CARI KUALITI, BUKAN KUANTITI

oleh Serimah Mohd Sallehuddin  (Berita Harian: Selasa, 1 Februari 2011)

Rata-rata peserta yang hadir pada sesi uji bakat Mentor bersama Kak Pah boleh menyanyi

Suasana uji bakat Mentor bagi mencari protege Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, mungkin sedikit hambar jika dilihat dari segi kehadiran peserta, berbanding lima mentor lain yang berlangsung sebelum ini.  Namun kuantiti peserta nyata bukanlah kayu pengukur kepada kejayaan perjalanan sesebuah sesi penilaian seperti ini.  Sebaliknya, kualiti vokal peserta adalah perkara yang diburu setiap mentor.  Meskipun uji bakat Datuk Sharifah Aini yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, lengang apabila dihadiri sekitar 50 orang saja, tetapi bakat yang dimiliki kebanyakan mereka sudah cukup membuatkan biduanita yang lebih mesra disapa Kak Pah itu pening kepala.

Dibantu oleh Ajai dan pembantunya Eja, Kak Pah melalui saat sukar untuk menentukan siapakah yang seharusnya dipilih menjadi protege.  Kebuntuan penyanyi itu turut dirasai wakil media yang hadir membuat liputan.  Suasana itu cukup berbeza berbanding sesi uji bakat bersama mentor lain, apabila kebanyakan peserta yang datang lebih kepada sekadar suka-suka.  Bagaimanapun pada sesi uji bakat bersama Kak Pah, kebanyakan peserta yang datang nyata boleh menyanyi dengan baik.

Wakil media yang berpeluang mengikuti sesi uji bakat selama hampir satu jam tidak dapat menafikan rata-rata peserta yang hadir memiliki vokal yang bagus.  Daripada kira-kira 10 peserta yang sempat diperhatikan, hanya dua atau tiga saja yang kurang menyerlah namun bakat mereka masih boleh digilap lagi.  Penyanyi itu ketika ditemui mengaku tidak kisah walaupun tidak sampai 100 peserta yang hadir, asalkan mereka berbakat.  Apatah lagi dia sendiri mahu mencari kualiti, bukannya kuantiti.  “Bagi saya angka tidak penting, sama juga seperti usia manusia.  Tiada apa yang perlu dibimbangkan apabila melihatkan tidak ramai yang muncul pada hari ini kerana itu bukan bermakna saya tidak akan menemui peserta yang baik.  Sebaliknya saya berasa amat bertuah kerana sejak pagi, kebanyakan mereka yang datang boleh menyanyi dengan baik sehingga saya sendiri berasa sangat bersalah apabila terpaksa menghampakan perasaan mereka, kerana hanya seorang yang akan dipilih,” katanya.

Faktor cuaca yang kurang baik sejak pagi dilihat sebagai antara faktor yang mempengaruhi kehadiran bakat baru ke sesi uji bakat terbabit.  Selain itu, kekuatan nama Sharifah Aini sebagai seorang penyanyi yang memiliki nama besar dalam industri seni mungkin turut membantutkan hasrat orang ramai, barangkali dihimpit rasa segan untuk berdepan penghibur ternama itu.  “Saya tidak dapat menolak kemungkinan mereka malu berdepan dengan saya.  Mungkin juga kerana saya meletakkan syarat mahukan peserta wanita saja, ia turut mempengaruhi jumlah peserta yang datang hari ini.  Saya tidak mahu bersikap hipokrit.  Lebih baik saya berterus terang mengenai kriteria peserta yang diingini.  Sebelum ini ramai peserta Mentor adalah lelaki, justeru saya mahu membuka peluang kepada golongan wanita pula.  Lagipun bekerja dengan wanita tidak memerlukan saya menjaga batas pergaulan.  Saya boleh memeluk mereka atau memegang mereka sesuka hati.  Jika berbuat begitu pada protégé lelaki, ia boleh menimbulkan fitnah pula nanti.  Saya tidak mahu dituduh sukakan lelaki muda.  Pada usia begini saya tidak perlukan semua itu untuk menaikkan nama,” kata Kak Pah yang berjanji akan memberikan sepenuh komitmen kepada program itu.

Inginkan penyanyi serba boleh

Sebagai seorang penyanyi yang sudah 42 tahun berkecimpung dalam bidang seni, biduanita ini berkata, dia tidak memerlukan sebuah pasukan untuk membantu membentuk protégénya nanti.  Sebaliknya penyanyi itu percaya, pengalaman yang ditempuh sepanjang bergelar anak seni akan digunakan sepenuhnya dalam membimbing anak didiknya nanti.  Walau bagaimanapun, disebabkan dirinya sendiri masih lagi terikat dengan komitmen nyanyian,  Kak Pah akan meminta bantuan pembantunya, Eja, untuk sama-sama membentuk protégénya nanti.

"Saya akan cuba lapangkan masa selama dua bulan ini untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada program ini.  Setakat ini, saya tidak melantik sesiapa untuk membantu kecuali Eja, pembantu saya.  Saya yakin pengalaman yang dikutip sepanjang 42 tahun menyanyi boleh dijadikan rujukan untuk membimbing protégé saya nanti.  Saya akan tekankan kepada protege saya berkaitan vokal, penampilan dan juga komunikasi.  Selain itu, saya juga mahukan protégé saya menjadi penyanyi yang serba boleh.  Saya tidak mahu mereka boleh menyanyikan satu jenis lagu saja, sebaliknya mereka haruslah berkemampuan menyanyikan apa saja jenis lagu apabila diminta.  Atas alasan itu, pada sesi uji bakat hari ini, saya minta mereka menyanyikan dua atau tiga lagu supaya senang untuk saya membuat penilaian,” katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Tak Sampai Hati Singkir Peserta (Berita Minggu: B*Pop – 6 Februari 2011)

  Kak Pah Tidak Tolak Kemampuan Lelaki (Harian Metro – Selasa, 1 Februari 2011)