SHARIFAH AINI HADAPI JALAN SERIBU LIKU

(Varia Pop, 15 Mei 1980)

Di bidang seni suara, Sharifah Aini kini telah mencapai satu kedudukan paling tinggi dibandingkan dengan artis-artis lain.  Popularitinya begitu menonjol.  Suara yang lunak dan merdu itu mempersonakan.  Kelunakan suaranya itu ketika mengalunkan lagu 'Seri Dewi Malam' kira-kira 10 tahun lalu kini masih kekal, sehingga ke lagu 'One Way Ticket'nya yang popular dewasa ini.  Cuma perubahan yang terasa pada Sharifah perbezaan perawakannya.  Dulu dia seorang gadis yang kurus ramping, kini badannya sedikit gempal.  Kalau dulu Sharifah hanya terkenal sebagai penyanyi, tapi kini dia juga sudah mampu meletakkan dirinya sebagai salah seorang pelakon filem.

Dua buah filem yang dibintanginya 'Hapuslah Airmatamu' dan 'Sumber Ilhamku' telah menonjolkan bakat lakonannya.  Tapi adalah terlalu awal untuk meramalkan masa depannya sebagai pelakon filem.  Banyak cabaran yang harus dihadapinya, banyak liku-liku yang harus dilalui.  Sharifah juga terpaksa menghadapi persaingan dengan 'newcomer' yang tidak kurang handalnya seperti Azean Irdawaty, Fauziah Ahmad Daud, Christine Teoh dan beberapa orang lagi.

Sharifah juga sedar jalan untuk mencapai kejayaan di bidang lakonan filem adalah sukar.  Tapi itu tidak bererti dia mudah menyerah kalah.  "Fah tidak bermaksud untuk menandingi mana-mana pelakon.  Setiap pelakon lama dan baru masing-masing punyai keistimewaan tersendiri.  Mereka naik dengan cara mereka sendiri, dan Fah juga akan berusaha dengan cara Fah ..." katanya ketika ditanya mengenai kariernya dalam bidang pefileman.

Sharifah seorang yang pengkagum.  Dia kagum melihat lakonan Fauziah Ahmad Daud dalam filem 'Ceritaku Ceritamu'.  Fah tidak sedar airmata Fah bergenang semasa menyaksikan lakonan Ogy dalam 'Ceritaku Ceritamu'.  "Ogy punya bakat lakonan yang besar," pujinya.  Sharifah juga menkagumi lakonan Azean Irdawaty.  "Lakonan Azean dalam filem 'Esok Masih Ada' sungguh natural," katanya.  Begitu juga dengan Uji Rashid, Sharifah sendiri meramalkan Uji satu hari nanti akan mencapai taraf mutu lakonan yang tinggi.

Dalam kesibukannya sebagai penyanyi, Sharifah tidak mudah digulai dengan publisiti yang mengkhayalkan.  Setiap perkembangan artis-artis lain diikutinya.  Dengan itu dia sendiri dapat membuat penilaian sejauh mana pencapaian seseorang artis itu.  Dengan itu juga dia dapat mengukur pula pencapaian yang dicapainya oleh dirinya.  Bagaimana pula penilaian terhadap dirinya?  "Itu janganlah ditanya", kata Fah sambil tersenyum.  Katanya, yang layak untuk memberi penilaiannya ialah peminat dan penonton sendiri.

"Sebagai pelakon, tugas Fah menghidupan watak yang diserahkan oleh pengarah.  Apa yang terdaya, Fah akan terus mencuba.  Berjaya atau tidak, terpulanglah kepada peminat menentukannya", katanya.  Bagaimanapun Sharifah menegaskan bidang lakonan filem bukan cita-cita utamanya sekarang ini.  "Fah ini cuma pelakon filem, bukan 'bintang filem'," katanya sambil tersenyum.  Mungkin tidak lama lagi, Sharifah dijangka akan muncul  dalam sebuah filem bercorak muzikal.  Dia kemungkinan akan digandingkan dengan pasangannya dalam filem 'Sumber Ilhamku' iaitu Latiff Ibrahim yang telah membawa kejayaan sebagai 'Filem Light Drama Terbaik' di Festival Filem Malaysia April lalu.

Sementara di bidang seni suara, Sharifah kini sedang sibuk membuat rakaman untuk LP Inggerisnyta yang terbaru yang rakamannya dibuat di Studio EMI Singapura.  Dengan munculnya LP tersebut bererti penyanyi terkenal ini telah pun menghasilkan 3 album lagu-lagu Inggeris setakat ini.  Satu perkembangan yang sungguh menggalakkan bagi seorang penyanyi Melayu seperti Sharifah Aini.