SIAPA MARAH BILA SITI NURHALIZA & SHARIFAH AINI PULIH SILATURRAHIM?  (URTV, 1 Oktober 2010)

Kesemua artikel dikendalikan oleh Huzz kecuali 'Kita Tak Disuruh Bermusuh' Siti oleh Norzeha Kasbi

SELEPAS 6 TAHUN DIDAKWA TAK BERBAIK ... DATUK SHARIFAH AINI & DATUK SITI PULIH SILATURRAHIM

Cover URTV Edisi 777 (1-15 Oktober 2010)Pertemuan dua penyanyi tersohor tanahair, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza di suite mewah, Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, pada 18 Ogos lalu, mencatatkan satu lagi sejarah dalam industri hiburan tanahair.  Semua maklum, kedua-dua mereka penah menjadi bualan hangat pada tahun 2004, apabila didakwa tidak sehaluan lagi, gara-gara satu kes e-mel layang.  Kes e-mel ini sampai dibawa ke mahkamah.  Bagaimanapun, kemudian digugurkan.

Datuk Sharifah Aini mendakwa ada pihak dengan sengaja mahu memburuk-burukkan beliau dengan mengaitkan dirinya dalam e-mel mengaibkan nama Siti Nurhaliza.  Beliau mendakwa, usaha pihak berkenaan untuk melaga-lagakan dirinya dengan Siti Nurhaliza dan dalam masa yang sama mahu menjatuhkan nama baiknya.  Sejak peristiwa itu, kedua-dua penyanyi ini tidak lagi dilihat menjayakan satu persembahan pentas atau kelihatan dalam satu majlis.  Jauh sekali bergambar berdua-duaan, seperti yang anda tatap ini.  Di kalangan peminat-peminat, ramai percaya kedua-duanya tidak lagi punya hubungan silaturrahim yang baik.

Bagaimanapun, Ogos lalu, Huzz berjaya mendapat lampu hijau daripada kedua-duanya untuk bergambar sama khas untuk sambutan Aidilfitri pada tahun ini.  Hasrat mahu menemukan Datuk Sharifah Aini dengan Siti kerana sebelum ini, pada tahun-tahun sebelum ini, walaupun kedua-dua mereka disangka tidak baik, tetapi semasa Huzz ke rumah Sharifah Aini, koleksi CD (album) Siti masih setia ada didalam rak album artis pouplar dalam dan luar negara yang menjadi pilihannya.  Tak hanya itu, andai majalah-majalah URTV sebelum ini yang ada memuatkan cerita Siti, diberikan kepadanya, beliau tidak memberi reaksi membenci.  Bahkan, beliau mengikuti perkembangan penyanyi itu dengan hati terbuka.  Jadi dapat dilihat, Sharifah Aini tidak punya dendam atau marah terhadap Siti Nurhaliza.

Pada April lalu, selesai satu wawancara yang Huzz lakukan di rumahnya, Sharifah Aini ada bertanya khabar tentang Siti.  Bahkan, kemudian mengatakan, dia mendoakan penyanyi itu akan mendapat cahayamata comel.  Lalu malam itu, dengan berani Huzz bertanya, adakah beliau sudi, kalau URTV mengajaknya bergambar sama dengan Datuk Siti Nurhaliza, sempena Aidilfitri.  Dengan nada gembira, katanya, "Kak Aini tak ada masalah.  Kalau Siti kelapangan, Kak Aini sedia.  Sampaikan salam Kak Aini kepada dia."  Bahkan beliau berkata, "Kalau Huzz mahu mengaturkan teruskanlah, Kak Aini bersedia."

Malam itu, Huzz segera menghubungi Datuk Khalid suami Datuk Siti dan ketika berbual dengan Siti, Huzz menyampaikan salam Sharifah Aini dan memberitahu hajat di hati.  Siti tanpa terkejut atau marah dengan cadangan itu, mengatakan, dia tidak ada masalah.  Cerita doa Sharifah Aini terhadap Siti ada saya muatkan dalam URTV keluaran sebelum ini (edisi 1-15 Jun).  Datuk Sharifah Aini gembira kerana saya menyampaikan hajat murninya.  Bagaimanapun, Huzz perlu menunggu masa untuk mengambil gambar mereka, lantaran kedua-duanya sibuk.  Siti sepanjang ketika April dan Mei sibuk mempromosikan Simply Siti manakala Sharifah Aini pula dengan projek konsert amalnya.  Bagaiamanapun, berita baik Huzz terima sekembalinya Siti bersama-sama suaminya dari Mekah, sebelum Ramadan lalu.  Apabila Rozie, pegawai Siti Nurhaliza Production memberitahu Huzz, Siti bersedia bergambar dengan Sharifah Aini, ia satu berita yang cukup menggembirakan.

"Huzz, Siti ada beritahu hasrat Huzz.  Dia bersetuju untuk bergambar sama dengan Datuk Sharifah Aini.  Minta tolong carikan tempat dan tarikh ya!  Nak beritahu juga, pihak Utusan Malaysia dan Berita Harian, juga mahu buat fotografi pada hari sama URTV merakamkan gambar-gambar ini," kata Rozie.  Bila Sharifah Aini dihubungi, memaklumkan hal ini, dia juga kedengaran gembira.  Bagaimanapun, katanya, tarikh sesuai untuk fotografi ini ialah pada 18 Ogos.  Ini kerana beliau ada urusan mahu ke Singapura.  Kepada kedua-dua bintang ini, Huzz berpesan, jangan lupa, baju-baju eksklusif untuk dipakai sebagai penghias kulit depan URTV.  Memikirkan URTV edisi khas Aidilfitri sebelum ini, sudah sedia untuk dicetak pada hari kami mahu ke lokasi, Huzz mengambil keputusan untuk memuatkan gambar-gambar mereka di keluaran ini.  Apatah lagi, kita masih bercerita soal Aidilfitri pada edisi ini.

Pada tarikh 18 Ogos itu, Huzz mengajak sama, Pengarang Mangga.online, Rosli Manah (sebumbung dengan URTV di bawah penerbitan Utusan Karya Sdn Bhd).  Tujuannya agar beliau juga dapat merakamkan sama detik sejarah ini.  Sharifah Aini pula meminta Saharuddin Mustapha dari Utusan Malaysia, mendapatkan suite di Hotel Royal Chulan apabila difahamkan akhbar utama negara, Utusan Malaysia akan hadir merkamkan detik pertemuannya dengan Siti. 

Pada 18 Ogos itu. URTV mendapat laluan awal, merakamkan gambar-gambar kedua permata seni tanahair ini.  Sharifah Aini sampai jam 11.00 pagi, ditemani pembantu, jurusolek dan pendandan rambut.  Huzz bersama-sama, Penolong Pengarang URTV, Norzeha Kasbi dan Rosli Manah, serta jurugambar Azhar Mogo dan Asrekhuzairy, tak sabar nak merakamkan detik-detik bersejarah pertemuan dua insan ini.  Fotografi yang sepatutnya bermula tengahari itu, diganjakkan sedikit waktunya, kerana Siti belum selesai dari kelas mengaji.

Siti yang kemudiannya, hadir ditemani Rozie, jurusolek Nurul Shukor dan pereka fesyen Rizman Ruzaini kelihatan ceria memakai baju berwarna ungu.  Difahamkan, baju itu hadiah suami (dibeli di London), sempena ulangtahun perkahwinan ke empat mereka.  Siti memberitahu Huzz, dia mahu bertemu Sharifah Aini yang sedang bersolek, sebelum dia menukar baju untuk fotografi.  Itulah detik paling bersejarah, setelah enam tahun tidak berjumpa, akhirnya, kedua-duanya memulihkan ikatan silaturrahim dengan berpelukan dan bersalaman.  Wajah kedua-duanya nampak ikhlas dan mesra.

"Kami pernah terserempak di majlis-majlis sebelum ini tapi tak pernah berpeluang bertemu dekat apalagi bergambar macam hari ini," kata Sharifah Aini.  Ketika fotografi URTV dilakukan, Siti ada bertanyakan khabar tentang Aliff, Sharifah Aini memberitahu buah hatinya itu, ada di KL, balik bercuti.  Rakan-rakan wartawan dan jurugambar yang hadir, kemudiannya, tak mahu ketinggalan merakamkan kenangan bersama-sama kedua-dua mereka.

SHARIFAH AINI AJAK SITI DAN SUAMI KE RUMAH

Selesai fotografi pada petang hari itu, sebelum semua pulang, Huzz berbual dengan Sharifah Aini merisik khabar isi hatinya tentang pertemuan dengan Siti hari itu.

Katanya, "Alhamdulillah, kebenaran itu sampai juga.  Allah sampaikan hajat dan usaha baik Huzz untuk memulihkan dan menyatukan silaturrahim kami.  Terus terang, Kak Aini gembira dengan apa yang terjadi hari ini.

"Sebenarnya, sebelum ini, Kak Aini tak pernah berdendam atau berjauh hati dengan Siti.  Terus terang, Kak Aini tahu, Siti macam Kak Aini, menjadi mangsa keadaan orang lain yang nak tengok kami tak berbaik-baik.

"Tak apalah, kisah yang sudah-sudah itu telah pun Kak Aini campak jauh.  Tak nak ingat lagi.  Kalau ada orang nak menganiayai kami biarlah.  Bahkan tahun 2004 adalah tahun yang membawa kenangan sedih hidup Kak Aini.

"Alhamdulillah, Allah memberikan Kak Aini kehidupan yang aman dan bahagia setelah macam-macam fitnah dan prasangka buruk sesetengah orang terhadap Kak Aini dengan apa yang Kak Aini lalu pada tahun itu.

"Sudah 42 tahun menyanyi, Kak Aini syukur, dapat terus berada di sini dalam lindungan Allah.  Begitulah Kak Aini bersyukur, akhirnya kami berdua (Kak Aini dan Siti), kembali menjalinkan silaturrahim yang terganggu disebabkan perbuatan orang yang tak bertanggungjawab.

"Kak Aini terharu dan sebak bila kami dapat bergambar, berpeluk dan mesra hari ini.  Tadi, ketika Siti meletakkan tangan atas riba Kak Aini, untuk salah satu pose di depan kamera, ia terus membuat airmata Kak Aini berjurai-jurai, Huzz.  Siti itu Kak Aini anggap sudah macam anak sendiri," tambahnya.

Kak Aini tahu Siti seorang yang ikhlas, baik dan jujur, syukurlah hari ini, tercatat sejarah kami memulihkan silaturrahim.  Insya-Allah, hubungan ini diharapkan berterusan tidak hanya di hari ini," kata Sharifah Aini.

Bila ditanya, adakah beliau sudi nak mengadakan acara hiburan atau konsert bersama-sama di masa akan datang, inilah jawapan beliau, "Kami berdua mengeratkan silaturrahim sesama saudara Islam.  Bukanlah disebabkan niat kerana nak buat show sama atau sebagainya.  Bagaimanapun, setelah kami menjernihkan silaturrahim ini, andai ada yang memanggil kami menyanyi atau buat projek amal bersama-sama, Insya-Allah Kak Aini tidak menolak.  Itu pun bergantung kelapangan masing-masing.  Kak Aini happy untuk bekerjasama dengan Siti selepas ini."

Petang itu, sebelum kedua-duanya memohon diri, Sharifah Aini ada mengundang Siti bersama-sama suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa bertandang ke rumahnya di musim Hari Raya Aidilfitri.

Lewat petang itu, suami Siti muncul di lokasi untuk menjemput isterinya pulang.  "Mereka pasangan yang bahagia.  Kak Aini suka tengok cara suami Siti yang sentiasa memberikan sokongan kepada isterinya," kata Sharifah Aini.

SIAPA MARAH BILA DUA DATUK BERBAIK?

Berita tentang dua orang Datuk popular ini memulihkan hubungan silaturrahim telah mendapat reaksi luas.  Respons yang diterima, melihatkan semua peminat-peminat, kagum dengan dua artis terkenal bertaraf VIP ini kerana melakukan hal yang baik dan dituntut Islam, di hari dan bulan mulia Ramadan.  Bagaimanapun, dalam ramai-ramai yang lega dengan perkembangan baik kedua-dua insan ini, ada juga hamba Allah yang dilihat tidak senang duduk.

Pengurus peribadi, Datuk Sharifah Aini untuk pertunjukkannya, terkejut ada panggilan diterimanya berbunyi marah!  "Ya Kak Aini ada juga dengar tentang ini.  Tak sangka ya, dalam kita seronok nak buat hal baik dan memulihkan silaturrahim, ada yang tak suka!  Jangan macam itu.  Ingatlah, apa tanggungjawab kita bila orang lain berbaik-baik?  Hendaknya kita bersyukur.  Hendaknya, kita panjangkan silaturrahim.  Buat apa nak menghalang perbuatan mengeratkan dan menyatukan sesama Islam?  Tak ada apa yang boleh Kak Aini komen kalau ada nak buruk sangka di atas hubungan baik kami.

"Ingin Kak Aini berpesan, selagi hidup tidak salah berbuat baik.  Allah itu suka kepada manusia yang mengutamakan kehidupan dalam berkasih sayang," katanya.  Khabarnya, Datuk Sharifah Aini juga akan mengerjakan haji pada tahun ini.  Tapi bila itu ditanya, katanya, "Tak mahulah ditanya soal-soal hal ibadah.  Nanti ada kata nak menunjuklah dan macam-macam.  Nantilah, sampai masa, kalau rasa sesuai nak cerita, Kak Aini cakap.

"Hari itu, bila URTV dapat menyiarkan gambar-gambar rumah Kak Aini, pun Kak Aini bimbang kalau ada prasangka buruk mengatakan Kak Aini mahu menunjuk-nunjuk.  Kak Aini seronok dengan kehidupan low profile.  Tapi memikirkan, Huzz banyak kali memujuk dan mahu peminat berkongsi ilham menghias rumah mereka, Kak Aini tak berat mengizinkan," tambahnya.

Sebetulnya memang tidak mudah hendak merakamkan gambar-gambar rumahnya.  Bagai yang Huzz katakan sebelum ini, kerana kami sudah lama bersahabat, maka pujukan Huzz membuat Sharifah Aini mengalah, lebih lagi bila diberitahu, peminat juga ingin lihat kemampuannya dalam hal mencantikkan rumah.

"KITA TAK DISURUH BERMUSUH" SITI

Alhamdulillah rasa seronok dan amat terharu melihat pertemuan dua diva ternama tanahair Datuk Sharifah Aini dengan Datuk Siti Nurhaliza Taruddin pada 18 Ogos lalu.  Pertemuan dan sesi fotografi ini dicetuskan oleh pengarang URTV - Huzz beberapa bulan lalu.  Melihat keakraban dua bintang ketika sesi fotografi berlangsung rasa terharu beberapa wartawan yang ada di situ ekoran kontroversi mereka sebelum ini.  Pertemuan bersejarah ini berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.  Mari ikuti temu bual URTV dengan Datuk Siti Nurhaliza sebaik selesai fotografi dan beberapa hari selepas pertemuan.

Apa perasaan Siti sekarang selepas sesi fotografi bersama Datuk Sharifah Aini tempohari.

"Alhamdulillah, selepas fotografi bersama Datuk Sharifah Aini baru-baru ini, Siti merasakan ada sesuatu yang positif berlaku dan ia tentunya melegakan Siti.  Siti juga berharap agar pertemuan tersebut juga meleraikan segala spekulasi dan perkara yang pernah terjadi kerana bulan Ramadhan yang mulia tahun ini telah memberi sinar yang baik dalam hubungan kami sesama manusia."

Sebelum pertemuan apa perasaan Siti ketika dalam perjalanan ke Hotel Royale Chulan?  Pada malam sebelumnya ketika nak tidur, apakah yang Siti fikirkan?

"Alhamdulillah, perasaan seronok teruja memanglah Siti rasai kerana sudah agak lama kami tidak bertemu secara berdepan, hanya sesekali terserempak di dalam majlis.  Sewaktu dalam perjalanan ke hotel, apa yang Siti fikirkan memberikan sesuatu yang baik dan menggembirakan ramai pihak hendaknya."

Kenapa agak lambat memberi jawapan untuk fotografi ini?

"Fotografi ini memang agak lama juga dicadangkan tetapi Siti terpaksa mencari waktu yang sesuai.  Bila kami telah mendapatkan tarikhnya, Siti tidak ada masalah untuk digandingkan.  Bagi Siti, apa yang telah terjadi selama ini adalah kisah silam yang kami lalui dan sekarang ini seperti membuka lembaran baru."

Sebelum ini sejak umur berapa Siti mula kenal nama Sharifah Aini?  Apakah judul lagunya yang Siti suka?

"Siti mengenali Datuk sejak Siti kecil lagi.  Lagu-lagu Datuk memang sering kita dengar kerana arwah abah Siti pun memang peminat Datuk.  Banyak lagu-lagu Datuk yang Siti suka dan antaranya Hapuslah Airmatamu, Kau Yang Bernama dan Oh Di Mana."

Kenapa Siti kagum kepada Sharifah Aini?

"Beliau umpama lagenda negara, beliau bukan sahaja bertuah dikurniakan kecantikan dan suara yang amat baik.  Lagu-lagu beliau juga evergreen dan tidak jemu didengar.  Melihat beliau hari ini samalah seperti melihat beliau sebelum ini kerana bakat semulajadi yang ada adalah anugerah dan ia akan kekal hingga bila-bila."

Ada perancangan berduet sama dengan Sharifah Aini?

"Kami tidak pernah berbincang ke arah itu dan tentunya pertemuan yang baru ini lebih kepada pertemuan kami yang bermakna dan ia fokus kepada sesi fotografi.  Kami tidak berbincang tentang hal-hal yang lain tetapi jika ada rezeki dan kesempatan, Siti tidak menolak."

Sekarang, apa yang Siti harapkan atau pesanan pada peminat tentang tanggapan mereka dengan spekulasi sebelum ini?

"Siti berharap agar apa yang kami lakukan ini memberikan pandangan positif kepada masyarakat bahawa ada kala sesuatu yang kita tidak minta terjadi dalam hidup kita dan akhirnya kita temui jalan atau cara menyelesaikannya.  Hubungan yang baik sesama manusia inilah yang harus kita jaga."

Apa nasihat Siti pada sebilangan artis yang ada perselisihan faham sesama sendiri.  Contohnya, pergaduhan di Internet?

"Sebagai manusia dan bukan saja artis, memang kita tak disuruh bergaduh, bermusuh dan sebagainya.  Industri kita amat kecil, jika situasi ini berlaku, ia tentulah memberikan impak yang tidak baik kepada kerjaya masing-masing.  Kita harus sedar bahawa dalam industri ini kita harus saling menyokong antara satu sama lain kerana masing-masing dikurniakan bakat dan kelebihan."

Apa perkembangan terbaru Siti sekarang?

"Sekarang ini Siti hanya berdoa agar sebelum hujung tahun ini, Siti berpeluang mengadakan konsert solo 15 tahun Siti.  Siti amat berharap agar ada penaja yang sudi memberikan kerjasama.  Selain itu, Siti mahu menyiapkan rakaman album solo Siti yang juga dijangka dipasarkan sebelum akhir tahun ini.  Insya-Allah."

Apakah keseronokan dan keindahan beraya bersama keluarga suami di Kedah berbanding dengan kampung sendiri di Lipis, Pahang?

"Beraya di kampung suami sama meriahnya seperti di kampung sendiri.  Memang sejak awal pagi, ramai yang sudah berkunjung ke rumah di kampung dan suami juga rajin membawa Siti ke rumah saudara maranya di sana.  Dari segi pemakanannya pula, makanan di sebelah Utara ada kala berbeza sedikit dengan juadah di Pahang.  Ini juga keseronokan bagi Siti kerana dapat merasa juadah hari raya di Kedah," ujar Siti.

7 TENTANG SHARIFAH AINI & 5 PERKARA ORANG TAK TAHU TENTANG SITI

Apakah 7 perkara yang anda tidak tahu tentang Datuk Sharifah Aini?

1   Pertama, Kak Aini suka mengumpul kad-kad yang cantik antaranya koleksi Hall Mark.  Ada yang dibeli dan ada yang dihadiahkan kawan.  Kad-kad ini akan disimpan dalam sebuah laci special di rumah.

2   Peminat buku-buku masakan dan buku dekorasi dari dalam dan luar negara.  Kalau tak sibuk, ada masanya, Kak Aini suka berada di dapur.  Suka memasak.  Suka cuba resipi buku-buku masakan.  Buku dekorasi menjadi tumpuan untuk mencantikkan rumah.

3   Kak Aini suka makan ikan kecuali ikan kembung.  Yang itu, tak disentuh.  Kak Aini suka minum banyak air suam (air masak).

4   Kak Aini suka bercucuk tanam.  Pokok bunga keliling rumah pilihan dan kesukaan Kak Aini.

5   Siapa bilang Kak Aini tak bersenaman?  Biasanya, di dalam rumah seperti senaman yoga.  Ada kalanya, berjalan kaki di luar kawasan dan ditemani bodyguard.

6   Tak selesa dengan suasana berdebu dan kotor.  Sebab itu, rumah Kak Aini dipastikan sentiasa bersih dan harum.  

7   Kak Aini juga suka mengamalkan doa baik-baik dalam kehidupan.  Kalau nak keluar rumah Kak Aini akan cakap, "Segala-galanya yang kita ada adalah milik Allah.  Jadi walaupun kita memiliki apa yang ada hari ini, jangan kita riak dan menongkat langit, jadi Kak Aini selalu bersifat redha dan selalu bersyukur.

5 perkara orang tak tahu tentang Siti

1   Siti suka membeli cadar.  Pantang nampak ada cadar menarik.  Siti akan membelinya.

2   Siti suka mematahkan jari jemari Siti apabila berasa kurang selesa, nervous sebelum mengadakan persembahan.

3   Siti sukakan lauk pedas.  Orang kata penyanyi tidak makan pedas untuk menjaga suara tetapi Siti tak ada masalah.

4   Siti takut lipas.

5   Siti suka menarik-narik rambut sehingga berbunyi.