SHARIFAH AINI MAKIN LIGAT

oleh Zul Husni Abdul Hamid  (Berita Minggu: Bi Pop, 13 Ogos 2000)

Biduanita legenda, Sharifah Aini terus mekar menghiasi persada seni tanahair.  Selepas muncul dengan album solo yang ke 72, Seribu Mawar, baru-baru ini, dia kini semakin ligat merencana perjalanan kerjayanya.  Kemunculannya dalam Konsert Istimewa ... Sharifah Aini bersama 40 pemuzik orkestra RTM di Dewam MPSA, Shah Alam membuktikan kehadirannya masih dinanti ramai.

Terbaru, dia bakal tampil dengan klip video, Seribu Mawar. Rakaman yang mendapat kerjasama penerbit Kuasatek Pictures itu dilakukan di beberapa lokasi menarik antaranya Bukti Fraser serta sekitar ibukota seperti di Lebuhraya Damansara dan Rawang.  Dan bagi menjayakan rakaman itu, Sharifah Aini mengorbankan masa tidurnya apabila terpaksa bertolak ke lokasi seawal jam 3 pagi semata-mata untuk mendapatkan sudut dan pemandangan indah sekitar pusat peranginan berkenaan.

"Lebih istimewa apabila Seribu Mawar ini berjaya menggabungkan dua pelakon hebat tanahair, Rosyam Nor dan Erma Fatima yang berlakon sebagai pasangan kekasih.  Ia berkisar mengenai penyanyi yang membawa diri bagi mengubat kekecewaan hatinya selepas berselisih faham dengan kekasih.  Sewaktu berhenti rehat di sebuah restoran, dia terpandang pasangan kekasih yang sedang menikmati hidangan dalam suasana romantis.  Keadaan itu mengundangnya mengimbas kembali saat bahagia bersama bekas kekasihnya," kata penyanyi yang sudah 31 tahun bernaung di bawah payung EMI (M) Sdn Bhd.

Klip video itu diarahkan oleh Badar yang sebelum ini berpengalaman mengarahkan klip video lagu 'Jentayu' nyanyian Nora dan Sheila Majid.  Bagi mendapatkan shot istimewa dari atas, EMI menyewa sebuah helikopter dengan bayaran RM5,000 sejam khas untuk merakamkan adegan Sharifah Aini sedang memandu dari hentian lebuhraya Damansara menuju ke Rawang.  "Untuk babak itu saja, saya terpaksa berulangalik selama 20 pusingan.  Jadi, bayangkanlah betapa penatnya saya.  Tapi, inilah pengorbanan untuk memberikan hanya yang terbaik buat peminat.  Saya bersyukur segalanya berjalan lancar walaupun banyak kenderaan yang berhenti menyaksikan penggambaran klip video itu.  Terima kasih kepada Plus yang banyak memberikan kerjasama.  "Nombor pendaftaran kereta 1000 Mawar yang digunakan juga menggambarkan betapa lagu itu begitu bermakna.  Nantikanlah tayangannya tidak lama lagi.  Harap ia dapat mengubat keresahan peminat yang sekian lama merindui aksi terbaru saya," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Dijadikan Macam Cher (URTV – 1 September 2000)

  Sharifah Aini Bawa Hati Ke Bukit Fraser (Mingguan Malaysia: Pancaindera – 13 Ogos, 2000)