'TAK SAMPAI HATI SINGKIR PESERTA'

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed  (Berita Minggu: B*Pop, 6 Februari 2011)

Sharifah Aini akui ramai peserta uji bakat Mentor 5, berpotensi jadi penyanyi rakaman

Beliau pernah melalui pengalaman sukar apabila terpaksa melalui sesi uji bakat sebelum bergelar artis rakaman.  Bukan sekali, tetapi beberapa kali, malah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah dulunya pernah dilabelkan sebagai ‘penyanyi peraduan’ kerana suka mencuba nasib dalam apa juga pertandingan nyanyian.  Hati Kak Pah cukup tersentuh, malah sepanjang mengadakan sesi uji bakat Mentor bagi musim kelima (Mentor 5) bagi mencari protégé pada Ahad lalu, penyanyi tersohor itu sering menitiskan air mata.  Cukup berat buatnya menyatakan `maaf, anda tidak terpilih’ kerana 101 peserta yang melalui uji bakat dilihat berbakat besar dan boleh menyanyi dengan baik.

Selain Kak Pah, Mentor 5 menampilkan Edry Abdul Halim, Erra Fazira, Rahim Maarof, Afdlin Shauki dan Noh Hujan sebagai mentor yang bakal membimbing protégé masing-masing.  Mentor 5 akan mula disiarkan pada 13 Februari ini di TV3. Ikuti luahan hati Kak Pah.

“Saya tidak terkilan biarpun tidak ramai peserta yang hadir.  Yang penting, bakat.  Saya terharu, 95 peratus peserta yang hadir boleh menyampaikan pelbagai genre lagu dengan baik.  Mintalah apa saja rentak lagu sama ada pop, balada, ghazal, asli, rock dan macam-macam lagi, mereka mampu melakukannya.  Saya tidak mendengar satu atau dua rangkap, saya dengar mereka menyanyi sampai habis.  Bukan satu atau dua lagu, malah ada antaranya kena menyanyi sampai empat lagu.  Saya puji usaha mereka, kebanyakannya datang dengan bersiap sedia, malah menyediakan minus one sendiri.  Saya lihat tidak seorang pun peserta datang hanya suka-suka atau mahu mencuba nasib tanpa melakukan persediaan.  Semuanya mengimpikan untuk bergelar seorang penyanyi.

"Hanya seorang peserta yang kejang dan menggeletar ketika mahu menyanyi.  Itupun disebabkan terlalu gementar hingga suara tidak keluar.  Bagaimanapun, saya tetap memberi peluang kepadanya, minta dia berehat seketika untuk menghilangkan ketakutan.  Saya faham setiap peserta yang datang meletakkan harapan tinggi, saya sudah merasai saat-saat itu dulu.  Saya masih ingat bagaimana saya bersusah payah menyertai uji bakat pertandingan nyanyian.  Dulu, untuk menjadi penyanyi bukan semudah hari ini, setiap peserta yang menyertai pertandingan melalui ujian menyanyi bersama kumpulan pengiring secara live kerana ketika itu, belum ada minus one.  Hari ini, dengan teknologi yang semakin canggih, sesiapapun boleh menyanyi dengan hanya menyediakan minus one lagu yang disukai.

"Saya sedih teramat sangat, malah ketika uji bakat berlangsung, air mata saya tidak henti-henti mengalir sehingga mata menjadi bengkak.  Saya tidak sampai hati nak menyingkirkan mereka, malah nak mengeluarkan perkataan `maaf, anda tidak terpilih’ pun saya tidak sanggup.  Pada hari uji bakat itu, saya tidak membuat apa-apa keputusan.  Saya tahu perasaan mereka apabila tidak dipilih.  Ada yang datang dari jauh dengan menaiki bas dan tidak tidur malam, sudah tentu mereka menyimpan harapan yang besar.  Saya sedih kerana kebanyakannya mempunyai suara yang lunak dan boleh diketengahkan sebagai penyanyi," katanya.

Akuinya, malam itu, beliau tidak dapat melelapkan mata.  Beliau terpaksa fikir panjang dan membuat keputusan tetap sebelum memilih membuat pilihan.  "Saya tidak mahu membuat pilihan yang salah.  Saya berjanji akan memanggil semula peserta yang hadir uji bakat pada hari itu untuk makan malam.  Walaupun mereka tidak terpilih, tetapi saya mahu mendekati dan berkongsi pengalaman sepanjang lebih empat dekad bergelar penyanyi.

"Saya berhasrat mendidik mereka yang berminat menjadi penyanyi latar untuk mengiringi setiap persembahan dan konsert saya.  Saya akui tidak berdepan apa-apa masalah ketika mengadakan uji bakat, cuma masalah saya, bagaimana nak menolak harapan peserta.  Saya pula jadi emosional ketika itu.  Saya tidak sedar, malah tidak sedikit pun rasa penat walaupun menunjukkan jam 1.30 pagi.  Disebabkan terlalu memberikan tumpuan dan leka mendengar suara peserta, saya tidak sedar masa berlalu begitu cepat berlalu.  Saya gembira kerana Ajai dan pembantu saya, Eja banyak membantu, kalau ikutkan saya memang buntu nak memilih," katanya.

Ajak peserta jadi penyanyi undangan

Tanpa berselindung, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah mengakui sepanjang sehari suntuk mengadakan uji bakat tempoh hari, beliau sudah menemui dua peserta yang berpotensi diketengahkan sebagai penyanyi.  Hari ini, masalah lain pula yang timbul.  Saya rasa serba salah nak menolak salah seorang daripada mereka.  Saya tersepit.Tidak dinafikan, saya agak bertuah kerana mendapat peserta yang berbakat besar, ada mentor tidak dapat mencari peserta dikehendaki.  Itu lagi masalah besar.

"Walaupun sudah memilih, seorang peserta yang tidak terpilih tetap akan diberi peluang.  Peserta ini akan menjadi penyanyi undangan saya ketika mengadakan persembahan atau konsert.  Saya akan mengundangnya menyanyi bagi membuka tirai persembahan.  Dia tidak akan diketepikan walaupun tidak terpilih memasuki Mentor 5," katanya.  Kak Pah juga berkata, beliau akan membimbing protégénya seperti mana ibu memberi tunjuk ajar kepada seorang anak.  Menjadi seorang Mentor adalah pengalaman baru buatnya, bagaimanapun dia tidak pernah rasa terbeban atau bimbang dengan cabaran yang akan dilaluinya.

"Saya akan lentur anak didik saya sebaik mungkin.  Saya akan menggunakan pengalaman selama lebih 40 tahun bergelar penyanyi untuk dicurahkan kepada protégé. Saya bukannya memegang tanggungjawab selaku mentor, malah lebih daripada itu, saya juga akan melindungi protégé saya.

“Disebabkan itulah, saya meletakkan syarat memilih peserta wanita.  Saya bukan tidak mempercayai bakat peserta lelaki, tetapi ada baiknya, saya tidak mencetuskan sebarang dan kontroversi di kemudian hari.  Saya, seorang yang bersifat keibuan dan penyayang, saya pastinya akan memeluk dan mencium anak didik saya ketika berdepan dengan tekanan.  Sudah tentu akan menimbulkan fitnah dan kata-kata kurang menyenangkan apabila saya berkelakuan begitu terhadap peserta lelaki.  Sedangkan mungkin saya tidak berniat apa-apa, cuma kurang manis.  Selain itu, dengan sejarah hitam dulu, tentunya musuh saya akan terus menaburkan fitnah.  Saya tidak mahu protégé saya turut terkait dengan fitnah.  Mereka terlalu baru untuk memahami liku-liku kehidupan seorang artis.  Sudah pasti, tumpuan mereka pada Mentor 5 akan terganggu,” akuinya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kak Pah Tidak Tolak Kemampuan Lelaki (Harian Metro – Selasa, 1 Februari 2011)

  Cari Kualiti Bukan Kuantiti (Berita Harian – Selasa, 1 Februari 2011)