pohon doa panggilan terakhir

'Abadi Dalam Kenangan' oleh Bahyah Mahmood  (URTV Edisi 867, 15–31 Ogos 2014)

SHARIFAH AINI

Sudah tiada lagi

Di dunia yang fana ini

Akhirnya dia pergi

Setelah bertarung dengan 3 penyakit serentak

Bermula dengan RADANG PARU-PARU,

JANGKITAN KUMAN DALAM PARU-PARU,

DAN VIRUS H1N1

Hampir setahun dia bertarung

Melawan kesemua penyakit ini

Namun tiada terlawan

Allah SWT lebih menyayanginya

Al Fatihah … !!

Semoga kau ditempatkan di Syurga.

Masih lagi BAM terdengar-dengar suaranya yang lemah di telefon memberitahu, “Ani masuk hospital lagi hari ini, doakan Ani ye Kak Bayah?"

"Kak Bayah sentiasa doakan Ani.  Nanti Kak Bayah datang tengok Ani, di tempat biasa Hospital Damansara?"

"Kak Bayah usahlah datang selalu sangat, banyak-banyak doakan Ani dah sihat cukup."  Kedengaran suaranya tidak seriang selalu.

Memohon doa untuk kesihatannya memang sentiasa bermain dibibir Datuk Sharifah Aini setiap kali bertemu.   Seingat saya, sejak dua tahun kebelakangan ini Aini tak henti-henti keluar masuk hospital.  Pusat Perubatan Pakar Damansara itu sudah menjadi rumah keduanya. 

Tapi siapa sangka, dua minggu terakhir bulan Jun lalu hingga minggu pertama bulan Julai menunjukkan tanda-tanda dia akan meninggalkan dunia yang fana ini.  Hanya dalam masa seminggu dia menelofon saya supaya mendoakannya, supaya dia pulang ke rumah pada hari Sabtu.  Dan pada hari Isnin (selang dua hari), terus masuk ICU dalam keadaan koma.  Rupanya, di sinilah perjalanan akhir hidupnya di alam dunia. 

Bila dah masuk ICU dalam keadaan koma, pejam mata tak buka-buka lagi, membuatkan semua orang terutama keluarga dan teman-teman rapat resah gelisah.  Terasa begitu cepat dia pergi dan tak akan kembali lagi.  Kita semua kehilangannya.

Mengidam Mee Rebus Singapura dan Bingka Pisang

Beberapa minggu sebelum suaranya tersekat-sekat dan nafasnya tercungap-cungap, arwah Sharifah Aini mengidam nak makan mi rebus Singapura.  "Aini ni teringin sangat nak makan mi rebus Singapura.  Boleh tak Kah Bayah masakkan untuk Ani?”  "Boleh aje, no hal lah", jawab BAM.  "Bila dah siap masak, telefon, Aini akan hantar orang mengambilnya."

Kemudian merengek lagi, nak makan bingka pisang pulak.  Kali ini BAM hantar sendiri ke Hospital Pakar Damansara yang bagaikan rumah keduanya di situ.  Dapat ‘Bingka Pisang’, dia terus potong dan makan beberapa keping.  Suka tengok dia makan.  Dia memang 'suka makan’.

Dalam kesibukan menyiapkan juadah-juadah hari raya lagilah saya teringatkan dia.  Disuruhnya BAM masak lauk ayam masak merah lebih-lebih, Ani hendak untuk rumahnya.  Ani nak ketupat dan nak serunding, pintanya. 

Bagaikan dunia rasa sepi sejak dia pergi.  Teringat lagi di malam kematiannya, hujan turun, udara sejuk begitu redup.  Hati jadi sayu mengiringi pemergiannya ke alam baqa.

Artikel lain yang berkaitan (kembali ke Bahagian Pertama):

  Sharifah Aini Bagaikan Tahu Kematian Semakin Dekat (URTV Edisi 866, 01–15 Ogos 2014)