SHARIFAH AINI SENTIASA BERSYUKUR

oleh Huzz  (URTV, 1 March 1995)

Biduanita Sharifah Aini akan beraya bersama keluarganya di Petaling Jaya.  Hari raya tahun ini tidak ada program di luar Kuala Lumpur, melainkan pulang ke Johor menziarahi pusara.  "Itu antara rancangan saya.  Biasanya kak Aini akan buat rumah terbuka untuk teman-teman terdekat dan artis," katanya.  Sharifah Aini yang sibuk dengan promosi album 'Rindu Menghiasi Kamar Cinta' yang di pasaran awal tahun ini mengatakan beliau juga sibuk dengan rancangan-rancangan tv.

Untuk fotografi kali ini Sharifah Aini bergaya di depan lensa kamera URTV dengan dua helai pakaiannya khas untuk Aidilfitri nanti.  Terkejut saya mendengar cerita, sehelai baju berharga RM3,000.  Sharifah Aini menempahnya di sebuah butik terkenal di Kuala Lumpur.  Namun Sharifah Aini tidak ada pilihan, dia sudah semestinya mempunyai pakaian baru selalu kerana pertunjukan dan majlis tertentu.  "Kalau yang dah tak boleh pakai kak Aini berikan kepada adik-adik (pembantu rumah) kak Aini," katanya.  Memang kalau dikirakan semenjak menjadi artis, Sharifah Aini puas memakai pakaian jenama-jenama mahal mengikut kemampuannya.  Namun dia tidak pernah lupa, waktu kanak-kanak dulu dia tidak mampu melaram semahal itu.  Maklumlah dia tahu ketika itu orang tuanya tidaklah sesenang mana.  Tapi dia tidak pernah merungut atau menyesal.  Baginya kehidupan yang lalu memberikan dia kesedaran dan tidak sombong dan kenal erti kehidupan.  Segalanya kini dengan izin Allah yang merahmati kehidupannya.  "Kerana itu kak Aini amat bersyukur", katanya.

SHARIFAH AINI TERKENANGKAN ARWAH

Hari raya yang dilaluinya semenjak ketiadaan orang tersayang menjadikan dirinya adakala terusik dengan takbir di pagi raya.  "Kak Aini terkenangkan arwah nenek dan datuk kak Aini yang membela dan mengasuh kak Aini sejak kecil.  Sejak dalam buaian sewaktu ayah dan ibu bercerai, kak Aini dibesarkan mereka.  Kini terasa bila mengenangkan hari raya mereka tidak bersama.  Apalagi saat kehidupan kak Aini yang semakin hari semakin bersyukur rahmat dan rezeki daripada Allah, keduanya tiada di sisi.  Mereka membesarkan kak Aini dengan semampu yang ada.  Waktu kecil dulu, kak Aini tak macam anak-anak sekarang yang kehidupan ibu bapanya senang.  Tak merasalah nak pakai baju macam sekarang.  Tapi bahagia dengan kasih sayang dan persediaan diberikan kedua arwah.  Ternyata mereka tidak membesarkan kak Aini untuk meminta pembalasan," katanya. Kerana itulah Sharifah Aini tidak mahu lokek untuk bersedekah Fatihah atau berdoa kepada keduanya setelah ketiadaan mereka.

"Kini kak Aini mendidik dan membesarkan Aliff dan anak-anak angkat kak Aini dengan penuh kasih sayang dan agama.  Supaya mereka menjadi anak berguna, tidak tersisih walaupun Aliff itu senasib kak Aini, anak broken family", katanya.  Sempena hari raya ini Sharifah Aini menghulurkan salam Aidilfitri buat semua kaum keluarga, sanak saudara serta peminat walau di mana saja berada dengan ucapan maaf zahir dan batin semoga terampun dosa lalu.

SERONOK MEMBELA ANAK ANGKAT

Huzz dapat tahu Sharifah Aini cukup suka dengan kanak-kanak.  Bahkan kalau menziarahi kawan di hospital Sharifah Aini suka melawat wad kanak-kanak.  Hatinya tersentuh melihat anak-anak malang yang tiada ibubapa.  Teringat dirinya sendiri pernah terbuang ke sebuah keluarga Cina semasa berpisah daripada ibu bapanya tetapi diselamatkan semula oleh arwah datuk dan neneknya.  Terkenang betapa anak-anak itu tanpa sesiapa di sisi apalagi menjelang hari lebaran begini.  Sharifah Aini pernah menderma pada mereka dan kini khabarnya sudah mengambil lima orang anak angkat untuk memeriahkan hidup Aliff Omar yang menjadi abang sulung.  Nama anak angkatnya, Nina Faridah (11 tahun), Netty (9 tahun), Natalia Haqueen (8 tahun), Jasmine Haqueen (10 tahun) dan Iman Medina (2 tahun 5 bulan).

"I love child, kerana itu kak Aini rasa kehidupan sekarang tidak sunyi dengan hadirnya mereka.  Bila raya begini tiba, merekalah yang akan kak Aini layani.  Bajunya, makan minumnya, duitnya ... seronok.  Sebagai seorang wanita yang pernah melahirkan anak, sudah tentu kasih sayang di persada hati.  Anak itu amanah Allah yang menguji kita.  Tidak salah juga menyayangi anak-anak malang yang tidak berdosa".

SUKA MEMASAK

Sharifah Aini mengatakan anak-anaknya yang kian membesar itu suka memakan masakannya.  Terutama kek coklatnya.  "Kak Aini akan masakkan kek kerana itulah kesukaan mereka.  Untuk hidangan pagi raya selain kek, kuih-muih, kak Aini suka masak lauk pauk lain.  Maklumlah ada kawan-kawan mereka nak datang beraya, sekurang-kurangnya pengalaman beraya meriah begitu menyeronokkan.  Tapi begitulah, bila terhidang semua di meja, hati terkenangkan mereka yang susah.  Kerana itu kita mesti selalu bersyukur.  Negara kita aman dan makmur.  Bukan itu saja kita masih melalui Aidilfitri dengan suasana begini.  Bayangkanlah insan lain yang malang," katanya.

MENEMPAH BAJU UNTUK ANAK-ANAK

Selain dirinya yang menempah pakaian menjelang pertunjukan dan hari raya.  Sharifah Aini tidak lupa tempahkan baju untuk anak-anaknya.  "Adakala kain-kain yang dihadiahkan kawan cukup banyak.  Mengapa mesti terus membeli baju di kedai.  Buat tempahan, walaupun agak mahal tapi janji kita yang memakainya puas."  Maklumlah nama pun Sharifah Aini, sudah terkenal kerana seni suaranya.  Bila menempah baju ada yang meletakkan harga mahal.  Namun dia tidak lokek atau berkira.

SUKA GAYA BENAZIR BHUTTO

Sharifah Aini meminati fesyen dan cara dandanan Perdana Menteri Pakistan. Benazir Bhutto, wanita Islam pertama yang menjadi pemimpin.  "Kak Aini suka melihat cara dia berselendang.  Kena gayanya tu," ujarnya sambil tersenyum.  Kerana itu ada juga kalanya melihat dia menggayakan cara begitu.  Mengenai jadi orang politik, Sharifah Aini tidak berminat tetapi dia mengikuti perkembangan politik sekarang.  Baginya kepimpinan sekarang bagus dan semoga Malaysia terus di bawah pemimpin yang cemerlang.

SHARIFAH AINI SUKA BEREHAT DI TENGAH LAUTAN

Berbicara cerita lain daripada hari raya, saya bertanyakan biduanita ini benarkah cerita yang terdengar dia kononnya suka berehat di tengah lautan di pantai Port Dickson menjelang hari minggu sebelum puasa.  "Sebenarnya dah lama dulu kak Aini suka mengajak kawan-kawan pergi berkelah tengah laut.  Sewalah bot yang besar dan selesa.  Kak Aini memandu bot itu.  Dah jauh beberapa batu dari pantai, hentikan enjin.  Kami berkelah atas bot.  Keluarkan apa yang dibekalkan.  Seronok.  Adakala berani tu turun berenang dengan pelampung.  Lautannya tidaklah dalam mana, tidaklah jauh sangat.  Sampai petang biasanya kami berkelah.  Tapi semua mereka itu wanita.  Semuanya ibu bekerjaya.  Masing-masing bawa anak untuk melepaskan cuti di hujung minggu.  Masuk bulan puasa saja kami tidak pergi berkelah lagi," katanya.  Jadi selama ini kalau terdengar cerita Sharifah Aini rajin ke Port Dickson di hujung minggu jawapannya kerana dia seronok berkelah di tengah laut.