MANA MUNGKIN ADANYA PENGGANTI KAK PAH oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Berita Minggu: Bi-Pop, 27 Mei 2007) |
Acara dimulai dengan kemunculan penyanyi dan pelakon filem Adik Manja, Dharma Harun Al-Rashid. Dia menyampaikan tiga lagu termasuk lagu Broery Marantika, Setulus Cintamu, serta sebuah karya baru yang dipetik daripada album ketiganya, Cinta Pertama. Menghampiri 10.15 malam, pengacara pilihan Kak Pah, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) mengumumkan kemunculan penyanyi itu. Tepukan gemuruh bergema di setiap sudut dan melangkah masuklah seorang diva yang anggun dengan busana hitam putih rekaan Datuk Tom Abang Saufi. Karya P Ramlee, Ibu, dipilih sebagai pembuka tirai sebelum Kak Pah membuai perasaan dengan Seri Dewi Malam serta Hapuslah Air Matamu. Lagu istimewa itu juga menjadi hadiah untuk ibunya, Sharifah Noor Syed Ahmad, 72, yang turut diterbangkan khas dari Singapura. Sepanjang menyaksikan persembahan itu dapat diperhatikan perasaan sedih dan ceria sama-sama dikongsi antara Kak Pah dan penonton. Apabila Kak Pah berjenaka, mereka akan tertawa dan tatkala dia sebak, penonton turut sama merasai kedukaan itu. Itulah kelebihan yang ada pada Sharifah Aini kerana dia sangat bijak berceloteh dengan isu yang relevan. "Saya juga seperti anda, pernah melalui hari susah. Saya sedar semua itu berlaku kerana Tuhan sentiasa hendak menduga umatnya. Saya tahu dan anda semua tahu, apabila diduga bererti Tuhan sebenarnya sayangkan kita," kata Kak Pah. Sebagai ibu, Kak Pah akui dia sentiasa memikirkan perasaan anaknya, Aliff Omar yang masih mengikuti pengajian agama di Madinah. Sewaktu saya berdepan dengan dugaan yang hebat, saya menghubungi Aliff dan berpesan supaya dia tidak membuka Internet atau mendengar cerita karut yang disebarkan. Saya bersyukur Aliff dapat menerimanya dengan tenang. Aliff juga tidak pernah ketinggalan berdoa di Masjid Nabawi sehinggalah kontroversi saya selesai. Paling sedih, Aliff turut mengirimkan buku Don't Be Sad kepada saya. Dia meminta saya baca buku itu kerana dia mahu saya tahu bahawa setiap dugaan yang Allah turunkan kepada kita ada rahmat di sebaliknya," cerita Kak Pah sambil mengesat air mata.
Penghibur yang bakal muncul dengan album solo terbaru tidak lama lagi itu turut menyampaikan lagu Mama, Wulan serta Mawar Putih Untuk Mama dan Bunga Tanjung. Beliau tidak lupa menyampaikan lagu Kau Pergi Tanpa Pesan dan Irama Cintaku dengan penuh ceria. Selesai persembahan pada larut malam, semua penonton masih enggan berganjak dari dewan itu. Lalu Kak Pah menghadiahkan lagu Mengapa Tiada Maaf sebagai penutup tirai. Selain peminat pelbagai lapisan usia, turut hadir menyaksikan persembahan Kak Pah ialah Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, Tengku Puteri Zahariah Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah (Ku Yah), Datuk Sarimah Ahmad, pelakon veteran Norlia Ghani serta Raja Hamidah Raja Saat. Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail dan isterinya serta ramai editor akhbar dan majalah hiburan terkemuka tanah air. Artikel lain yang berkaitan:
|