BERCUCURan airmata di depaN kaabah

'Abadi Dalam Kenangan' oleh Bahyah Mahmood  (URTV Edisi 872, 1-15 November 2014)

BINGUNG ... Sharifah Aini (allahyarham) memikirkan siapakah gerangan Pak Arab yang mencuit belakangnya dan kemudian menghulurkan seutas tasbih cantik berwarna ungu, ketika dia sedang melakukan tawaf umrah keliling Baitullah 7 pusingan.  Kemudian sedetik itu Pak Arab hilang entah ke mana.  Namun lega hati Aini kerana dapat mengucapkan syukran dalam bahasa Arab bererti 'Terima Kasih'.  "Peristiwa itu memang tak boleh lupa," kata Aini.

MUTAWIF MENANGIS, AINI PUN MENANGIS

Selesai saja melakukan tawaf umrah keliling Kaabah 7 kali pusingan, dengan penuh khusyuk dan tawadduk, mutawif kami Ustaz Mahmud membaca doa, kami mengaminkan, kemudian solat sunat tawaf dan baca doa lagi.  Aini terus maju ke hadapan pintu kaabah, berdiri di sebelah Ustaz Mahmud.

"Ikut saya beramai-ramai baca doa ini," kata Ustaz Mahmud sambil menadah tangan mengadap pintu Kaabah.  Terasa begitu syahdu tiupan angin malam menyimbah seluruh tubuh.  Spontan hati dan perasaan kami jadi sebak.  Sambil menadah tangan merenung Kaabah terpampang di hadapan mata, secara spontan airmata ikut berlinang tidak tertahan-tahan.  Sebak dan sayunya hati yang teramat sangat.

"Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya kami adalah hambaMu, yang tegak berdiri di bawah pintu Kaabah Mu, menundukkan diri di hadapanMu, sambil mengharapkan RahmatMu, dan kasih SayangMu.  Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala rahsia kami yang tersembunyi dan amal perbuatan kami yang nyata, maka terimalah ratapan kami ini.  Engkau Maha Mengetahui keperluan kami dan Engkau Maha Mengetahui apa pun yang terkandung dalam hati kami, maka ampunkanlah segala dosa-dosa kami.  Ya Allah, kami memohon kepadaMu iman yang kekal, yang melekat terus di hati.  Berikan cahaya kelak dalam kubur kami.  Dan kami memohon kepadaMu martabat yang tinggi di dalam Syurga."

Babak berdoa memohon keampunan Allah SWT sesungguhnya amat menyayat hati.  Bak kata Aini; "Terasa takut teramat sangat dengan seksa Allah."  "Di pintu Kaabah inilah tempat mustajab doa," tegas Ustaz Mahmud.  "Mudah-mudahan segala ibadat kita diterima oleh Allah SWT dan mendapat keampunan segala dosa-dosa kita semua," ujarnya lagi sambil mengajak kami minum air zam-zam.  "Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.  Limpahkan kami dengan ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan ubat penawar segala penyakit."  Nikmatnya air zam-zam menyejukkan tekak hingga ke hati, hilang haus dahaga dan seluruh tubuh merasa segar. 

Kemudian Ustaz Mahmud terus membawa kami ke Bukit Safa untuk mengerjakan Sai'e Umrah, yang bermula di Bukit Safa.  Kami berjalan ke Bukit Marwah.  Berulang alik sebanyak 7 kali antara Safa dan Marwah dan berakhir di sana.  Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebagaian dari lambang-lambang kebesaran Allah.

AKU BERLINDUNG DENGANMU

"Allahuakbar, Allahuakbar ... Allah Maha besar, Allah Maha Besar, dengan segala kebesarannya.  Segala puji bagi Allah Yang Maha Agung dengan segala pujianNya yang tidak terhingga.  Maha Suci Allah dengan pujian Yang Maha Mulia di waktu pagi dan petang.  Bersujud dan bertasbihlah padaNya sepanjang malam.  Dialah yang menghidupkan dan mematikan.  Dan Dia adalah Maha Hidup, Kekal Tiada Mati, dan Tiada Luput untuk selama-lamanya.  Hanya di tanganNyalah terletak kebajikan dan kepadaNyalah tempat kembali, dan hanya Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Sememangnya menghayati doa-doa yang tersurat membuat kita terasa dekat dengan Allah Sang Pencipta.  Terakhir sekali Ustaz Mahmud meminta kami, sama-sama membaca doa ketika bercukur atau bergunting rambut untuk bertahlul.  "Allahuakbar, Allahuakbar.  Allah Yang Maha Besar,  Allah Maha Besar, Ya Allah, Ya Tuhanku.  Inilah hujung rambutku di tanganMu.  Maka jadikanlah tiap-tiap sehelai rambut itu cahaya bagiku pada hari kiamat.  Ampunkanlah dosaku, wahai Tuhan Yang Amat Luas Pengampunan, Amin."

"Ya Allah sesungguhnya Engkau telah berfirman dalam Al QuranMu, berdoalah kepadaku, nescaya akan ku perkenankan bagimu.  Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dari segala yang pengasih.  Janganlah Engkau cabut hidayah dari hatiku setelah Engkau memberikan petunjuk kepadaku.  Kurniakanlah aku Rahmat dari sisiMu.  Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.  Aku berlindung denganMu dari seksa kubur.  Wahai Allah, aku berlindung deganMu dari kekufuran dan kefakiran.  Aku berlindung dengan keredhaanMu dan keampunanMu.  Tidaklah aku berupaya untuk menghitung segala pujian kepadaMU.  BagiMu segala puji-pujian sehingga Engkau redha akan daku."  Selesai, sempurnalah sudah ibadah umrah kami yang dibimbing oleh Ustaz Mahmud.  Mudah-mudahan diterima oleh Allah SWT.  Fikiran setenang-tenangnya.

Keesokan hari, Aini menyatakan hasratnya ingin bersendirian berulang alik masuk ke Masjidil Haram menunaikan solat fardu Zuhur, Asar dan beriktikaf di dalam Masjid waktu Maghrib hingga Isyak.  "Tak payahlah kita bersaing-saing, tunggu-menunggu, nanti lewat masuk masjid.  Lagipun masing-masing dah tau pintu masuk, taklah bimbang takut sesat.  Sebaik-baiknya kita masuk masjid awal-awal sebelum azan, lebih selesa dan tak berebut-rebut cari tempat duduk," katanya mengingatkan kawan-kawan semua.

 "8 malam kita berada di tanah suci Mekah ini, apa agaknya mengesankan hati?" tanya BAM ingin tahu.  Aini merenung BAM, wajahnya tenang, lalu berkata; "Kak Bayah tau tak, boleh dikatakan hari-hari Ani menangis ..., berdoa, menangis ... berdoa menangis ... menangis sepuas-puasnya.  Tiap-tiap hari Ani bercerita dan mengadu kepada Allah.  Macam-macam kisah suka duka yang terkandung dalam hidup Ani, yang kadangkala tak tertanggung nak memikulnya,  Iyelah dalam hidup ini tidaklah sentiasa gembira dan bahagia, kadangkala ditimpa bencana, difitnah di hasad dengki dan macam-macam ujian.  Ani memohon kepada Allah, kehidupan yang aman tenteram, hindari dari fitnah dan hasad dengki manusia.  Ani mengadu juga hidup Ani sunyi dan sepi."

"Minta dipertemukan jodoh tak?" usik BAM.  Ani terus tertawa besar dan menjawab, "Dah tentulah Ani dipertemukan jodoh dengan suami yang beriman, yang mampu membimbing Ani ke syurga.  Paling penting orangnya penyayang dan punya perasaan belas kasihan terhadap perempuan.  Anak bujang Ani satu-satunya itu juga Ani doakan segala yang terbaik untuknya.  Ani memohon kepada Allah supaya Aliff menjadi anak yang soleh dan kuat agama.  Serta dijodohkan dengan isteri yang solehah yang setia mencinta dan menyayanginya hingga ke akhir hayat," itulah pengharapan Aini.

Memang berat hati nak meninggalkan Mekah, negeri yang paling dicintai Allah SWT.  Aini mengungkapkan perasaanya dan kesyukuran dapat mengerjakan umrah dan haji.  "Sesungguhnya kenangan yang paling indah dan paling nikmat dalam hidup Sharifah Aini ialah dirinya dapat menjejakkan kaki ke muka bumi Mekah dan Madinah.  Alhamdulillah ...!"  Kini Sharifah Aini telahpun meninggalkan dunia yang fana ini buat selama-lamanya.  Yang tinggal hanyalah kenangan.

Semoga rohmu dicucuri rahmat.  Al Fatihah!

Bagaikan dunia rasa sepi sejak dia pergi.  Teringat lagi di malam kematiannya, hujan turun, udara sejuk begitu redup.  Hati jadi sayu mengiringi pemergiannya ke alam baqa.

Artikel lain yang berkaitan (kembali ke Bahagian Pertama):

  Sharifah Aini Demam Nak Masuk Mekah (URTV Edisi 870, 115 Oktober 2014)