cantik dengan tajaan lampu dari Light Craft, Endang Catering menaja makanan dan ARD Creation untuk hiasan kerusi.  Segalanya bagi memastikan yang terbaik disediakan untuk Biduanita Negara itu.

Artikel lain yang berkaitan:

  Auranya Tetap Gah ! (Berita Harian – Rabu, 7 Oktober 2009)

  Istimewa Inilah Sharifah Aini (Harian Metro – Khamis, 1 Oktober 2009)