SHARIFAH AINI DIJADIKAN MACAM CHER

oleh Nafsiah Jani & Huzz  (URTV: 1 September 2000)

Bersesuaian dengan album terbarunya, SERIBU MAWAR, penyanyi evergreen Sharifah Aini tidak terkecuali merakamkan klip video lagu yang merupakan tajuk albumnya.  Kali ini jurukamera filem terkenal Badar, suami kepada Erma Fatima telah diberi tanggungjawab mengarahkan klip video itu.  Lokasi pilihan penggambaran ialah sekitar Fraser Hill, jejantas Sungai Buloh, lebuhraya Damansara dan Rawang.  Kata Badar, "Dua hari sebelum membuat penggambaran saya telah berbincang dengan Kak Ani (Sharifah Aini) tentang apa yang ingin ditonjolkannya dalam klip video ini.  Dalam perbincangan itu Kak Ani menyatakan dia ingin menampilkan cerita, kononnya dia meninggalkan seseorang ataupun kenangan lalunya serta sebuah tempat yang sungguh bermakna kepadanya.  Selain itu dia juga mahu menampilkan pelakon tambahan lelaki dan wanita yang betul-betul boleh berlakon.  Ini diperlukan untuk mewakilinya dalam menyampaikan perasaannya ketika itu.  Kiranya untuk tunjuk kisah sepasang kekasih yang romantik akhirnya berpisah juga ... mungkin seperti apa yang dilaluinya.  Dalam pada itu, Kak Ani juga mahukan kereta yang digunakannya dalam penggambaran ini menggunakan plat pendaftaran 1000 MAWAR bersesuaian dengan tajuk lagunya," kata Badar yang sebelum ini pernah mengarahkan klip video Umie Aida dan 'Jentayu' nyanyian Sheila Majid, Nora dan Johan Nawawi.

Badar menambah, "Itu sebabnya saya ingin menjadikan Kak Ani seperti penyanyi Cher ... walaupun dah berusia namun masih aktif lagi.  Begitu juga dengan pasangan kekasih itu saya telah memilih Erma dan Rosyam untuk melakonkan watak tersebut.  Manakala Fraser Hill pula menjadi pilihan bagi menampakkan suasana 'country side'.  Kiranya kawasan persekitarannya tidaklah terlalu 'fancy' tetapi 'nice' dan 'class' sesuai dengan imej Kak Ani yang dah bergiat lama dan matang dalam bidang muzik ini.  Kiranya saya nak persembahkan Kak Ani dalam klip video itu sebagai seorang yang 'simple' tetapi cantik.  Walaupun pertama kali bekerja dengannya, namun saya sungguh seronok bekerja dengan Kak Ani.  Kak Ani bukan saja 'very hard working' tapi juga seorang yang profesional," katanya.

Menurut Badar, "Bagi mencantikkan lagi klip video ini, saya juga mengambil gambar dari dalam helikopter yang kami sewa selama sejam dengan bayaran RM5,000.  Kiranya gambarnya bukan saja dari bawah tapi juga dari 'high angle' dan bergerak.  Sedikit sebanyak klip video ini tidaklah nampak murahan tapi mahal," katanya yang memulakan penggambaran dari jam 7.00 pagi dan berakhir jam 8.00 malam.

BERANI MATI KERANA 1000 MAWAR

"Bagi saya pengalaman menjalani penggambaran klip video Seribu Mawar bukanlah satu pengalaman macam klip video lain.  Bayangkan habis saja rakaman klip video ni, saya terus masuk hospital," begitu kata Sharifah Aini ketika menemuinya beberapa hari selepas di lokasi.  "Saya mengalami masalah sesak nafas sekembalinya di rumah.  Barangkali kerana saya kurang tahan melalui perjalanan sepanjang shooting iaitu sepanjang 1 Ogos itu menyebabkan gangguan kepada kesihatan.  Lagipun kebetulan jadual saya begitu ketat sejak album baru saya dijual 20 Julai lalu sampailah ke tarikh saya membuat klip video itu.  "Kalau you nak tahu saya mula bersiap untuk ke lokasi sehari sebelum shooting seawal jam 3.00 pagi di rumah saya (di Petaling Jaya, Selangor).  Saya meminta jurusolek klip video ini iaitu Am datang ke rumah pukul 4.00 pagi untuk memulakan solekan.  Bayangkan 4.00 pagi waktu orang nyenyak tidur, saya dah tempek bedak ke muka.  Habis bersolek dalam masa sejam saya kemudiannya memandu sendiri kereta (jenis sport mewah) menuju ke lokasi di Bukit Fraser, Perak.  Ramai yang sangka saya memandu kereta baru saya, padahal kereta putih ini milik seorang kawan yang istimewa dalam hidup.  Bukan kawan lelaki, tapi kawan prempuan," kata Sharifah Aini.

"Sampai di sana dalam pukul 6.00 pagi semua krew yang sudah berada di sana mula bekerja.  Sarapan saya ringkas saja, maklum kebetulan seminggu dari tarikh itu saya ada latihan untuk konsert istimewa di RTM, jadi saya tak banyak makan.  Waktu di Bukit Fraser plat kereta putih bertukar nombor 1000 MAWAR.  Nak tahu, inilah idea saya waktu kami bermesyuarat sebelum turun ke lokasi.  Saya mahukan satu kelainan ... plat kereta mesti judul lagu saya Seribu Mawar.  Sesudah selesai shot di atas Bukit Fraser, kami terus turun untuk shooting di jejantas Sungai Buloh.  Saya berani mati pakai saja nombor plat 1000 MAWAR semasa memandu kereta tak berbumbung tu.  Kalaulah ada polis trafik kenalah tu, tapi saya boleh jelaskan saya dalam perjalanan ke shooting klip video," akuinya.

20 KALI MEMANDU ULANG-ALIK RAWANG KE SUNGAI BULOH

Tahu tak, Sharifah Aini 'kena dera' untuk beberapa shot menarik klip video 'Seribu Mawar'.  Menurut pengurus kanan promosi EMI Malaysia, Cik Normaheran, "Sharifah Aini kena memandu pergi dan balik sebanyak 20 kali dari Rawang ke Sungai Buloh bagi mendapatkan shot yang baik yang dilakukan oleh Badar dari atas helikopter.  Mungkin kerana tak cukup tidur, perjalanan jauh dan habuk sepanjang memandu kereta tak berbumbung ... menjadi punca Sharifah Aini diserang selesema teruk sebaik selesai shooting sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Pantai pada malam 2 Ogos lalu," katanya.  Klip video ini dilakukan oleh Badar di bawah Kuasatek Pictures dan ia sudah pun mula ditayangkan di kaca TV.  Kos pembikinannya dipercayai berjumlah RM50,000.

'SERIBU MAWAR' KISAH BENAR PERCINTAAN SHARIFAH AINI !

Sharifah Aini telah memberikan ilham untuk 'story board' dalam lagu Seribu Mawar.  Katanya dia mahukan dua pelakon (Rosyam dan Erma) untuk menggambarkan peristiwa kekasih curang.  Rosyam berlakon sebagai kekasih Sharifah Aini.  Suatu waktu Sharifah Aini terserempak adegan mesra antara kekasihnya itu dengan Erma Fatima.  Lalu Sharifah Aini membawa hati yang luka dengan memandu seorang diri.

Dalam perjalanan membawa diri itu dia terbayang-bayang perangai curang kekasihnya dan kemudian melihat sendiri bagaimana Rosyam pula bergaduh dengan Erma dan menurunkan Erma di 'highway'.  Rosyam ingin mendapatkan cinta Sharifah Aini semula tetapi kehampaan.

"Cerita dalam lagu ini sebenarnya menggambarkan kisah cinta saya yang telah patah.  Saya telah memberikan ilham kepada penulis lirik lagu untuk menulis kisah sedih saya.  Benar orang yang saya cinta telah berpaling arah kepada yang lain dan kini mengharapkan saya kembali.  Sehinggakan selori bunga mawar dia hantar.  Saya katakan walaupun seribu bunga mawar dikirim ... walau seribu malam dia menunggu di depan pintu, hati saya dah tertutup.  Saya hanya boleh menjadikan dia sahabat baik sekarang ini," akui Sharifah Aini.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Makin Ligat (Berita Minggu: Bi Pop 13 Ogos 2000)

  Sharifah Aini Bawa Hati Ke Bukit Fraser (Mingguan Malaysia: Pancaindera 13 Ogos, 2000)