KECEWA SIKAP 'LEPAS TANGAN' PENGARAH MUZIK

oleh Zul Husni Abdul Hamid  (Berita Harian: Jumaat, 11 April 2008)

Sharifah Aini Tangguh Album Terbaru Kerana Hasil Kerja Tak Berbaloi

Berat hatinya untuk berterus terang, malah semahu mungkin ingin saja dia melontarkan kenangan pahit itu pergi jauh dari sudut memorinya.  Biar ia terdasar jauh tanpa perlu lagi bertandang kerana mengingatinya hanya membuat dia berasa kecewa, hampa dan marah.  Lebih 30 tahun menyemai persahabatan, menanam kepercayaan bukan sedikit namun semua itu dihancurkan apabila amanah yang diserahkan bertukar menjadi bara yang membangkitkan amarah setiap kali mengenang peristiwa pahit itu.  "Mengingati kejadian itu membuat saya sakit hati.  Betapa wang boleh merubah nilai persahabatan, membuatkan saya cukup hampa kerana amanah yang diberikan kepada seseorang yang saya percayai akhirnya dikhianati," kata Datuk Sharifah Aini apabila pertanyaan mengenai penangguhan penerbitan album terbarunya diajukan.

Pada mulanya dia enggan membesarkan perkara itu, mahu membiarkan kejadian itu tersimpan kemas di sudut hatinya.  Namun, bimbang orang lain turut menjadi mangsa dia sedia berterus terang sebagai ingatan terutama kepada penyanyi muda yang barangkali sedang ghairah mencari populariti.  Wang RM83,000 yang dibayar lebur dengan hasil kerja yang tidak berbaloi, malah biduanita itu terpaksa menyusun semula projek album ke-99 yang mengangkat irama tradisional Melayu di bawah penyeliaan Pak Ngah.

"Saya berasa jauh hati, malah hampa dengan sikap pengarah muzik itu.  Saya berniat baik mahu membantunya yang sedang berdepan masalah kesihatan tetapi tak sangka kerana wang, dia menjadi gelap mata.  Saya kecewa dengan hasil kerjanya sedangkan saya membayarnya secara tunai ketika mengamanahkan kerja itu kepadanya sedangkan sebelum bersetuju mengambil projek itu, kami sudah berbincang dan saya sendiri turut memberitahunya apa yang saya inginkan dalam 17 lagu yang diberi nafas baru itu.  Tetapi, apabila melihat hasilnya saya menjadi sangat kecewa.  Betapa persahabatan selama 30 tahun itu tidak memberi apa-apa nilai kepadanya," katanya dalam nada tertahan.  Kesan kejadian itu, projek di bawah seliaan Maestro muzik tersohor, Ramli MS terpaksa ditangguhkan seketika malah ia turut merugikan bukan saja wang, bahkan masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan gubahan itu. 

"Saya terkilan kerana dia tidak menghargai keikhlasan saya yang cuba membantunya ketika dia berdepan dengan masalah kesihatan.  Saya bagaikan melepas anjing yang tersepit tetapi akhirnya saya sendiri menjadi mangsa.  Betapa wang boleh membuat manusia hilang pertimbangan hingga nilai persahabatan jatuh di tangga kedua," katanya yang masih terkesan dengan kejadian itu.  Enggan menoleh ke belakang, Sharifah Aini meneruskan langkah dan bersama Pak Ngah dan Ramli MS, dia akan memulakan kerja di studio rakaman sekitar pertengahan bulan ini.  Dalam kesibukan Ramli sebagai pengetua program realiti, Akademi Fantasia musim keenam (AF6), pengarah muzik itu bersedia mencari kesempatan untuk menyempurnakan projek yang sekian lama tertangguh ini.  "Satu pesanan saya kepada mereka yang sedang berjinak-jinak menerbitkan album sendiri.  Berhati-hati dalam memilih siapa yang patut bertanggungjawab untuk menguruskan penerbitan supaya kejadian seperti ini tidak berulang kembali," katanya.

Masyhurkan Puisi Tradisional, Syair Dan Gurindam

Masih terbayang raut wajah terharunya ketika diundang untuk merasmikan majlis pelancaran cakera padat, Puisi Tradisional: Syair dan Gurindam Jilid 1 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Ahad lalu.  Lebih 40 tahun dalam industri, Sharifah Aini akur peranan besar anak seni sepertinya untuk memelihara budaya bangsa dan membangunkan masyarakat.  Dengan penerbitan cakera padat seperti itu, katanya, ia secara tidak langsung mengangkat kebijaksanaan khazanah Melayu silam supaya tidak lapuk ditelan masa.  "Masa sudah berubah dan penerbitan seperti ini wajar diberikan sokongan dan diperhebatkan siri promosinya supaya khazanah kita terus dihargai, dihayati dan berkembang," katanya.

Tidak bersendirian kerana penerbitan multimedia yang dijual pada harga RM30 itu dan cakera padat berharga RM15 atau harga pakej RM35, ia turut dijayakan Aishah, Haziq (AF4), Farah (AF2), Bob (AF2) dan Tan Sri SM Salim.  Kata Sharifah Aini, pembabitan ramai penyanyi terkenal turut membantu memupuk serta mempertingkatkan kecintaan golongan muda terhadap puisi, syair dan gurindam agar tidak terhakis di jiwa bangsa Melayu.  "Saya sendiri akan terus memberikan sumbangan serta memainkan peranan untuk menghidupkan khazanah Melayu supaya dihargai dan disanjungi," katanya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Hati Ini Masih Lagi Terluka (Berita Minggu: Bi-Pop – 5 Julai 2009)

  Biarlah Saya Mengalah (Berita Harian – Rabu, 1 Julai 2009)