TIADA GALANG GANTI

oleh Ramlah Zainal  (Metro Ahad: RAP/RAPXTRA – 9 Julai 2023)

Selepas sembilan tahun pemergian Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Program Pengurusan Seni Kreatif, Pusat Pengajian Seni Liberal, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi Mara (UiTM), menganjurkan wacana seni, Harum Dalam Kenangan: Tribute buatnya.  Program itu berlangsung meriah di Ruang Eksperimental FiTA (REF), Kampus Puncak Perdana Cawangan Selangor baru-baru ini.

Apa yang menarik, barisan panel yang ditampilkan dalam program ini turut berkongsi pengalaman menarik sepanjang bekerjasama dengan arwah Sharifah Aini ketika hayatnya dulu.  Barisan panel terbabit ialah komposer terkenal Fauzi Marzuki, bekas wartawan Saodah Ismail dan bekas Pegawai Perhubungan Awam (PRO) syarikat rakaman EMI Music Malaysia (EMI) Norisah Sulaiman.  Moderator program ialah Ketua Pusat Pengajian Seni Liberal, Dr Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin.

Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan arwah Sharifah Aini, Fauzi berkata, dia menyertai syarikat rakaman EMI pada 1983 dan ketika itu, arwah sudah pun bernaung di bawah pengurusan mereka.  "Saya hanya menyambung tugas Pegawai Perhubungan Awam (PRO) EMI, Frankie Chia dan komposer serta penggubah lagu, Tan Sri Dr Ahmad Nawab ketika itu.  Terus terang, tiada penyanyi yang boleh menandingi arwah Sharifah Aini kerana dia malar segar dan kita hanya ada 'the one & only' Sharifah Aini.  Penyanyi bukan sekadar menyanyi, tetapi perlu ada pelbagai kelebihan seperti suara, rupa dan identiti," katanya.

Ditanya kenapa Sharifah Aini lebih menonjol berbanding artis EMI lain ketika itu, Fauzi berkata, arwah adalah penyanyi yang bagus.  "Selain ada PRO, beliau juga banyak mempromosikan diri sendiri kepada peminat.  Pada masa sama, ada peminat setia yang sentiasa menyokong untuk membeli albumnya dan dia juga pandai menjaga mereka.  Arwah Sharifah Aini juga akan muncul dengan dua atau tiga album setahun dan semua albumnya habis terjual.  Arwah memang penyanyi yang sangat popular pada zamannya," katanya.

Bagi Saodah yang banyak bekerjasama dengan arwah Sharifah Aini, dia mula mendengar suara penyanyi malar segar itu ketika masih di bangku sekolah di Singapura pada penghujung 1968.  "Saya asyik teringat kemerduan suara arwah ketika menyampaikan lagu 'Tiga Malam' di radio dan dia juga menang pertandingan Video Talentime di Singapura ketika itu.  Apabila saya mula bekerja sebagai wartawan dengan Majalah Penghibur pada 1981 dan akhbar Berita Harian pada 1982, saya memang teruja bila dapat bertemu dengannya.  Sebagai penyanyi keturunan Arab, suaranya memang lunak dan sebutannya jelas," katanya.

Ditanya keperibadian arwah Sharifah Aini pula, kata Saodah, arwah seorang yang senang didekati dan tiada jurang dengan wartawan.  Kata Saodah lagi, arwah Sharifah Aini juga seorang artis yang pemurah.  Mengulas kelebihan artis lama yang mampu bertahan sampai sekarang, kata Saodah, artis pada zaman dulu tidak 'bersepah' seperti sekarang.  "Kita tidak akan jumpa artis dulu di Starbucks atau pusat beli-belah.  Mereka bukannya sombong sebaliknya apabila sudah pilih jalan untuk menjadi artis, mereka sudah tahu tempat mereka.  Peminat akan bertemu mereka hanya di konsert.  Artis lama juga menjaga penampilan dan maruah diri. Mereka tidak merapu dengan maki hamun orang di Facebook seperti artis sekarang," katanya.

Tidak ketinggalan, bekas PRO EMI, Norisah pula mengakui dia berasa seperti mimpi yang menjadi nyata bila dapat bekerjasama dengan nama besar seperti arwah Sharifah Aini ketika itu.  Saya menyertai syarikat rakaman EMI selepas menamatkan pengajian di UiTM pada 1980.  Saya menjadi PRO di EMI yang beroperasi di Lorong Haji Taib ketika itu dengan gaji sebanyak RM500.  Saya berasa seperti mimpi yang menjadi kenyataan bila dapat bekerjasama dengan arwah Sharifah Aini kerana dia memang penyanyi popular ketika itu," katanya.

Bercerita pengalaman dengan arwah Sharifah Aini, kata Norisah, arwah adalah artis yang cukup disegani ramai.  "Arwah Sharifah Aini seorang yang suka membantu dan memudahkan urusan semua.  Apabila arwah Sharifah Aini dikaitkan dengan isu sensasi dan kes mahkamah, arwah mampu dan bijak mengendalikan pihak media dengan baik.  Ketika ada wartawan nak marah, tetapi apabila bertemu dengannya terus tak jadi," katanya.  Selain itu, kata Norisah, arwah Sharifah Aini juga sangat rapat dengan peminat setianya.

Sementara itu, moderator program, Dr Ahmad Kamal berkata, program itu diadakan bagi menggalakkan orang ramai khususnya pelajar dalam industri seni kreatif untuk menghargai bakat artis terdahulu seperti arwah Sharifah Aini yang bakatnya dicungkil daripada pertandingan nyanyian secara profesional.  "Pada masa kini, golongan muda lebih senang mencari hiburan melalui aplikasi di media sosial daripada mendengar lagu daripada penyanyi terkenal seperti arwah Sharifah Aini.  Justeru, penghargaan kepada bakat artis lama perlu dilakukan dalam program apresiasi seperti ini," katanya.

Selain wacana, antara aktiviti diadakan ialah pameran 'Down Memory Lane Of Sharifah Aini' yang membabitkan biodata, album, artikel dan gambar.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini, The Right Medicine For Nostalgia (New Sunday Times – 9 July 2023)