sharifah aini demam nak masuk mekah

'Abadi Dalam Kenangan' oleh Bahyah Mahmood  (URTV Edisi 870, 01-15 Oktober 2014)

Sharifah Aini dah tak ada lagi di dunia ini.  Dia dah jadi arwah, berpindah ke alam barzakh.  Hati BAM jadi sedih yang amat sangat dengan kehilangannya.  Memang tak sangka begitu cepat dia pergi.  Pergi yang tak akan kembali buat selama-lamanya.

Masih terbayang saat-saat dia terbaring sakit.  Termengah-mengah dan tercunggap-cunggap nafasnya bila bercakap.  Kesian sangat tengok dia.  Namun, dalam tercunggap-cunggap begitu, kegembiraan terserlah di wajahnya bila kawan-kawan rapat datang melawatnya, baik di hospital dan juga di rumah, kerana masing-masing suka bercerita hal-hal yang lucu dan menghiburkan hatinya.  Walaupun sedang risau dengan penyakit yang dihidapinya, tidak semena-mena terkena jangkitan.  Maka, itulah yang dikatakan menjadi penyebabnya.

Pada hakikatnya, semua telah nyata dalam takdir Allah Azza Waljalla.  Bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah yang telah termaktub sejak azali lagi.  Bila ajal sudah tiba, maka kematian tidak akan tertangguh walau sesaat pun jua.

Kenangan BAM terhadap diri Aini yang tak dapat dilupakan, sewaktu kami sama-sama menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan Madinah untuk mengerjakan ibadah umrah lebih sepuluh tahun yang lalu.  Terbuka hatinya tiba-tiba teringin sangat menjejakkan kaki ke bumi Mekah untuk menatap di depan mata, Baitullah di Masjidil Haram.  Dan juga teringin sangat nak menziarahi makam Rasulullah SAW memberi salam untuk mendapat syafaat Baginda Rasulullah di akhirat nanti.

Pesawat Saudi Airline membaca doa sebelum terbang, membuatkan Aini terkejut dan kesukaan menadah tangan mengaminkan doa, memohon kepada Allah perlindungan sepanjang penerbangan selama sembilan jam ke Madinah Al-Munawarah.  Sepanjang penerbangan Aini begitu khusuk menghayati ayat-ayat Al Quran dan doa-doa tercatat dalam buku panduan mengerjakan umrah.  Tentunya ingin mendapatkan pahala Umrah Mabrur.

Setibanya di Madinah, Aini begitu teruja dengan keindahan masjid Nabawi.  Bibirnya tak henti-henti mengucap salam dan berselawat ke atas nabi junjungan SAW dan tidak berganjak di sisi makam Rasulullah SAW.  Assalamualaika Ya Rasulullah ... Assalamualaika Ya Habibullah.  Tidak lupa juga memberi salam kepada kedua-dua sahabat Rasulullah, Abu Bakar dan Ummar Al Khattab.  Kemudian beralih ke Raudhah.

Menghayati Kota Madinah yang tenang dan damai membuatkan terlintas di hati Sharifah Aini untuk sekolahkan anaknya Aliff Omar bin Ali di Kota Madinah ini.  Mudah-mudahan ada keberkatannya nanti.  Memang sedih, sebaik dan sayu hati bila kaki melangkah nak meninggalkan Madinah.  Doa selamat tinggal Rasulullah dilafaz dengan juraian airmata yang tak dapat ditahan-tahan sambil mengharapkan untuk datang dan datang lagi, dengan izin Allah jua.

Selamat tinggal Madinah yang sentiasa di hati ... bas meluncur laju menuju ke kota Mekah Al Mukarramah.  Rombongan kami kira-kira 35 orang semuanya sudah siap memakai ihram untuk mengerjakan ibadah Umrah dengan memasang niat di Bir Ali.  Dalam rombongan kami, tak siapa pun yang tahu, sejak semalaman Biduanita Negara Sharifah Aini penyanyi kesayangan ramai ketika itu demam.  Tak siapa tahu dia sedang berperang dengan perasaannya, kerana terasa dirinya mungkin telah membuat kesalahan yang tak sengaja, terasa berdosa kepada Allah.  Aini takut nanti akan menerima balasan daripada Allah.  Takut sesuatu hal yang tak diingin berlaku kepada dirinya nanti.

Maklumlah, ini kali pertama dirinya menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan juga Madinah.  Seperti cerita-cerita yang didengar, kata orang, kalau banyak dosa, banyaklah ujiannya.  Macam-macam peristiwa akan menimpa diri sebagai balasan dari Allah Taala.  Kerana tekanan fikirannya memikirkan hal-hal ghaib membuatkan Aini tersangat takut naik masuk Mekah.

Kebimbangan Aini yang ketakutan dengan hukuman Allah menimpakan ujian yang tak tertanggung olehnya, akhirnya sampai ke pengetahuan mutawif kami, Ustaz Mahmud yang memang tinggal di Mekah dan beliau bertugas membimbing kami mengerjakan Umrah.  Segala persoalan sepanjang mengerjakan ibadah, ajukanlah kepadanya dan beliau akan memberikan jawapan yang jelas segala kemusyiklan.

"Ustaz Mahmud tahu tak, saya jadi bimbang dan takut, kerana banyak cerita-ceitra kejadian pelik yang saya dengar dari orang-orang yang pernah datang ke tanah suci ini.  Antaranya ada yang sesat dan hilang beberapa hari kerana tak jumpa hotel tempat penginapan mereka.  Itulah yang saya takut terjadi pada diri saya.  Ada yang sakit teruk, terus tak bangun dan tak dapat mengerjakan umrah ...  Ada yang tak dapat masuk masjid, tak tawaf tak dapat buat sai'e, terus pulang ke Malaysia.  Tiba di Malaysia terus sihat wal'afiat.  Macam mana tu Ustaz," begitulah pertanyaan Aini dengan panjang lebar.

Hairannya, Ustaz Mahmud hanya tenang saja mendengar cerita-cerita itu dan dengan tenang dia menasihatkan Sharifah Aini serta kami semua.  "Anda semua datang ke mari, menjejakkan kaki ke bumi Mekah dan juga bumi Madinah, semuanya dengan izin Allah SWT juga.  Anda sekalian adalah 'Tetamu Allah'.  Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  Dia akan melindungi hamba-hambaNya.  Berdoalah sebanyak-banyaknya memohon yang terbaik, InsyaAllah akan diperkenankan doa hamba-hambaNya."

Dengan izin Allah juga, Aini serta-merta sembuh demamnya.  Dia mengaku hatinya tenang setelah mendengar takzirah Ustaz Mahmud.  Memang berkesan di hatinya, tidak bimbang dan yakin Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  Hatinya tidak berserabut lagi.  Dia tidak lalai dari mengerjakan solat-solat sunat.  Solat tahajud dan solat taubat berulang kali dilakukan sepanjang sepuluh malam, 12 hari di Mekah dan di Madinah.

Tasbih ungu keliling Kaabah

Melihat Masjidil Haram yang tersergam di depan matanya membuatkan Aini terpegun lama mengagumi kebesaran Allah dan kekuasaan Allah Azza Waljalla.  Pertama kali melihat Baitullah hatinya terasa sayu dan terharu ...  Serasa diri ini begitu kerdil, begitu hina di sisi Allah, Sang Pencipta, ujar Aini.

Semasa melakukan tawaf umrah, Aini menceritakan suatu kejutan pada dirinya.  Tiba-tiba terasa ada orang mencuit belakang Aini sewaktu dalam pusingan ketiga.  Ibadah tawaf sama seperti kita sedang solat, kena khusyuk dan tawaduk, tak bolehlah kita nak toleh belakang, nak jenguk siapa yang mencuit.  Ani teruskan tawaf, pusingan keempat dan kelima.  Masuk pusingan keenam, tau-tau seorang lelaki Arab yang agak berumur telah menghulurkan seutas tasbih berwarna ungu.  Ani sambut pemberiannya itu dengan tangan berlapis telekung untuk menjaga aurat dalam ihram, sambil mengucapkan syukran, terima kasih."

"Seterusnya di pusingan akhir (ketujuh) sambil mengatur langkah lambaian terakhir di pintu Kaabah, lelaki tua itu sudah tidak ternampak lagi kelibat bayangnya, entah ke mana?  Tak mungkin terlalu cepat langkahnya keluar dari dataran Baitullah ... ?  Pelik, Ani jadi hairan dan tertanya-tanya tanpa jawapan, hanya membelek-belek tasbih ungu yang sememangnya cantik dan terus diwiridkan dengan kenangan peristiwa pelik," itulah penamat cerita.

Masih adakalah lagi tasbih ungu yang jadi kesayangan Sharifah Aini yang kini di Alam Barzakh?

   BERSAMBUNG 

Artikel lain yang berkaitan (sambungan, Bahagian Akhir):

  Bercucuran Airmata Di Depan Kaabah (URTV Edisi 872, 115 Novembers 2014)