DATUK SHARIFAH AINI TAK HALANG ALIFF KAHWIN!

oleh Huzz  (URTV: Syawal Di Sana Sini, 15 September 2011)

"Kak Aini, tak pernah menghalang anak berkahwin dengan mana-mana perempuan yang dia suka!  Namun sebagai ibu, Kak Aini selalu berdoa, semoga Aliff ditemukan jodoh dengan wanita yang berwajah tenang, kaya sifat lemah lembut dan keibuan, berbudi bahasa, menghormati orang serta sukakan kesederhanaan.  Kak Aini kenal siapa Aliff.  Walaupun sejak kecil dilayan dengan kemewahan tetapi Aliff tidak suka demanding.  Dia bukan anak suka meminta-minta.  Pandai pula menjadualkan kewangan dan diri.  Malah, suka low profile dan bersederhana.

"Dua tahun lagi, Aliff akan balik bekerja di sini.  InsyaAllah walaupun belajar dalam bidang undang-undang syariah, Kak Aini setuju kalau dia memilih nak kerja di dalam bidang lain.  Bila usia masuk 29, Kak Aini beritahu Aliff ... sudah masanya, untuk dia berkahwin," demikianlah pengakuan Datuk Sharifah Aini tentang jodoh anaknya.  "Selama ini, kalau ada orang menyangka anak tak kahwin-kahwin kerana Kak Aini mencarikannya jodoh, itu tak tepat ya.  Sebagai ibu, Kak Aini tak halang, siapa yang dia mahu?  Asalkan, gadis itu sesuai dengannya.  Jangankan Kak Aini, mana-mana ibu di dunia ini pun mahu yang terbaik untuk anak mereka.  Apatah lagi dalam soal menerima menantu.  Besar hati kalau dapat yang berpelajaran, beragama dan tidak berjoli.

"Memang betul, Kak Aini takut membaca di akhbar dan mendengar cerita kawan tentang orang dapat menantu yang bermasalah.  Perkahwinan kena bersandar kepada cinta, tanggungjawab dan keikhlasan dua insan.  Hidup juga hendaknya mencari yang dunia dan akhirat," katanya.  "Kalau sudah sampai jodohnya nanti dan Aliff nak berkahwin, majlis perkahwinannya akan dilakukan di rumah.  Aliff bukan artis popular.  Tak perlulah nak buat grand-grand macam majlis kahwin artis pula.  Lagipun Aliff tak mahu diraikan besar-besaran.  Dia mahu kesederhanaan.  Yang pasti, Kak Aini akan buat majlis mengikut kemampuan diri," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, kata Sharifah Aini lagi, dia mahu cucu-cucunya hidup dengan dibimbing.  "Macam mana Kak Aini menyayangi anak, macam itulah Kak Aini mahu Aliff dan isteri akan menjaga dan membesarkan cucu-cucu Kak Aini dengan penuh kasih sayang dan ada didikan agama," katanya.

Ditanya, kalaulah nanti, ada keturunannya itu (cucu-cucu) mahu menjadi penyanyi, adakah Sharifah Aini menyokong?  Ujarnya, "Aduhai ... hidup sebagai artis bukan mudah.  Kalau ada bakat tapi tak kuat iman dan mental, itu payah.  Jadi, Kak Aini tak mahu ada cucu-cucu nak jadi artis.  Cukuplah Kak Aini saja jadi artis.  Tidak semudah mana nak melayari kehidupan artis."

legenda hidup, Sharifah Aini ... terus berdiri pada kedudukan tersendiri walaupun ramai penyanyi baru datang dan pergiWajah Sharifah Aini di Hari Raya tahun iniInilah ibu kesayangan Sharifah Aini, Sharifah Noor

BARANG DAPUR MACAM 'MINI MARKET'!

Tahukah anda, selain tanggungjawab untuk keluarga dan diri, bajet besar penyanyi ini juga tertumpu pada bahagian stor dapurnya.  Bagaimana besarnya dapur basah dan kering rumah beliau, begitu juga besar stor dapur penyanyi ini.  Barang dibeli macam untuk 'mini market'! 

"Huzz pun tahu, kan?  Sejak dulu lagi, rumah Kak Aini, tak lekang dengan tetamu, tak kira waktu.  Keluarga, sanak saudara, kawan-kawan yang akanb berkunjung ke rumah, Kak Aini pula jenis suka berdunia di rumah.  Tak ada hal penting atau kerja, tak suka melepak di luar rumah.  Hendaknya bila hari raya.  Selama sebulan itu, tetamu berkunjung datang.  Lepas raya pun, apa kurangnya?  Yang pasti, Kak Aini suka melayan tetamu yang datang.  Dan yang buat diri jadi seronok bila memikirkan apa nak dihidangkan?  Pembantu rumah dah tahu, menu-menu kesukaan Kak Aini nasi beriyani, soto, makanan barat, lauk pauk kampung ... mengikut hari," katanya.  Pernah ada rakan artis memberitahu Huzz, kalau ke rumah beliau, diri di layan macam duduk di restoran.  Cakap nak makan apa, pasti itu diusahakan untuk dihidangkan.  Ada juga harinya, rumah itu menerima kunjungan anak-anak tahfiz.

Sempena perayaan Aidilfitri yuang berpanjangan selama sebulan Sharifah Aini tak lupa menempah biskut-biskut kesukaannya seperti tat nanas, suji, makmur dan beberapa yang lain.  "Apa yang enak kita makan, itu mesti dihidangkan juga untuk tetamu, jangan suka memilih-milih," pesannya.

BAJU KURUNG JOHOR

Dengan penampilan baru bertudung litup, tak semesti kena meninggalkan baju kurung.  Itulah pendapat Sharifah Aini.  "Kak Aini masih suka baju kurung.  Hendaknya baju kurung Johor.  Tak mahulah hanya berfesyen ala jubah.  Tentang tudung kepala ... ramai tak tahu, sebenarnya dah lama Kak Aini bertudung kepala, kalau keluar rumah.

"Sebelum buat haji, Kak Aini hanya tak bertudung ketika di pentas dan fotografi tapi kalau nak keluar rumah pergi membeli belah, menonton atau jumpa kawan, Aini suka pakai tudung kepala.  Sekarang ini, lepas balik Mekah nekad nak bertudung litup terus, termasuk untuk bergambar dan show," katanya yang akan muncul dengan album baru, tak lama lagi.  Penyanyi digelar lagenda hidup ini dikatakan terus berdiri pada kedudukan tersendiri walaupun ramai penyanyi baru datang dan pergi. 

Bercakap tentang tudung kepala, beliau juga antara yang memperkenalkan fesyen turban yang sudah menjadi ikut-ikutan ramai kebelakangan ini.