DATUK SHARIFAH AINI NAK ANAK LAGI?

oleh Huzz  (URTV, 1 Februari 2011)

ANAK . . .  JANGAN BERIKAN TEKANAN KEPADA SITI

BIDUANITA negara, Datuk Sharifah Aini tidak bersetuju kalau ramai pihak tak henti nak bertanyakan Datuk Siti Nurhaliza, bilakah nak dapat anak?  Soalan semacam itu, katanya, bimbang boleh memberikan tekanan kepada Siti.  "Saya tak mahu dia tertekan.  Saya nak Siti bertenang menantikan rezeki anak.  Saya gembira bila Siti kuat semangat dan tak putus asa.  Itu sikap baik.

Tahun lalu, bila orang bercerita Siti mahu anak, saya tak lekang mendoakan beliau menjadi ibu.  Saya seorang wanita yang pernah berkahwin, pernah menjadi seorang isteri.  Saya faham betapa hati seorang wanita mahukan anak.  Saya pernah melalui hal ini.  Tapi apakan daya, takdir menentukan saya hanya dapat melahirkan seorang anak.  Jodoh tak panjang dengan suami pertama.  Begitulah bila hadir semua kedua, saya tak ada rezeki anak, saya hanya mampu membela anak-anak angkat saja.  Terus terang, saya beritahu ... andai dapat diputarkan waktu, saya nak kembali ke zaman lalu, saya nak melahirkan enam orang anak," ujar Sharifah Aini yang sudah lama menjanda

Tentang Siti dan anak, katanya, "Aapapun ada keyakinan yang kuat di hati, Insya Allah sampai masa Siti pasti akan melahirkan anak.  Daripada kita asyik nak tanya bila beliau nak dapat anak ... lebih baik kita mendoakan beliau. Doa yang baik-baik terhadap orang lain itu satu amalan mulia.  Sebelum mengerjakan haji dan semasa di Mekah saya tak lupa menodakan Siti agar dimurahkan rezeki anak.  Bukan saja beliau tapi doa saya juga buat kawan-kawan artis lain yang masih menantikan saat untuk berbadan dua.  Begitulah, semasa Siti menyambut hari lahir ke-32, saya mendoakan usianya panjang, bakatnya terus berkembang dan dia akan dapat rezeki anak," ujarnya.

Tambah beliau, "Kalau Siti dah ada tanda nak jadi ibu ... saya antara orang yang paling gembira.  Saya nak pergi menziarahinya.  Saya akan berkongsi petua menjadi ibu kepada beliau.  Saya anggap Siti bukan saja sebagai kawan sesama artis, tetapi dia tu sudah macam anak sendiri."  Kata Sharifah Aini lagi, "Terima kasih, Siti mengundang saya ke majlisnya.  Dia berikan kad di malam Anugerah Juara Lagu 25, masa kami di belakang pentas.  Tapi apakan daya, malam majlis diadakan, ada pulak kawan dari Kuwait yang bercuti ke sini, nak menziarahi saya di rumah.  Jadi tak dapat saya ke majlis Siti.  Saya mengirimkan salam dan doa kepada Siti.  Saya gembira melihat kebahagiaan Siti disisi suaminya yang loving.  Saya mendoakan mereka berdua, kekal duania akhirat."

NAK AYU MACAM SITI DAN RAMPING MACAM ZIANA ZAIN

Datuk Sharifah Aini mengekalkan status Biduanita Negara dengan nyanyiannyaPada malam Anugerah Juara Lagu ke 25, ramai memuji persembahan Datuk Sharifah Aini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza.  Sharifah Aini membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan beliau dengan lagu 'Kau Tinggi Di Awan Biru' dan 'Oh Di Mana'.  Ziana pula dengan lagu 'Anggapanmu' dan 'Madah Berhelah'.  Siti Nurhaliza pula mengalunkan 'Cindai' dan 'Balqis' yang membuat peminat teringat saat-saat kehangatannya di awal menjadi artis.

Kata Sharifah Aini, "Bila tengok kedua-dua mereka,  hati kecil saya mengusik, seronoknya kalau pinggang boleh seramping Ziana Zain dan wajah seayu Siti.  Kedua mereka memiliki daya tarikan tersendiri.  Saya suka tengok penampilan mereka pada malam itu."  Lalu Huzz mengatakan, Sharifah Aini pun apa kurangnya ... bertahan cantik dengan warna baju merah menyala lagi.  Ramai memuji suaranya masih power.

Bercerita tentang bakat, katanya, "Saya berbangga dengan Ziana dan Siti yang berjaya melangkaui masa dalam perjalanan seni.  Nak jadi penyanyi ... bakat, suara dan pesona kena ada.  Mereka boleh dicontohi ... tapi jangan ada yang baru ni, nak meniru suara mereka.  Untuk rancangan Mentor, saya nak mendidik penyanyi baru untuk punya identiti sendiri.  Jangan ada yang nak menjadi Sharifah Aini, Siti, Ziana atau penyanyi lain yang dah sedia ada.   Kalau yang lelaki ...  jangan nak tiru suara Jamal Abdillah, Nash atau M Nasir.  Kita boleh jadikan kejayaan artis popular sebagai teladan tapi jangan tiru macam mereka.  Mentor bukan rancangan tiru suara artis atau memburu iras atau kembar artis popular."

IMAN DAN TAQWA ITU PAKAIAN

Datuk Sharifah Aini ... Imej tudung sekembali dari MekahPenampilan di AJL membuatkan peminat bertanyakan Huzz ... apakah Sharifah Aini akan mengekalkan gaya itu?  "Bagi saya,iman dan taqwa adalah pakaian kita.  Soal tudung kepala ini, biarlah antara saya dengan Allah.  Yang saya tahu,  saya dah mula mengumpul kain-kain tudung kepala.  Saya juga berharap, janganlah ada orang seronok nak komen itu dan ini bila kami golongan artis nak pakai tudung.  Yang penting hati, ingatlah Allah memandang hati kita," akuinya.

Huzz bertanyakan Sharifah Aini apa rasanya selepas mengerjakan haji iaitu rukun Islam ke lima?

"Aduh rasa lapang dada, rasa ringan bahu!  Kalau mati pun pejamlah mata ini.  Saya dah buah apa yang diwajib ... mengerjakan haji di Tanah Suci.  Kepada peminat semua, kalau ada kemampuan, pergilah buat haji dulu.  Lagi bagus, kalau pergi masa muda.  Alhamdulillah ... dapat mengerjakan haji dengan selamatnya.  Paling menggembirakan bila saya dapat mengerjakan haji dengn anak lelaki saya, Aliff.  Bila duduk seorang diri di rumah, saya bersyukur, dipanjangkan usia dan diberi rezeki buat haji.  Inilah takdir Allah.  Syukur.  Alhamdulillah.  Semasa di sana, ada ramai jemaah yang datang menemui saya.  Ada jemaah wanita memeluk saya.   Ada nak bergambar.  Mengejutkan, ada memberitahu saya dia nak minta ampun dan maaf, dia berdosa dengan saya.  Saya melayan mereka dengan baik sebagai hamba Allah.  Syukur apa yang saya harapkan semasa di sana,  termakbul.  Terus terang saya beritahu ... saya dah pergi banyak tempat di dunia, tapi tak sama rasa tenang dan aman macam berada di Mekah dan Madinah."