TIADA KLON oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Harian: Selasa, 22 Mei 2007) |
Janjinya terhadap penonton untuk memberikan yang terbaik nyata tertunai sudah. Malah, dari riak wajah mereka yang hadir pada majlis sambutan Hari Ibu yang menampilkan Datuk Sharifah Aini sebagai tarikan utama malam Jumaat lalu sudah cukup membayangkan betapa mereka terhibur dengan persembahan penyanyi ini. Bagi mereka yang berpeluang menyaksikan persembahan penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu Seri Dewi Malam ini pastinya bersetuju bahawa sehingga kini, taring penyanyi dari selatan tanah air ini masih belum hilang bisanya.
Masih terngiang-ngiang di telinga alunan suara lemak merdunya kala mendendangkan irama Kasihnya Ibu. Gemersik suara ditambah penghayatannya ketika menyebut satu demi satu bait lirik membuatkan seluruh isi Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, terpesona dan asyik menyaksikan persembahannya. Biarpun kemunculannya hanya ketika jam menunjukkan angka 10 malam, namun itu bukanlah penyebab untuk lebih 700 peminat angkat kaki. Kerana setia dan minat, mereka sanggup menunggu.
Barangkali perasaan rindu yang
meluap-luap untuk menyaksikan biduanita ini beraksi membuatkan mereka
terus melekat di kerusi. Sementara menantikan kemunculan penyanyi
malar segar ini, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian serta
nyanyian dari penyanyi dan pelakon filem Adik Manja, Dharma Harun Al
Rashid. Sebaik saja pengacara malam itu, Ogy Datuk Ahmad Daud
mengumumkan kemunculan Kak
Lagu Ibu yang pernah dipopularkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dipilih sebagai lagu pembuka tirai sebelum menghiburkan tetamu dengan lagu berhantunya, Seri Dewi Malam dan Hapuslah Air Matamu. Barangkali ia juga sebagai hadiah untuk ibunya, Sharifah Noor Syed Ahmad, 72, yang didatangkan khas dari Singapura. Seperkara mengenai biduanita tersohor ini yang membuatkan peminat menyukainya adalah dia cukup bijak berkomunikasi. Ada saja cerita lucu yang ingin dikongsi bersama penonton terpacul dari mulutnya. Malam itu, sempat juga Kak Pah berlawak jenaka dengan penonton mengenai perihal wanita yang semakin meningkat usianya, kisah peminat malah pentas itu juga menjadi tempat untuknya mengimbas nostalgia lalu.
Bagaimanapun, sistem bunyi yang bermasalah sedikit sebanyak mencacatkan persembahan Kak Pah malam itu. Ada kalanya nyanyian Kak Pah terganggu dengan bunyi bising gara-gara mikrofon yang gagal berfungsi dengan baik. Namun, perkara itu dapat diatasi pada pertengahan persembahan. Apapun yang berlaku, sebagai penyanyi Kak Pah berjaya melunaskan tanggungjawabnya dengan baik dan meninggalkan tetamu malam itu dengan penuh rasa kepuasan serta perasaan rindu yang terubat. Artikel lain yang berkaitan:
|