'HATI INI MASIH LAGI TERLUKA'

oleh Suzan Ahmad  (Berita Minggu: Bi-Pop, 5 Julai 2009)

"Saya pun manusia, ada maruah dan perasaan, ada sebab mengapa saya marah dan kecewa sangat apabila isu album baru kerap ditanya pihak media dan peminat.  Bukan satu perkara yang mudah bagi sesiapa pun untuk keluarkan RM83,000 begitu saja ... lebih-lebih lagi dalam keadaan kemelut ekonomi global ... sakit yang dirasa tak dapat digambarkan dengan kata-kata.  Seluruh keluarga dan rakan taulan berasa begitu kecewa dan berasakan saya sudah hilang akal kerana melepaskan wang berkenaan begitu saja, tanpa menyempurnakan kerja seperti termaktub dalam kontrak.  Dia (S Atan) boleh ambil RM83,000 itu, tapi saya tak mahu lihat lagi muka dia sampai bila-bila," kata Datuk Sharifah Aini yang mengakui begitu marah dan kecewa sangat kerana hasil yang diberikan tidak mengikut kontrak yang dipersetujui.

"Macam mana saya tidak marah jika saya hanya terima muzik dengan kualiti kerja yang menyedihkan; tanpa vokal saya; tanpa final mixing; tanpa suara enam penyanyi latar seperti dijanjikan; tanpa 40 strings yang sepatutnya melengkapkan album Warisan Melayu ini," katanya mengulas lanjut berhubung kemelutnya dengan komposer terkenal, S Atan.  Namun sempena ketibaan Rejab sebagai bulan ketujuh yang penuh karamah dalam kalendar Islam selain berita kejayaan anak tunggalnya, Aliff Omar yang lulus cemerlang dalam peperiksaan menjadi antara faktor utama, Sharifah Aini, mengambil keputusan untuk menghalalkan saja RM83,000 yang menjadi pertikaian antaranya dan komposer itu hingga mencetuskan kontroversi menerusi media massa lebih seminggu lalu.

"Kebetulan Khamis lalu, (2 Julai) adalah hari jadi saya, jadi dengan rasa reda biarpun agak berat, tak mengapalah.  Saya halalkan RM83,000 itu dunia dan akhirat," katanya sebagai usaha menamatkan perselisihan yang tercetus supaya isu berkenaan tidak lagi berlarutan.  Beliau mengadakan sidang media yang berlangsung di kediamannya di Petaling Jaya, Isnin lalu.  Biduanita Negara itu sedar semuanya yang berlaku sudah tersurat.  Dia mengakui secara spontan menyuarakan rasa hati dan perasaan yang kecewa serta marah menerusi media massa dengan cara S Atan atau nama sebenarnya Hashim Saad, 59, menyempurnakan rakaman album ke 99 berjudul Warisan Zaman.

"Apabila seorang bercakap, seorang lagi menjawab ... nampaknya memang tidak akan ada penghujungnya, kerana itulah juga saya perlu melakukan sesuatu untuk menyelesaikan kekusutan ini serta meletakkan titik noktah," katanya.  Sharifah Aini yang juga sibuk dengan persiapan untuk persembahan khas di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, pada 17 Julai ini, mengakui melakukan solat Istiqarah memohon petunjuk Allah sebelum membuat keputusan cukup mengejutkan itu. 

"Siapa yang tahu saya, akan kenal tindak tanduk dan perlakuan saya.  Kalau hitam, hitamlah kalau putih, putihlah.  Saya berpegang teguh pada pendirian dan prinsip hidup.  Saya tidak buat semua ini untuk Atan, bukan untuk peguam Atan, malah bukan untuk sesiapapun.  Saya hanya mahukan ketenangan dan memulakan sesuatu yang baru dalam hidup," tegasnya yang tidak mahu punya apa-apa kaitan langsung dengan S Atan selepas ini. 

Jelas sekali, Sharifah Aini atau Kak Pah tidak langsung meminta S Atan memohon maaf, jauh sekali dirinya akan membuat permohonan maaf terbuka seperti yang diminta menerusi peguam S Atan.  "Buat apa saya mohon maaf, sedangkan saya sebenarnya mangsa di sini, lagipun sejak peguam S Atan membuat kenyataan media tempoh hari, pihak saya belum menerima sebarang surat menuntut permohonan maaf secara terbuka," katanya yang mahu menutup buku dan mula memikirkan strategi baru bagi meneruskan projek album yang tertangguh.

Ditanya siapa yang bakal menggalas tugas bagi mengambil alih kerja-kerja pembikinan album, katanya setakat ini dia masih belum terfikir.  "Hati ini masih terluka, dan kepulangan Aliff dari Universiti Islam Madinah tidak lama lagi adalah ubat penyembuh luka terbaik buat saya," jelasnya lega.

Minggu lalu, S Atan menerusi peguamnya, Mohd Effendy Rosley memberi tempoh 14 hari kepada Sharifah Aini memohon maaf secara terbuka jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.  Ditanya tindakannya pula jika S Atan meneruskan hasratnya mengambil tindakan undang-undang, Sharifah Aini berkata, tindakan selanjutnya terpulanglah kepada S Atan sendiri.  Kemelut antara Kak Pah dan S Atan bermula apabila penyanyi itu membuat pendedahan menerusi media apabila sudah mengeluarkan wang RM83,000 untuk pembikinan album terbarunya tetapi mendakwa komposer itu tidak merakamkan muzik secara langsung seperti dijanjikan, sebaliknya menggunakan muzik program.

Artikel lain yang berkaitan:

  Biarlah Saya Mengalah (Berita Harian – Rabu, 1 Julai 2009)

  Kecewa Sikap 'Lepas Tangan' Pengarah Muzik (Berita Harian – Jumaat, 11 April 2008)